Jom Buat Duit

Saturday, 19 May 2012

Pelayaran cinta Anang, Ashanty


SEKITAR pertengahan tahun lalu, sewaktu penyanyi duet Anang Hermansyah, 43, dan Ashanty Siddik, 28, datang ke Kuala Lumpur dalam rangka promosi album mereka, Jodohku, mantan suami Kris Dayanti itu tidak menyembunyikan perasaannya terhadap Ashanty.

Anang juga tidak malu untuk mengatakan bahawa dia sudah lama ingin menikahi Ashanty, hanya penyanyi bermata bundar itu sahaja yang masih belum memberi sebarang jawapan.
Waktu itu, Ashanty memberi alasan kukuh mengapa dia masih belum bersedia menerima lamaran Anang. Katanya yang pada waktu itu baru menjadi kekasih Anang selama dua bulan: "Saya seorang yang realistik dalam soal cinta. Lebih-lebih lagi apabila hubungan cinta ini masih baru, semuanya masih manis.

"Sementelah jarak usia kami juga sejauh 14 tahun membuat saya harus berfikir panjang untuk melangkah masuk ke fasa baharu. Saya memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk menilai hubungan cinta kami."

Seperti memegang prinsip diri, wanita cantik bermata bundar itu memang benar-benar mengambil jangka waktu hampir setahun untuk menerima lamaran Anang. Pada tanggal 12 Mei lalu, selepas beberapa kali rencana mereka ingin bernikah tergendala, Ashanty akhirnya sah bergelar isteri Anang.
Majlis pernikahan mereka berlangsung dengan serba sederhana tetapi meriah di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta Pusat, Indonesia. Ia hanya dihadiri oleh lebih kurang 300 ahli keluarga dan sahabat terdekat pasangan selebriti itu. Usai solat Asar, Anang dan Ashanty pun rasmi menjadi suami isteri.
Anang dilihat tersenyum lebar, berbeza Ashanty yang menangis terharu sebelum si suami datang memberi kucupan di dahi buat isteri tercinta untuk menenangkan perasaan Ashanty.
Sudah pasti, Anang yang merupakan seorang duda anak dua, menjadi lelaki yang paling bahagia kerana penantian untuk memperisterikan wanita yang dinilai sebagai manja, pintar dan berprinsip itu tercapai.

"Kalau ingin tahu, saya sebenarnya sudah lama merancang pernikahan ini tanpa pengetahuan anak-anak atau keluarga saya. Ini (pernikahan) cita-cita saya. Pada saat saya melamar dia dahulu, malah pada saat lagu Jodohku dibikin, ia bukan sebuah lagu yang kosong. Jodohku mempunyai makna yang besar dan ia dibuktikan pada hari ini," ujar Anang membuka rahsia hatinya saat ditemui media usai majlis pernikahan yang dijalankan di Masjid Al Bina, Senayan.

Memberi sepersalinan alat solat sebagai tanda mas kahwin kepada Ashanty, selain sejumlah Rp12,512 (RM4,092) sebagai wang hantaran, Anang mempunyai alasan tersendiri.
Ujarnya: "Memang sengaja kami memilih wang hantaran yang sedikit jumlahnya dan juga sepersalinan alat solat. Ia sudah cukup buat kami. Rp12,512 itu juga membawa makna kepada tarikh pernikahan kami pada hari ini."

PASANGAN Anang dan Ashanty menurunkan tandatangan ke atas kad pernikahan mereka.
Ashanty pula menambah, jika mas kahwin tersebut berjumlah Rp12 juta (RM4,040) atau Rp120 juta (RM40,400), maka angkanya tidak akan sama dengan tanggal pernikahan mereka iaitu 12 Mei 2012.
"Kalau Rp12 juta, angka kosongnya terlalu banyak. Tentang sepersalinan alat solat itu, ia simbolik kepada Anang yang akhirnya akan menjadi imam dalam keluarga kami," ujar Ashanty sambil dipersetujui Anang.

Naik motosikal
Usai bernikah, pasangan tersebut melepaskan sepasang merpati putih untuk terbang bebas. Selain merpati, ahli keluarga mereka juga ikut melepaskan belon-belon berwarna putih, merah dan biru.
Anang dan Ashanty mempunyai persepsi tersendiri tentang melepaskan sepasang merpati itu. Ia dianggap sebagai satu simbolik kepada pernikahan mereka akan terus kekal dan sentiasa harmoni.
"Seperti sepasang merpati yang setia dengan pasangannya dan tidak akan ke mencari merpati lainnya, semoga pernikahan mereka akan abadi selamanya," ujar pengacara majlis tersebut.
Sementara itu, pasangan tersebut telah meraikan cinta mereka dengan sebuah rencana yang cukup unik. Ashanty dibawa suaminya itu, keliling kota Jakarta dengan menunggang motosikal! Itu aktiviti yang mereka lakukan pada malam pertama menjadi pasangan suami isteri.

Anang ternyata punya alasan sendiri berbuat demikian. Ujarnya: "Kami naik motosikal pada malam pertama menjadi suami isteri kerana ia merupakan pengangkutan penting bagi saya.
"Selama ini, saya memang menggunakan motosikal untuk pergi ke satu-satu destinasi dan malam itu, saya bawa Ashanty bersama untuk menikmati Jakarta dengan menaiki motosikal. Apa yang pasti, naik motosikal, kami bebas daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas."
Saat ditanya tentang perancangan mempunyai anak, Anang secara berterus-terang memberitahu dia tidak mahu menunda waktu untuk memiliki anak.

Dengan serius, dia memberitahu: "Mudah-mudahan malam ini sudah boleh buat anak (selepas bernikah.)
Kini pasangan tersebut sedang enak diulit bahagia sebagai suami isteri. Anang berharap agar perkahwinan keduanya ini kekal ke syurga, begitu juga Ashanty yang berdoa agar ia menjadi perkahwinan pertama dan terakhir buatnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters