Jom Buat Duit

Saturday, 19 May 2012

Anas, Tisha mara ke separuh akhir

ANAS (gambar atas) dan Tisha mara ke final untuk menentang dua peserta daripada Kumpulan B yang akan bertanding malam esok.  


SETELAH empat minggu bersaing di pentas Mentor 6, rezeki ternyata tidak memihak kepada Ana Syuhada yang merupakan protege Ramlah Ram apabila gagal layak ke peringkat separuh akhir.
Dalam saingan yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu, Ana gagal mengatasi dua lagi peserta iaitu Anas dan Tisha apabila sekadar mendapat 201 markah, sekali gus markah terendah untuk saingan Kumpulan A.

Ana yang ditemui sebaik sahaja konsert berakhir tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila tersingkir.

"Dengan berat hati saya terima penyingkiran ini dan menganggap ia merupakan satu keputusan yang adil. Namun, ia tidak bermakna saya akan melupakan terus impian untuk bergelar seorang penyanyi.
"Sepanjang menyertai program ini, sudah banyak ilmu dan pengalaman yang saya dapat terutama sekali daripada mentor saya iaitu Ramlah Ram. Begitu juga dengan komen yang diberikan oleh kedua-dua juri turut membantu saya untuk membuat persembahan yang lebih baik setiap minggu," ujarnya.
Pada konsert terakhir Kumpulan A, Tisha yang juga protege kepada Ferhad mendapat markah tertinggi sebanyak 70 markah, diikuti protege Faizal Tahir iaitu Anas dengan 49 markah, manakala Ana pula sekadar meraih 47 markah.

Ana yang mempersembahkan dua buah lagu berjudul Ingkar (Bunga Citra Lestari) dan Tentang Rasa (Astrid) ternyata gagal menarik perhatian Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini selaku juri tetap.
Tidak dapat menahan sebak sewaktu sidang akhbar berlangsung, Ana menafikan dia tidak dapat memberikan persembahan yang mantap disebabkan mengenangkan keadaan kesihatan ibunya yang kurang baik.

"Dengan keadaan ibu yang kurang sihat telah menyebabkan semangat saya semakin membara kerana tidak mahu mengecewakannya. Namun, keputusan telah diumumkan dan perasaan saya memang sedih kerana penyertaan saya sehingga peringkat awal sahaja," ujarnya.
Mengenai penyingkiran Ana pada malam tersebut, Ramlah Ram menyatakan, dia berpuas hati dengan keputusan tersebut dan berharap protegenya mampu merealisasikan impian untuk bergelar seorang penyanyi.

Selaku mentor kepada Ana selama empat minggu, penyanyi berkenaan berkata dia bersedia membantu sekiranya Ana masih mahu mendapatkan ilmu dan tunjuk ajar untuk pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.

"Walaupun sudah tersingkir daripada saingan Mentor 6, tidak bermakna hubungan kami akan berakhir. Memang saya berhasrat untuk terus membimbingnya kerana yakin dia mampu pergi lebih jauh lagi," ujarnya.

Sementara itu, Ramli MS pula menilai persembahan ketiga-tiga protege tersebut masih berada pada tahap biasa, tetapi memberikan pujian kepada Tisha yang telah menunjukkan peningkatan ketika mempersembahkan dua buah lagu iaitu Pilihlah Aku (Kris Dayanti) dan The Climb (Miley Cyrus).
"Berdasarkan kepada persembahan Tisha, saya melihat sudah banyak kemajuan yang dilakukan berbanding minggu-minggu sebelumnya. Kalau peningkatan ini dapat terus dikekalkan, tidak mustahil dia mampu memberi saingan hebat semasa peringkat separuh akhir nanti," ujarnya.

Pada esok malam, saingan Kumpulan B pula akan berlangsung membabitkan tiga orang protege yang akan berebut tempat ke peringkat separuh akhir iaitu KJ (Adam), Caroline (Ella) dan Zatul (Fauziah Ahmad Daud).

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters