Jom Buat Duit

Friday 31 August 2012

53 bayi merdeka dilahirkan di Lembah Klang sehingga tengah hari ini

KUALA LUMPUR: Seramai 53 bayi merdeka - 24 perempuan dan 29 lelaki - dilahirkan di lapan hospital kerajaan dan swasta di sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga tengah hari ini.
Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan sebaik selepas detik 12 tengah malam tadi.

Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan di Hospital Kajang dan bayi itu adalah antara enam kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, termasuk sepasang bayi kembar perempuan, kata jurucakap hospital itu.

Hospital Sungai Buloh pula mencatat kelahiran paling tinggi iaitu 13 bayi dengan kelahiran pertama, seorang bayi lelaki pada 12.14 pagi, kata jurucakap hospital itu.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, seramai lapan bayi dilahirkan sehingga 9.02 pagi ini dengan bayi pertama seberat 2.73 kg dilahirkan pada 12.20 pagi.

Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) masing-masing mencatat tujuh kelahiran dengan bayi pertama masing-masing dilahirkan pada 1.02 pagi dan 12.55 pagi.

Hospital Kuala Lumpur mencatat kelahiran lima bayi dengan seorang daripadanya rakyat Indonesia seberat 4.25 kg yang dilahir pada 4.11 pagi, manakala Hospital Tawakal merekodkan kelahiran dua bayi lelaki.

Di Hospital Pantai Kuala Lumpur pula, lima kelahiran direkod termasuk seorang bayi lelaki rakyat Perancis, kata jurucakap hospital itu.

Daripada 53 bayi yang dilahirkan itu, 18 kelahiran adalah melalui pembedahan iaitu masing-masing satu di PPUM dan HKL, Hospital Tawakal Kuala Lumpur (dua), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing empat di Hospital Serdang dan SJMC.

Di KUALA TERENGGANU, 28 bayi dilahirkan di beberapa hospital di negeri itu sehingga 12 tengah hari iaitu 12 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan kelahiran pertama ialah pada 12.14 pagi.

Di GEORGE TOWN, seramai tiga bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang termasuk dua bayi rakyat Indonesia.

Di SEREMBAN, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini bermula tengah malam sehingga 12 tengah hari, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan. - Bernama

JAIP cekup 19 pasangan berkhalwat dalam operasi malam merdeka

KUANTAN: Menyorok bawah katil, mendaftar diri dengan nama palsu dan mengaku sebagai pasangan yang sudah berkahwin, itu antara taktik yang digunakan sebahagian 19 pasangan beragama Islam yang dicekup Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam operasi cegah maksiat pada malam sambutan Hari Kemerdekaan awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP Mohd Raffli Abd Malik berkata pasangan berkenaan yang dicekup di hotel-hotel bajet sekitar bandar ini kerana berkhalwat kini ditahan JAIP untuk siasatan lanjut dan dibenar diikat jamin sebelum dibebaskan.

"Seramai 38 orang, iaitu 19 lelaki dan 19 wanita berumur dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun berjaya kita tahan dalam operasi cegah maksiat JAIP yang bermula dari 10 malam hingga 6 pagi tadi," katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir kira-kira 6.30 pagi tadi.

Pasangan itu bakal didakwa mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Beliau turut menasihatkan pasangan berkenaan yang kebanyakannya muda-mudi agar menyambut kemerdekaan dengan cara yang sewajarnya, bukan mengambil peluang dengan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Islam. - Bernama

Rita Rudaini Cabar Jue Aziz

“SAYA cabar dia untuk kemukakan bukti apabila dia mendakwa saya menuduhnya mempunyai hubungan dengan suami saya.
“Jika dia tidak dapat membuktikan tuduhannya itu, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka,” kata pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 35, yang terkilan dengan kenyataan Jue Aziz yang mendakwa dirinya menuduh wanita itu mempunyai hubungan dengan suaminya juga pemain skuad bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.


Rita Rudaini yang menghubungi Rap, Rabu lalu, melahirkan rasa kesal, terkejut dan terkilan selepas membaca kenyataan Jue seperti disiarkan menerusi akhbar ini pada hari yang sama, Jue mendakwa Rita menuduhnya dan Aidil mempunyai hubungan.

Antara petikan kenyataan Jue: “Saya rasa Rita pun tahu yang suaminya ada berkenalan dengan perempuan lain, tetapi kenapa dia perlu kaitkan suaminya dengan saya pula. Adakah sebab saya dikenali ramai maka saya dijadikan mangsa dengan sesuka hati menuduh saya dengan suaminya untuk meraih simpati masyarakat.”

Satu lagi kenyataan Jue: “Jika benar saya ada keluar dengan Aidil, tunjukkan bukti dan di mana. Jangan buat cerita yang kru produksi nampak kami keluar berdua kerana sepanjang masa saya sibuk dengan penggambaran di luar ibu kota.”

Menurut Rita, kenyataan itu dengan jelas menuduh dirinya sebagai penyebar gosip mereka berdua dan kenyataan pelakon itu sememangnya keterlaluan.

“Seperti yang saya jelaskan dalam siaran akhbar ini, Rabu lalu, saya sendiri dimaklumkan gosip mengenai hubungan Aidil dan Jue melalui rakan media yang menghubungi saya untuk mendapatkan komen apabila suami saya dikatakan rapat dengan pelakon itu.

“Pertanyaan itu datang daripada seorang wartawan sebuah majalah sekitar Mac lalu dan sebaik mendengar hal berkenaan, saya terus bertanyakan kepada Aidil, tetapi dia kata langsung tidak mengenali Jue.

“Saya bertanya kepada Aidil pun bukan sebab saya cemburu atau tidak senang dengan hubungan mereka (Aidil dan Jue) berdua seperti dimaklumkan wartawan berkenaan. Sebaliknya berkata kepada Aidil jika mahu mempunyai skandal sekalipun jangan sampai menyusahkan saya. Gosip mereka berdua membuatkan wartawan mencari saya untuk mendapatkan komen.

“Kalau saya jahat sangat sampai ingin menyebarkan hal ini, dari Mac lalu hal ini sudah sampai ke pengetahuan umum. Tetapi kerana saya sudah tidak mahu ambil tahu mengenai apa yang Aidil ingin lakukan, saya biarkan saja gosip itu masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri,” katanya.

Satu lagi kenyataan Jue yang disifatkan tidak berasas oleh Rita apabila wanita itu mendakwa jangan mengada-adakan cerita yang kru produksi pernah melihat Jue dan Aidil keluar berdua.

“Saya nak tanya dia (Jue), dia dengar cerita dari mana dan siapa yang kononnya saya berkata begitu?

“Ini kerana saya tidak pernah berhubung dengan Jue atau meminta penjelasan daripadanya sejak gosip itu berlegar Mac lalu kerana seperti yang saya katakan, saya sudah tidak mahu ambil pusing apapun yang Aidil ingin buat.

“Satu lagi kenyataan melampau Jue apabila dia berkata yang saya boleh minta simpati di luar sana, tetapi bukan dengan orang dalam industri yang kenal siapa diri saya sebenarnya.

“Saya lebih makan garam berbanding dirinya (Jue) dalam bidang seni ini dan Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan pihak produksi untuk melakonkan watak utama, sekali gus membintangi drama, telefilem serta filem terbitan mereka. Saya bukan mahu takbur atau bangga diri, tapi sila jaga bahasanya itu.

“Kalau saya pernah senyap seketika pun, itu bukan sebab tiada ‘job’ tetapi saya sendiri mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

“Sepanjang lebih 10 tahun berlakon, saya jarang terbabit dengan kontroversi melainkan isu ‘kahwin lari’ itupun kerana ingin melakukan perkara baik, sedangkan Jue, apakah dia langsung tidak pernah dihambat kontroversi? Saya tidak mahu sebut kontroversi pernah menghambat dirinya yang pernah saya, umum dan penggiat seni dengar kerana tak mahu membuka aibnya. Lagipun dia tiada kena-mengena dengan hidup saya.

“Cuma, saya berharap dia lebih berhati-hati dengan tutur katanya dan jangan sewenang-wenangnya bercakap hal orang sedangkan dia sendiri bukan seorang artis yang boleh dianggap ‘bersih dan bebas’ kontroversi,” kata Rita.

Berhubung percanggahan pengakuan Aidil yang mengatakan langsung tidak mengenali Jue sedangkan Jue pula mengakui mempunyai nombor pin BBM Aidil dan pemain bola sepak itu, baru-baru ini ada berhubung dengan Jue untuk menyelesaikan kemelut gosip yang mengaitkan mereka berdua, Rita serahkan pada umum untuk menilai.

“Biarlah orang yang membaca kenyataan saya dan Jue sebagai dilaporkan Harian Metro, Rabu lalu menilai sendiri. Saya percaya pembaca bijak menilai.

“Menurut Jue, suami saya ada menghubunginya untuk menyelesaikan gosip yang mengaitkan mereka berdua, tetapi kenapa Aidil tidak berbuat demikian untuk menerangkan hal sebenar kepada saya yang masih lagi isterinya walaupun situasi rumah tangga kami ketika ini ibarat ‘retak menanti belah’.

“Bukan itu saja, kalaulah saya berada di tempat wanita yang dikaitkan dengan suami orang, saya akan menghubungi isteri kepada lelaki berkenaan untuk meminta maaf di atas gosip yang tersebar, sekali gus menafikan jika ia tidak benar. Bukannya kita menuduh dan menghina isteri lelaki itu pada umum,” katanya.

Metro

Erra tolak, Lisa terima


LISA yang baru pertama kali berlakon di pentas teater diberi tanggungjawab berat untuk melakonkan karakter Tun Dr. Siti Hasmah. 
 

MENGIKUT perancangan asal, pementasan teater Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sepatutnya sudah mula dipentaskan di Istana Budaya semalam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55, tetapi ia terpaksa ditunda pada 14 September ini.
Walau bagaimanapun, perjalanan untuk merealisasikan teater yang menceritakan tentang tokoh negarawan terkemuka yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Bermula dengan keputusan Adlin Aman Ramlie yang menarik diri untuk mengarah teater berkenaan, terbaharu, aktres popular Erra Fazira yang sepatutnya memegang watak Dr. Siti Hasmah turut mengambil tindakan yang serupa.
Jika Erma Fatima menggantikan peranan Adlin selaku pengarah, watak tokoh negarawan itu pula kini bakal dipegang oleh pelakon Lisa Surihani yang baru kali pertama beraksi di pentas teater.
Ketika dihubungi Kosmo! semalam, isteri kepada Yusry Abdul Halim itu mengakui sangat terkejut dengan tawaran yang diterima, namun mengakui begitu teruja untuk terbabit dalam pementasan teater berkenaan.

Kosmo!: Bila Lisa ditawarkan untuk membawakan watak sebagai Dr. Siti Hasmah?
LISA: Saya telah dihubungi oleh pihak Istana Budaya. Saya telah diberitahu bahawa Kak Erma mahu saya membawakan watak ini setelah Erra terpaksa menolaknya kerana pertindihan jadual setelah tarikh teater ini ditunda.
Secara peribadi saya berpendapat bahawa Erra merupakan pelakon yang paling sesuai dengan watak ini berdasarkan pengalaman yang dimilikinya. Saya percaya dia mampu memainkan peranan sebagai Dr. Siti Hasmah dengan berkesan.

Apakah reaksi Lisa ketika mendapat tawaran tersebut?
Sudah tentu saya sangat terkejut dan seperti tidak percaya kerana saya langsung tidak mempunyai pengalaman dalam pementasan teater. Pada mulanya saya ingat ditawarkan watak kecil sahaja, tetapi tidak sangka pula saya dikehendaki membawakan watak seorang individu yang memang menjadi idola saya selama ini.

Namun, saya tidak mahu ramai yang salah sangka kerana saya tidaklah menggantikan Erra secara keseluruhan kerana saya sekadar membawakan watak Dr. Siti Hasmah semasa muda.
Sebenarnya pementasan ini membabitkan dua babak iaitu perjalanan ketika Dr. Siti Hasmah muda (babak pertama) dan dewasa (babak kedua). Jadi saya sekadar terbabit dalam babak yang pertama sahaja, manakala babak kedua pula dilakonkan oleh pelakon lain.

Kenapa Lisa bersetuju untuk beraksi dalam pementasan teater ini?
Sebelum ini saya pernah ditawarkan berlakon teater, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana mempunyai komitmen lain. Secara kebetulan pula jadual saya sekarang tidak terlalu sibuk dan akhirnya saya bersetuju untuk terlibat sama.
Namun, saya ada memberitahu pihak produksi bahawa sepanjang pementasan berlangsung dari 14 hingga 23 September nanti, ada dua hari yang saya tidak boleh terlibat kerana ada komitmen lain dan mereka bersetuju untuk menggantikan saya dengan pelakon lain.

Pementasan ini dijadualkan bakal berlangsung dua minggu lagi, adakah Lisa yakin mampu membawakan watak yang dibawakan ini?
Saya akui tempoh dua minggu memang sangat singkat untuk menjayakan sebuah pementasan teater, apatah lagi saya langsung tiada pengalaman. Saya anggap ia merupakan satu cabaran baharu yang berguna buat diri saya sebagai seorang pelakon.

Tidak dinafikan beraksi di hadapan kamera dan penonton secara langsung memang sangat berbeza. Namun, saya percaya kerjasama dengan semua pihak yang terlibat serta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman saya akan berusaha bersungguh-sungguh.

Adakah Lisa akan menerima tawaran untuk berlakon teater lagi pada masa akan datang?
Bagi saya itu semua bergantung kepada rezeki kerana pembabitan saya dalam teater ini juga berlaku pada saat-saat akhir. Selepas pementasan teater ini kalau ada tawaran lain yang diterima mungkin saya akan mempertimbangkannya.

Bernama

Yuna meriahkan Himpunan Janji Ditepati


YUNA antara daya tarikan utama persembahan konsert Himpunan Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam ini bersempena Hari Kemerdekaan ke-55 negara.
 

BERSEMPENA sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang disambut pada hari ini, suatu acara meriah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Himpunan Janji Ditepati.

Acara yang bermula pukul 3 petang hingga 12.30 malam ini menampilkan penghibur muda yang cukup berpengaruh dalam industri hiburan tanah air, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna.
Pembabitan Yuna itu sebagai tanda kebanggaannya menjadi anak Malaysia selain sokongan terhadap sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang terus mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian berbilang kaum selama 55 tahun.
Justeru, kesibukan mencipta nama di Amerika Syarikat bukan halangan buat Yuna untuk meluangkan secebis waktu untuk acara penuh bersejarah itu.

Selain Yuna, persembahan berkenaan turut dimeriahkan oleh ratu rock negara, Ella, selain Hafiz AF7, Stacy, Faizal Tahir, Nash Lefthanded, Suki, Daniel Lee dan Syeruthi.
Apa yang menarik, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diberi kepercayaan dan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan persembahan berkenaan termasuk sebuah lagi aktiviti iaitu perarakan dan perbarisan merdeka di Dataran Merdeka, pada pagi ini.

Terdahulu pada 13 Julai, pelancaran sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 sudah dilaksanakan.
Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, konsep yang diperkenalkan mengangkat tema keceriaan selain menyaksikan pembabitan generasi muda.

"Dalam menghidupkan suasana ceria fiesta, kami ingin mewujudkan interaksi pemimpin bersama rakyat. Menerusi pengisian persembahan pula, kami mengetengahkan lagu-lagu terkini dan segar yang memenuhi citarasa anak muda.

"Disebabkan itu, kami membariskan penghibur dalam kalangan generasi muda untuk membuat persembahan malah keseluruhan acara yang dijalankan menyaksikan pembabitan golongan Gen-Y.
"Golongan ini penting untuk mendapat pendedahan kerana merekalah yang akan memacu negara suatu hari nanti dan kesedaran perlu dipupuk dari sekarang. Saya melihat persembahan juga satu kaedah menggerakkan kebudayaan.
"Budaya bukan hanya perlu ditekankan atau bermula di sekolah, tetapi ia juga berupaya disemarakkan dengan acara seperti ini.
"Konteks kebudayaan meluas sebenarnya. Ia bukan sekadar tarian kebudayaan tetapi juga amalan dalam kehidupan misalnya hidup bersatu padu yang sinonim budaya Malaysia," katanya.
Tambah beliau, Himpunan Janji Ditepati disertai 8,500 peserta manakala perarakan dan perbarisan di Dataran Merdeka pula menghimpun 13,500 peserta. Sebahagian daripada mereka adalah artis kebudayaan di bawah JKKN sendiri.

Memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar seperti dirancang, kesemua jabatan di bawah JKKN Pusat iaitu 14 JKKN negeri mengambil bahagian berserta 200 pegawainya yang berdedikasi turun padang.

"Saya mewakili JKKN dan seluruh yang terbabit, mengharapkan acara yang dihidangkan bukan saja menghiburkan, menyerlahkan kebudayaan dan semestinya paling penting dapat memupuk semangat perpaduan sebagaimana disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yangmembawa dasar 1Malaysia.

"Marilah beramai-ramai membanjiri Stadium Nasional hari ini, kerana selain kita berhibur dengan persembahan penuh berwarna-warni, mendengar saranan Perdana Menteri, acara pada malam ini amat istimewa.

"Ini kerana turut diadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama, sebuah Proton Preve dan empat motosikal Modenassp tajaan Proton, dua tiket penerbangan pergi balik, Kuala Lumpur - London dan Kuala Lumpur - Sydney tajaan Sistem Penerbangan Malaysia, 50 Tablets tajaan Huawei Technologies dan 10 basikal Fixie.
"Pengunjung perlu mendaftar di khemah pendaftaran yang mana urus setia kami akan memberi kad raya/kemerdekaan kepada mereka.
"Pada bahagian hujung kad itu nanti ada tertera nombor. Nombor itu perlu disimpan sehingga pengumuman hadiah cabutan bertuah diumumkan di akhir majlis," katanya.

Kosmo

Fouziah Gous berkecil hati


SEMANGAT anak jati Malaysia. Seminggu sebelum tiba hari kemerdekaan ke-55, Fouziah sudah menggantung bendera di kediamannya sebagai tanda sayang kepada negara. 
 

"SAYA sanggup lakukan apa sahaja untuk dia. Saya dengan dia memang sangat rapat. Malah, kami juga tidur bersama," akui Fouziah mengenai wasilah atau dalam erti kata lain, ikatan cinta terhadap ibu kesayangannya, .

Sebagai seorang isteri yang baru kehilangan suami, Fouziah faham mengenai perasaan sunyi dan kehilangan yang membelenggu ibunya. Disebabkan itu, setelah bapanya meninggal dunia 11 Ogos lalu ketika umat Islam bakal menyambut Syawal lapan hari lagi, Fouziah berjanji akan menjaga ibunya, Sajadi Ibrahim, 58.

"Saya seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga. Apa yang berlaku saya kena jaga ibu. Walaupun saya sedih dengan kehilangan ayah, saya tidak akan sekali-kali menangis depan dia. Saya tak mahu dia tahu saya bersedih," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.
Terpaksa menyambung penggambaran drama tiga hari yang lalu, menurut Fouziah, dia akan memastikan semua perkara yang melibatkan ibunya selesai sebelum keluar bekerja.
Masih bersedih dengan kematian bapanya, Mohd. Gous Agulam Dastagir, 75, pelakon yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 11 Disember ini juga mengakui berasa kecil hati kerana cerita kematian bapanya ditulis tanpa kenyataan daripada mulutnya sendiri.
"Saya minta maaf sebab tak dapat nak jawab panggilan telefon media masa ayah saya meninggal dunia. Bukan sengaja tetapi ketika itu saya benar-benar tidak berkesempatan. Malah, panggilan daripada teman-teman juga saya tidak angkat.

"Saya juga kecil hati sebab tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada mulut saya tetapi ada beberapa pihak yang menulis mengenai arwah yang mengatakan dia meninggal disebabkan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sedangkan ayah saya meninggal bukan disebabkan kedua-dua penyakit itu tetapi disebabkan penyakit tua," rungkainya mengenai isu tersebut ketika ditemui selepas majlis pratonton episod pertama drama Trilogi Cinta 2 di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur, kelmarin.
Ingin menjernihkan situasi, jelas Fouziah, bapanya sememangnya sudah berusia iaitu 75 tahun. Badan bapanya semakin hari semakin lemah sehingga membuatkan lelaki kesayangannya itu lebih banyak terlantar.

Begitupun, dia mengakui tidak menjangkakan kematian ayahnya pada hari itu kerana bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda.
"Saya bersyukur kerana arwah meninggal pada bulan Ramadan dan proses pengebumian arwah sangat mudah dan cepat. Sebelum Zuhur dia meninggal tetapi selepas Asar dia sudah dikebumikan," ceritanya mengenai arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, Selangor.

Cinta ahli korporat duda
Masih belum reda dengan isu cintanya bersama seorang ahli korporat berstatus duda yang dikatakan bakal ke jenjang pelamin pada tahun ini, bekas pramugari itu mengakui, kadangkala berasa rimas tetapi dia tidak akan sekali-kali melatah dan marah dengan gosip yang melanda dirinya.
"Saya faham industri hiburan memang macam ini. Saya tidak akan melatah dan marah. Cuma, cukuplah perihal ini (cerita kahwin) ditulis lagi. Ia telah menyebabkan saudara-mara saya berasa kecil hati dan terkejut. Tolonglah, jangan tulis benda yang tidak benar yang kita sendiri tidak cakap," ucapnya yang mengakui lega kerana gosip tersebut tidak menyebabkan keluarganya berpecah-belah.
Sebelum ini, kecoh mengatakan Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) dalam Anugerah Skrin 2007 itu bakal mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli korporat pada bulan Jun lalu.

Fouziah bagaimanapun menafikan gosip liar tersebut dengan menjelaskan dia sebenarnya terlalu sibuk dan terikat dengan penggambaran beberapa buah drama termasuk Trilogi Cinta 2 terbitan Suhan Movies.

Membawakan watak seorang gadis bernama Nurjinah yang berkahwin dengan seorang duda bernama Razif lakonan Rosyam Nor dalam Trilogi Cinta 2, Fouziah turut ditebak persoalan bagaimana jika karakter yang dibawanya bakal menjadi kenyataan pada dirinya.
Tenang dia menjawab. Katanya: "Saya cuma minta pada Allah agar dikurniakan seorang suami yang baik. Buat apa mencari masalah dengan berkahwin dengan lelaki yang kita tahu bakal mengundang masalah."

Trilogi Cinta 2
Bercerita mengenai wataknya dalam drama yang mencatat rating sebanyak dua juta itu, jelas Fouziah, ketika musim pertama drama Trilogi Cinta, watak Nurjinah lebih lembut tetapi untuk musim kedua ini watak Nurjinah agak tegas.
"Drama Trilogi Cinta musim kedua ini lebih mencabar kerana Nurjinah sudah berkahwin dan menjadi ibu. Di situ, dia perlu bermain dengan banyak emosi sebagai seorang isteri, ibu dan juga sebagai seorang kakak," ujarnya.

Tiada pengalaman sebagai seorang isteri, jelas Fouziah, dia banyak mendapatkan tip daripada teman-teman yang sudah berumah tangga bagaimana melakonkan watak sebagai isteri. Lebih-lebih lagi sebagai seorang isteri yang sarat menyimpan perasaan dan suka bermain dengan emosi.
Namun begitu, berlakon sebagai seorang ibu tidak mendatangkan masalah kepada Fouziah kerana dia mempunyai pengalaman menjaga anak-anak buahnya.

Kosmo

Thai cipta rekod mengurut dunia


SEBAHAGIAN daripada 641 orang yang mengurut di pinggir Bangkok semalam.


BANGKOK - Seramai 641 tukang urut mengurut 641 orang secara serentak selama 12 minit di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Record.
Acara mengurut beramai-ramai itu dianjurkan Kementerian Kesihatan Awam Thailand bagi mempromosikan industri spa dan urut di negara ini.

Rekod lama dicatatkan di Australia pada tahun 2010 apabila 263 diurut serentak selama lima minit.
"Ia mudah kerana ini (mengurut) kami lakukan pada setiap hari untuk hidup," kata salah seorang tukang urut wanita, Chayanan Chanwuttisawan, 53, yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
"Saya tidak pernah menyangka kami mempunyai peluang untuk diiktiraf seperti ini," tambahnya.
Thailand memang terkenal sebagai 'ibu kota mengurut' di dunia.
Menteri Kesihatan, Wittaya Buranasiri berkata, dia mahu industri mengurut memberi lebih banyak pendapatan kepada negaranya. - AP

Motosikal tandas bergerak sejauh 300 kilometer


SEORANG wanita menunggang motosikal tandas di Omiya, pinggir Tokyo kelmarin.


TOKYO - Syarikat pengeluar motosikal tandas di Jepun semalam menyatakan ia boleh bergerak sejauh 300 kilometer (km) jika diisi penuh dengan najis dan kumbahan haiwan.
Ia dianggap sebagai motosikal pertama dijana dengan najis sebagai bahan bakar di dunia.
Motosikal itu mempunyai tiga roda dan mempunyai mangkuk tandas di tempat duduk.
Namun, pihak pengeluar motosikal itu, TOTO menyatakan orang yang menunggangnya tidak mengeluarkan najis untuk membolehkan ia bergerak.
"Minyak bio yang dijadikan bahan bakar itu tidak dihasilkan daripada najis manusia.
"Ia adalah daripada najis dan kumbahan ternakan," kata jurucakap syarikat tersebut, Kenji Fujita.
Motosikal itu dipamerkan di bilik pameran syarikat tersebut di pinggir Tokyo.
Menurutnya, para pelanggan amat berminat dengan kenderaan tersebut dengan sebahagian mereka merakamkan gambar.
Setakat ini motosikal itu tidak akan dijual. - AFP

Thursday 30 August 2012

Wanita enggan lepas beg ditetak


ORANG ramai membantu Rohairani yang cedera teruk di tangan kiri akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu semalam. 
 

KOTA BHARU – Seorang wanita ditimpa malang apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak penjenayah ketika dia berusaha menyelamatkan beg tangannya daripada diragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.
Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa Rohairani Abdullah, 36, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di sini baru keluar dari kereta untuk ke kedai tudung.
Ketika ibu kepada dua orang anak itu berjalan ke kedai tudung, beg tangannya tiba-tiba diragut seorang lelaki sebelum penjenayah itu menetak bertubi-tubi tangan mangsa yang enggan melepaskan beg tersebut.

Seorang penjual tudung, Hidayah Daud, 21, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat peragut itu cuba menarik beg tangan mangsa manakala seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal Honda EX5 di tepi jalan kira-kira 20 meter dari tempat wanita itu diragut.
Kejadian tersebut berlaku di tepi kedainya dan tindakan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan mangsa ditarik kira-kira tiga meter dari lokasi mula-mula mangsa diragut.
“Tindakan mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan peragut itu marah lalu menetak tangan mangsa lebih tujuh kali,” kata saksi itu.

Menurut gadis itu, kejadian selama tiga minit itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang tergamam, panik dan hanya mampu menjerit kerana takut melihat tindakan kejam penjenayah itu.
“Peragut yang berputus asa kemudian meninggalkan wanita itu tanpa dapat meragut beg tangan mangsa,” kata Hidayah sambil memberitahu dia juga takut untuk membantu mangsa kerana penjenayah itu bersenjatakan parang.
Ekoran kejadian itu, kawasan tersebut dipenuhi darah yang meleleh daripada tangan mangsa yang cedera.

Katanya, kira-kira 15 minit kemudian ambulans tiba untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu ada antara luka tersebut sedalam 38 sentimeter manakala urat pergelangan tangan kiri mangsa juga putus.

Sehingga malam tadi peragut berhati haiwan itu belum ditangkap manakala kecederaan tangan mangsa belum dapat diketahui statusnya.

Panjat gunung batu untuk gambar perkahwinan


PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat. 
 

CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?
Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.
Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.
Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.

Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.
Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.
Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.
"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.
Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. - Agensi

Nama kedai cetus kemarahan


RAJESH SHAH menunjukkan kad perniagaannya.


AHMEDABAD, India - Sebuah kedai pakaian lelaki di India diminta menukar namanya selepas nama Hitler yang digunakan membangkitkan kemarahan masyarakat setempat.
Akhbar MailOnline melaporkan pemilik kedai berkenaan, Rajesh Shah mendakwa dia tidak menyedari nama kedainya, Hitler telah mencetuskan kontroversi.
Rajesh berkata, nama tersebut diperoleh daripada gelaran yang diberikan kepada rakan kongsi perniagaan datuknya.

Gedung pakaian itu yang terletak di Ahmedabad, dalam wilayah Gujerat, mencetuskan kemarahan penduduk setempat dan komuniti orang Yahudi di bandar berkenaan.
"Secara jujurnya, apabila saya memohon untuk menggunakan nama Hitler, saya hanya mengetahui bahawa dia seorang lelaki yang tegas," kata Rajesh.

"Cuma baru-baru ini saya tahu cerita tentang Hitler apabila saya melayari internet," tambahnya.
Menurut lelaki itu, dia sanggup menukar nama kedainya yang dibuka sejak dua minggu lalu jika dia dan rakan perniagaannya diberikan sejumlah pampasan ekoran mereka telah kehabisan wang.
Adolf Hitler merupakan diktator Jerman yang banyak melakukan pembunuhan dan jenayah perang semasa Perang Dunia Kedua termasuk dikaitkan dengan penghapusan bangsa Yahudi. - Agensi

NASA siarkan lagu pertama dari planet Marikh


Will.I.Am menyanyikan lagu Reach for the Stars di Makmal Propulsi Jet milik NASA di Pasadena, California di hadapan sekumpulan pelajar.


LOS ANGELES - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin menghantar lagu pertama untuk disiarkan dari planet Marikh sebagai sebahagian daripada usaha memberi inspirasi kepada golongan muda supaya berminat terhadap sains.
Lagu bertajuk Reach for the Stars nyanyian Will.i.am daripada kumpulan terkenal Black Eyed Peas itu dihantar semula oleh robot Curiosity yang kini sedang mendarat di planet merah tersebut sejak awal bulan lalu ke Makmal Propulsi Jet milik NASA di Pasadena, California.
"Rasanya seperti bermimpi," kata Will.i.am ketika menerangkan bagaimana pentadbir NASA, Charles Bolden menghubunginya untuk menyatakan cadangan menyiarkan lagu dari planet Marikh ke Bumi.

Lagu yang mengandungi lirik I know that Mars might be far, but baby it ain't really that far itu menggunakan 40 buah orkestra termasuklah hon Perancis dan bukan sekadar bunyi yang dijana secara elektronik.
"Saya mahu menunjukkan kerjasama antara manusia, ada orkestra, lagu yang tidak lapuk dek zaman dan boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai budaya. Bukannya irama hip hop atau dance," kata Will.i.am di hadapan sekumpulan pelajar. - AFP

Osama sudah mati apabila bilik tidurnya diserbu


RUMAH yang menjadi tempat persembunyian Osama di bandar Abbottabad, Pakistan.


WASHINGTON - Ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden sudah mati apabila pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy SEAL menyerbu ke dalam bilik tidurnya di sebuah banglo di bandar Abbottabad, Pakistan.
Dakwaan kontroversi itu bercanggah dengan kenyataan rasmi White House tentang kematian Osama.
Pendedahan mengenainya dibuat oleh seorang bekas anggota komando SEAL yang terlibat dalam operasi rahsia membunuh ketua Al-Qaeda itu pada 2 Mei 2011.
Menurut akhbar MailOnline semalam, Osama juga tidak bersenjata apabila dia diserang pasukan elit SEAL.

