GEORGETOWN: Akibat penangan cinta, seorang wanita sanggup lari dari rumahnya dan tinggal bersama teman lelakinya di rumah kongsi yang sempit dan sesak di kawasan tapak pembinaan di Bayan Baru, di sini, sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu akhirnya ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang.
Ketika ditahan, wanita itu dikatakan sedang tidur bersama teman lelakinya dalam sebuah bilik di rumah kongsi berkenaan.
Ketika disoal, wanita terbabit yang berasal dari Jitra, Kedah memberikan alasan dia anak yatim piatu dan terpaksa hidup menumpang di rumah kekasihnya itu kerana mendakwa tidak mempunyai saudara-mara lain.
Bagaimanapun, selepas dipujuk wanita terbabit memberikan nombor telefon bimbit seorang lelaki dipercayai abangnya sebelum anggota penguat kuasa menghubungi lelaki berkenaan untuk datang mengambil adiknya itu.
Ketika itu, wanita terbabit yang diberi peluang bercakap dengan abangnya masih lagi menangis kerana takut dimarahi abangnya itu sebelum ahli keluarganya itu mengambilnya di Balai Polis Sungai Nibong.
Difahamkan, wanita itu baru beberapa bulan mengenali teman lelakinya yang juga seorang pekerja kontrak berasal dari Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan itu.
Sementara itu, empat lelaki yang ketika itu asyik bermain judi daun terup cuba melarikan diri melalui bumbung, tetapi berjaya ditahan anggota Imigresen yang sudah mengepung kawasan berkenaan.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, pihaknya melakukan Ops Sepadu bersama pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam, kelmarin.
“Operasi ditumpukan di dua lokasi kawasan pembinaan iaitu di Bayan Baru dan juga Relau selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan juga hasil risikan.
“Dalam operasi itu, kita berjaya mengesan seorang wanita rakyat tempatan yang sanggup menggunakan alasan sudah kematian ibu bapa sebelum dia mengaku melarikan diri dari rumah kerana mahu tinggal bersama teman lelakinya,” katanya.
Menurutnya, seramai 46 anggota Imigresen dan 30 anggota Rela terbabit dalam operasi selama tiga jam itu dan pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 354 warga asing.
No comments:
Post a Comment