GAMBAR fail menunjukkan Summer menyanyi pada konsert Hadiah Nobel Keamanan di Oslo, Norway pada 11 Disember 2009.
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan
isterinya, Michelle bersedih ekoran kematian Ratu Disko, Donna Summer
yang meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat penyakit kanser.
Pasangan itu memuji Summer sebagai bintang yang tidak dapat dicari ganti.
Menurut mereka, industri muzik telah kehilangan seorang legenda ekoran kematian penyanyi tersebut.
Seorang jurucakap Summer berkata, penyanyi itu meninggal dunia di kediamannya di bandar Naples, dalam negeri Florida kelmarin.
Summer mengecapi populariti semasa era kegemilangan muzik disko pada tahun 1970-an.
Namun, tidak seperti beberapa bintang disko lain, dia tidak dapat mengekalkan popularitinya setelah irama itu kian pudar.
Semasa hayatnya, Summer menerima lima anugerah muzik Grammy.
Dilahirkan di bandar raya Boston pada tahun 1948, Summer atau nama
sebenarnya, LaDonna Adrian Gaines popular dengan beberapa lagu antaranya
She Works Hard for the Money, Love to Love You Baby, Last Dance dan Bad Girls.
Selain Obama dan isterinya, kehilangan Summer turut diratapi penyanyi terkenal, Elton John.
Penyanyi itu berkata, Summer lebih daripada seorang Ratu Disko.
"Lagunya masih hebat pada zaman ini dan akan kekal hebat pada zaman seterusnya," kata John.
"Dia juga ialah rakan saya dan rakan Yayasan AIDS Elton John. Kehilangan Summer amat dirasai," tambah penyanyi itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment