KEPUTUSAN tiga orang bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Hafiz, Stacy dan Aril untuk melibatkan diri dalam program realiti Mania merupakan satu risiko besar yang diambil oleh setiap penyanyi yang menyertai program tersebut.
Kualiti serta populariti mereka menjadi kayu pengukur untuk mereka kekal bertahan selama yang mungkin dalam program yang bersiaran setiap hari Sabtu di Astro Ria.
Ketiga-tiga Hafiz, Stacy dan Aril memiliki sebab tersendiri di sebalik penyertaan mereka dalam Mania.
Medan baiki diri
Meraih gelaran juara Anugerah Juara Lagu ke-26 serta penyanyi popular menerusi Anugerah Bintang Popular 2011, nyata bukan satu halangan buat Hafiz untuk masuk bertanding dalam Mania.
Kata pemilik nama Mohd. Hafiz Mohd. Suip itu, Mania merupakan medan untuk memperbaiki diri bagi menjadi penyanyi yang lebih baik serta menonjolkan sisi lainnya yang belum pernah dilihat oleh peminatnya.
"Selain itu, ia juga medan untuk setiap penyanyi mengukur sejauh mana populariti kerana program itu menuntut undian daripada penonton untuk mengekalkan posisi penyanyi kegemaran mereka."
"Saya masuk program Mania untuk memperbaiki diri serta mendekatkan diri dengan peminat kerena setiap minggu peminat boleh menyaksikan saya di kaca televisyen secara langsung. Sedikit sebanyak ada saatnya saya teringat kembali ketika menyertai program AF kerana ia sebuah program realiti.
"Cuma bezanya ketika di AF, saya dan semua peserta lain sangat naif mengenai industri hiburan tetapi dalam Mania semuanya telah mempunyai pengalaman. Pesaing pula semuanya penyanyi yang hebat, jadi saya perlu cabar diri untuk tingkatkan kualiti persembahan serta menjadi lebih kreatif untuk menarik perhatian penonton," ujarnya yang berada di bawah naungan empayar Ahmad Dhani.
Memilih penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor sebagai pesaing utama kerana kualiti vokalnya, ujar Hafiz dia langsung tidak tertekan sepanjang tujuh minggu dalam Mania meskipun harapan peminat terhadapnya cukup tinggi.
"Saya tidak melihat harapan peminat sebagai satu tekanan tetapi ia adalah cabaran untuk diri saya. Bukan selalu dapat bekerjasama dengan penerbit muzik seperti Ahmad Dhani, jadi saya gunakan peluang ini untuk mengutip ilmu sebanyak boleh daripadanya," tuturnya yang menyanyikan lagu Ombak Rindu bersama Maya Karin pada minggu ketujuh Mania yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Cipta lagu
Selepas album sulungnya Masih Jelas yang berada di pasaran pada tahun 2009, Hafiz tidak muncul dengan sebarang album sebaliknya dengan beberapa buah lagu single. Selepas tiga tahun, Hafiz kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya.
Memberanikan diri mencipta lagu sendiri katanya, peminat pasti terkejut dengan pembaharuan yang ditampilkan untuk album yang diharap dapat berada di pasaran pada penghujung tahun ini.
"Lima lagu sudah dirakam, sekarang saya sedang menunggu beberapa buah lagu lagi. Menariknya dalam album terbaharu ini lagu ciptaan saya dan sepupu, Idzam, serta lirik oleh saya sepenuhnya yang berjudul Mungkinkah turut dimuatkan dalam album itu.