SHAH ALAM – Isu kalimah ALLAH yang bermula pada 2009 kembali panas
selepas Mahkamah Rayuan Isnin lalu menetapkan majalah The Herald tidak
boleh menggunakan kalimah tersebut dalam percetakan mereka.
Namun, persoalan yang terus bermain di minda rakyat sekarang adalah,
adakah kalimah tersebut boleh dibenarkan atau tidak kepada bukan Islam?
Ada yang berasa boleh dan ramai yang berkata tidak boleh. Malah,
percanggahan begini boleh mengelirukan umat Islam serta bukan Islam.
Pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
berkata, setiap hari orang Islam seluruh dunia melafazkan ayat dalam
Surah al Fatihah, yang berbunyi ‘segala puji bagi ALLAH Tuhan segala
alam’.
“Tiada Muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi ALLAH Tuhan kaum
Muslimin sahaja’. Ini kerana Muslim mengakui ALLAH itu Tuhan untuk
semua, bukan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.
“Maka isu kalimah ALLAH tidak pernah timbul di negara-negara Arab.
Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita
memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu ALLAH. Di
Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka
menggunakannya,” kata bekas Mufti Perlis itu.
Katanya, isu kalimah ALLAH ini menjadi sejarah menarik dan tersendiri
di Semenanjung Malaysia kerana masalah ini tidak pernah wujud di
negara-negara Arab kerana Kristian Arab menggunakan perkataan ALLAH
apabila merujuk kepada Tuhan sejak sebelum dan selepas
zaman Nabi Muhammad SAW.
“Bahkan kaum Quraisy sebelum kehadiran Nabi Muhammad SAW juga guna nama
ALLAH. Bapa Nabi Muhammad SAW bernama Abdullah, yang bermaksud hamba
ALLAH,padahal bapa Nabi Muhammad SAW tidak sempat pun bertemu dengan
Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah,” katanya.
Kata Asri, Kristian Qibti di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan sebagai ALLAH.
“Demikian juga Kristian Lebanon dan Jordan. Gereja-gereja mereka berdoa
dengan memanggil ALLAH sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan,
asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa AS.
“Bukan sahaja perkataan ALLAH. Banyak lagi perkataan yang membabitkan
akidah yang sama antara Islam dan Kristian, (termasuk) nama para nabi;
Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Malaysia berbeza dan tidak
mengizinkan kalimah ALLAH digunakan oleh bukan Islam, malah kerajaan
boleh menetapkan peraturan supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga
menyebabkan provokasi.
"Berdasarkan hukum agama, kalimah ALLAH adalah untuk semua lapisan
masyarakat, tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Demi kesejahteraan
dan menghormati beberapa negeri, ia diselaraskan supaya tidak
dibenarkan. Kerajaan perlu juga harus tampil menjelaskan mengapa ia
(kalimah ALLAH) tidak boleh digunakan.
"Mungkin ada sesetengah pihak mendakwa kalimah ALLAH di dalam Bible
seolah-olah ada agenda tertentu. Kerana itu, saya katakan, kerajaan
tampil dengan peraturan sebegini. Cuma, tiada penjelasan yang dibuat.
Mesti ada hujah,” katanya.
Dalam membuat perbandingan isu kalimah ALLAH di negara ini, Asri turut
memberi satu contoh di mana seorang pekerja kaunter keluar menunaikan
solat sunat dhuha, dan ketiadaan pekerja kaunter itu menyebabkan keadaan
menjadi kelam-kabut walaupun untuk beberapa minit.
“Lalu ketuanya mengeluarkan peraturan, tidak membenarkan solat dhuha di
pejabat kerana tidak mahu keadaan yang sama berulang. Ia jelas, bukan
tidak membenarkan solat, tetapi jangan dilakukan pada waktu bekerja,
memandangkan pekerjaannya berbentuk perkhidmatan,” katanya.
Asri berkata, kalimah ALLAH sebenarnya sudah lama digunakan masyarakat bukan Islam, termasuk dalam lagu negeri masing-masing.
“Pernah ke dengar (dalam) lagu negeri, baris yang ada kalimah ALLAH, orang bukan Islam tukar kepada nama Tuhan mereka?
“ALLAH adalah untuk semua. ALLAH itu menjelaskan Tuhan yang satu.
Contoh lain yang saya ambil, seorang Cina mengatakan: ‘Hari ini Tuhan
ALLAH kasi turun hujan. Adakah kita nak marah Cina itu? Adakah perlu
kita betulkan ayatnya dengan mengatakan Tuhan kamu bukan ALLAH? Jika
ada, ia sudah tidak mengesakan ALLAH lagi,” katanya.
“Itu adalah realiti. Kalau ada yang keliru, mereka tidak jelas dengan
akidah. Saya tidak bela orang kafir, tetapi kafir di Arab menggunakan
kalimah ALLAH sejak dahulu lagi.
"Mereka ini digelar musyrikin kerana mendakwa ada tuhan lain selain ALLAH. Ia sudah tertulis di dalam al-Quran,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment