Jom Buat Duit
Saturday, 19 May 2012
Konsert RM1 juta DJ Dave
SETELAH hampir 20 tahun tidak menghasilkan sebarang album lagu berbahasa Melayu, penyanyi popular 1970-an Datuk DJ Dave kini telah tampil dengan single terbaharu berjudul Nyawaku.
Menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu berirama Hindi, lagu berkenaan bukanlah berunsur cinta. Sebaliknya, lagu Nyawaku ciptaan Datuk M. Nasir itu berkisarkan tentang realiti yang berlaku sekarang iaitu mengenai gejala pembuangan bayi.
“Sebelum ini, saya meluahkan hasrat kepada Datuk M. Nasir agar dia dapat menghasilkan lagu untuk saya. Kemudian beliau memberikan tujuh buah lagu yang dihasilkannya, tetapi tiada satu pun yang saya berkenan.
“Kemudian saya ambil keputusan untuk duduk bersama-sama dengan beliau dan menghasilkan lagu ini, manakala liriknya pula telah dihasilkan oleh AD Samad,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar sidang akhbar Konsert Journey Through Song - Ingin Bersua DJ Dave.
Menurut DJ Dave, selain lagu Nyawaku, beliau juga sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk mendapatkan khidmat komposer terkenal itu bagi menghasilkan dua buah lagu lagi untuknya.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan memberitahu, buat masa ini dia mahu memberikan tumpuan terlebih dulu kepada konsertnya yang akan berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari bermula pada 1 Jun ini.
“Mengenai pembikinan video muzik untuk lagu ini pula, ia telah diarahkan oleh Syafiq yang juga merupakan anak kepada Datuk Yusof Haslam. Saya telah bertemu dengannya dalam satu majlis dan beliau sendiri yang mencadangkan nama anaknya untuk menghasilkan video muzik lagu saya itu.
“Meskipun berusia 19 tahun dan masih baru dalam bidang pengarahan, tetapi saya berpuas hati dengan hasil kerjanya. Memang idea yang ditampilkannya sangat bernas dan saya bangga dengan kebolehan yang ada pada dirinya,” ujar DJ Dave yang turut menayangkan video muzik Nyawaku semasa acara tersebut.
Menurutnya, selain menghasilkan single terbaharu, beliau juga telah merakamkan semula lagu nyanyian Whitney Houston berjudul I Always Love You yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi Marsha.
“Rakaman semula lagu ini merupakan tribute kepada penyanyi terkenal tersebut, namun liriknya telah diubah kepada bahasa Hindi. Saya telah memilih Marsha untuk berduet bersama saya kerana kami pernah mengadakan persembahan bersama-sama sebelum ini dan dia memang memiliki suara yang sedap,” ujarnya.
Sementara itu, M. Nasir yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata, dia sendiri mulanya tidak menyangka apabila penyanyi kelahiran Punjabi itu meminta khidmatnya untuk menghasilkan lagu baharu.
Ujarnya, selama ini dia memang sering mengikuti perkembangan karier nyanyian DJ Dave, apatah lagi penyanyi berkenaan juga terlebih dahulu berkecimpung 10 tahun lebih awal berbanding dirinya dalam bidang seni.
“Pada mulanya saya sendiri tertanya-tanya juga kenapa DJ Dave mahu menggunakan khidmat saya. Setelah diberitahu, dia mahu menampilkan kelainan untuk lagu terbaharunya itu, akhirnya saya bersetuju dan menganggap ia satu cabaran buat diri saya,” jelasnya.
Imbau nostalgia
Bercerita lebih lanjut mengenai Konsert Journey Through Song - Ingin Bersua DJ Dave, penyanyi tersebut memberitahu konsert yang dianjurkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Shahdave Entertainment bakal mengimbas kembali perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni.
Jelasnya, konsert yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM1 juta itu akan memberi kepuasan kepada penonton menerusi persembahan selama dua jam dengan 35 buah lagu popular nyanyiannya serta diiringi 40 orang pemuzik orkestra.
“Konsep persembahan nanti akan berdasarkan kepada peredaran zaman sepanjang karier saya sebagai anak seni bermula dari tahun 1970-an sehingga sekarang. Beberapa orang penyanyi seperti Uji Rashid, Dayang Nurfaizah, Marsha dan komposer S. Atan turut diundang untuk menjayakan konsert ini.
“Menariknya, semasa konsert tersebut berlangsung, saya akan memakai enam kostum yang pernah dipakai sebelum ini. Sebenarnya, saya memiliki 30 kostum yang masih lagi tersimpan rapi sehingga sekarang,” ujarnya.
Menurut penyanyi yang sudah berusia 65 tahun itu lagi, memandangkan ia sebuah konsert yang besar serta menelan kos yang cukup tinggi, dia berharap agar konsert tersebut dapat memberi kepuasan kepada penonton yang hadir.
“Bagi memastikan konsert ini berjalan dengan lancar, persiapan dan latihan telah dilakukan sejak dua bulan lalu. Memandangkan tempoh persembahan agak panjang, kini saya turut mengambil berat tentang pemakanan seperti kurang mengambil nasi dan sentiasa bersenam,” jelasnya.
Tiket untuk menonton konsert tersebut sudah mula dijual dengan harga RM53, RM83, RM183, RM253, RM303 dan RM453 dan boleh didapati dengan melayari lawan sesawang www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600, 018-326 8001 atau 016 202 1445 untuk membuat tempahan.
Labels:
DJ Dave
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment