KELANTAN membuktikan status mereka sebagai juara bertahan Piala
Malaysia apabila bangkit dengan membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT)
6-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota
Bharu malam tadi.
Sebelum perlawanan bermula, ribuan penyokong Kelantan membaca surah
Al-fatihah untuk dihadiah kepada anak penjaga gawang Johor DT, Al-Hafiz
Hamzah yang meninggal dunia pagi semalam.
Kelebihan dua jaringan yang dibawa oleh Johor DT seakan-akan mahu segera dipadamkan The Red Warriors menerusi
sepakan percuma Zairol Annuar Zailani seawal minit ke-2, namun
tandukan Indra Putra Mahyuddin sekadar mengegar palang gol pelawat.
Berkasi di gelanggang sendiri, Kelantan terus bernafsu memburu
jaringan menerusi asakan bertali arus memaksa benteng pertahanan pelawat
yang di terajui oleh Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak bekerja keras
mengekang serangan The Red Warriors.
Tuan rumah akhirnya berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi
rembatan kencang pemain sayap Mohd. Nor Farhan Mohammad dari luar kotak
penalti sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat Zulfadli Mohd. pada
minit ke-18.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pelawat membuat pertukaran awal
di bahagian pertahanan dengan membawa masuk Ahmad Tarmini Saiban bagi
menggantikan Irfan Ghani pada minit ke-20 bagi memperkemaskan posisi
berkenaan.
Kelantan sebaliknya terus mengganas apabila kapten pasukan Mohd.
Badhri Radzi meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-32 menerusi
rembatan jarak dekat yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Johor
DT, Zulfadli Mohd.
Usaha pelawat untuk merapatkan jurang gol akhirnya membuah hasil
menerusi rembatan kencang Safee Sali pada minit ke-42 selepas bijak
memperdayakan Azizi Mat Rose sekali gus mengecewakan penjaga gol
Kelantan Khairul Fahmi Che Mat.
Kegembiraan pelawat meraikan gol pertama mereka hanya bertahan dua
minit apabila tonggak pertahanan Kelantan Obinna Nwaneri meledak gol
ketika tuan rumah sekali gus mengikat kedudukan agregat 5-5.
Kapten Kelantan Mohd. Badhri hampir menggandakan jaringan pasukan
tuan rumah namun rembatannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, Dickson Nwakame meletakkan pasukannya terus selesa di hadapan menerusi gol keempat pada minit ke-46.
Kelantan bagaikan dirasuk apabila terus menekan kubu pertahanan
pelawat pada minit ke-56 dan 57 menerusi Nwakeame dan Shakir Shaari yang
gagal menepati sasaran.
Menyedari ketumpulan jentera serangan, pengendali Johor DT, Azmi
Mohamad membawa masuk tonggak importnya Leonel Nunez bagi menggantikan
Hazin Azman dalam usaha memperkasakan bahagian tersebut pada minit
ke-60.
Kemasukan penyerang kelahiran Argentina itu nyata tidak menggugat
semangat pemain tuan rumah, mereka sebaliknya terus berpesta selepas
Mohd. Nor Farhan meledak jaringan kelima The Red Warriors sekali gus
menambah koleksi jaringan keduanya dalam perlawanan tersebut.
Selesa mendahului dengan lima jaringan, tuan rumah sama sekali tidak
mengendurkan asakan, sebaliknya terus bernafsu untuk memburu jaringan
menerusi deretan peluang terhidang yang gagal disempurnakan oleh jentera
serangan The Red Warriors.
Indra Putra memadamkan sisa-sisa perjuangan pelawat menerusi gol
keenam pada minit ke-89 selepas menyudahkan hantaran Nwakaeme yang
sebelum ini bijak mempedayakan penjaga gawang Johor DT Zulfadli.
Kemenangan tersebut menyaksikan The Red Warriors menyingkirkan Johor DT dengan kelebihan agregat 8-5.
Pada aksi suku akhir nanti, Kelantan bakal berdepan Angkatan Tentera
Malaysia yang mara selepas mengetepikan juara Liga Super Lions XII.
KOSMO
No comments:
Post a Comment