NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menguatkuasakan semula
larangan ke atas hubungan homoseks yang bakal menyaksikan golongan gay
berdepan hukuman penjara.
Panel dua hakim sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi New
Delhi pada 2009 yang mendapati larangan melakukan hubungan sejenis
adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat India.
Larangan itu terkandung dalam seksyen 377 kanun jenayah negara berkenaan.
Keputusan membenarkan hubungan homoseks empat tahun lalu memberi
kebebasan kepada golongan gay untuk berkempen menentang diskriminasi dan
persepsi negatif terhadap mereka.
Golongan gay di negara itu masih bergerak secara tertutup tidak seperti di Eropah.
Dalam keputusannya, Mahkamah Agung yang diketuai oleh G.S. Singhvi
mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah melangkaui bidang kuasanya,
manakala undang-undang tersebut yang diluluskan oleh pihak British pada
1860 adalah sah di sisi perlembagaan negara.
"Hanya Parlimen yang boleh memutuskan isu ini," kata Singhvi.
Perbicaraan yang berlangsung di pusat bandar raya ini semalam turut dihadiri oleh sejumlah aktivis pro gay.
"Keputusan seperti ini tidak wajar daripada sebuah mahkamah
tertinggi. Ini merupakan hari yang gelap untuk komuniti gay," kata
seorang peguam sebuah pertubuhan hak gay, Forum Undang-Undang
Alternatif, Arvind Narayan.
"Kami amat marah dengan keputusan ini yang mundur ke belakang," tambahnya.
Pada tahun 2009, kumpulan-kumpulan agama terutamanya komuniti
Kristian dan Islam di India berang dengan keputusan Mahkamah Tinggi
negara itu yang membenarkan hubungan homoseks.
Mereka yang kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung, gembira dengan keputusan semalam.
Dalam pada itu, Program Pembangunan berhubung HIV/AIDS Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kebebasan hubungan sejenis dapat
membantu India mengekang penularan jangkitan HIV/AIDS yang menjangkiti
2.5 juta penduduk negara itu.
Sejak sekian lama, hubungan jenis menjadi topik larangan di India
dengan ramai penduduk negara itu melabel golongan gay sebagai menghadapi
masalah mental.
Keputusan Mahkamah Agung meletakkan India kembali bersama kebanyakan negara Islam dan Afrika yang mengharamkan hubungan sejenis.
Negara tunggal yang membenarkan hubungan homoseks di rantau Asia Selatan adalah Nepal. - AFP
No comments:
Post a Comment