Kisah misi membunuh ketua pengganas berkenaan didedahkan dalam buku biografi, No Easy Day: The Firsthand Account of the Mission That Killed Osama bin Laden.
Ditulis di bawah nama pena, Mark Owen buku tersebut yang dijadualkan berada dalam pasaran pada 11 September depan akan dijual seminggu lebih awal.
Penulis buku berkenaan merupakan antara enam komando SEAL yang melihat Osama mati pada tahun lalu.

Menurut salinan buku itu yang diperoleh akhbar Huffington Post, misi membunuh Obama jauh bercanggah dengan kenyataan White House.
Dalam bukunya, Owen memberitahu bahawa seorang anggota elit skuad berkenaan terserempak dengan Osama ketika dia cuba melarikan diri ke dalam bilik tidurnya.
Bilik itu terletak di tingkat tiga banglo berkenaan yang dihuni oleh Osama bersama sejumlah anggota keluarganya.

Beberapa anggota SEAL lain kemudian bergegas menaiki tangga untuk mengejar Osama.
"Kami kurang lima langkah untuk sampai ke tingkat atas apabila saya terdengar bunyi tembakan. Ketika itu, saya tidak dapat melihat sama ada tembakan itu mengenai sasaran," kata Owen.
Walaupun media AS melaporkan Osama bersenjata dan cuba melawan ketika dibunuh, askar itu berkata, ketua Al-Qaeda itu sebenarnya sudah tidak bernyawa apabila mereka berada di dalam bilik tidurnya.

Menurut Owen, ketika Obama terbaring, dia dan beberapa komando lain melepaskan beberapa das tembakan lagi ke dada lelaki itu.
Dalam bukunya, Osama dilaporkan memakai baju-T berwarna putih, seluar panjang bersama sehelai tunik.

Semasa mereka merakamkan gambar jenazah Osama, dua pucuk senjata turut di temui di bilik tidur berkenaan tetapi kedua-duanya tidak berpeluru.
"Dia (Osama) langsung tidak melakukan persediaan untuk mempertahankan diri. Lelaki ini langsung tiada niat mahu melawan walaupun selama beberapa dekad dia begitu gah mengarahkan pengikutnya supaya melakukan serangan berani mati," kata Owen.
"Sepanjang saya berkhidmat dalam tentera, kami telah kerap kali menyaksikan penipuan seperti ini," tambahnya.

Mengulas pendedahan memalukan itu, ketua Pusat Operasi Khas AS memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati mendedahkan maklumat sensitif ketenteraan.

Dalam pada itu, sebuah laman web rasmi Al-Qaeda pada Jumaat lalu menyiarkan gambar dan nama komando SEAL yang bertanggungjawab menulis buku tersebut.
Tindakan tersebut dilakukan selepas saluran berita AS, FoxNews.com mendedahkan identiti penulis sebagai Matt Bissonnette.
Anggota komando SEAL itu yang kini berusia 36 tahun bersara selepas operasi membunuh Osama. - Agensi

Wednesday 29 August 2012

PSY Gangnam Style - 60 juta peminat terpukau

NAMANYA tiba-tiba menjadi sebutan satu dunia. Hanya kerana sebuah klip video yang dia muat turun di laman YouTube, siapa sangka video itu mengubah hidup Psy kepada seorang superstar.
Jika di Korea Selatan, kehadirannya di persada seni bagaikan tidak ‘bernyawa’ lantaran fizikalnya yang tidak kacak, berbadan gempal dan hanya jadi bahan gurauan, berlainan pula pandangannya di sebelah Barat.

Bagaikan ‘virus’ muzik 2012, lagu Gangnam Style kini menular di mana-mana sehinggakan dalam masa beberapa hari saja, jumlah tontonan video lagu berkenaan di YouTube mendadak sehingga lebih 60 juta.

Kini seluruh dunia menyan�jung keberaniannya tampil dengan satu lagu yang benar-benar menepati citarasa kanak-kanak sehingga warga tua. Buktinya, pelbagai versi lagu berkenaan dimuat turun dan boleh ditonton di YouTube gara-gara popularitinya.

Mendengar liriknya, tidak semua akan bersetuju dengan kehebatan lagu berkenaan kerana hampir semuanya menggunakan bahasa Korea. Tetapi, apabila menghayati melodinya, siapa saja pasti bersetuju lagu berkenaan ada ‘kuasa’ tersendiri dan membuatkan sesiapa boleh bergoyang.

Cuba senaraikan artis K-Pop yang pernah menerima pujian serta reaksi hebat daripada bintang ternama termasuklah Katy Perry, T-Pain, Robbie Wil�liams, Josh Groban dan Nelly Furtado? Bukan mudah untuk mereka ekspresikan kekaguman mereka, tetapi itulah yang diterima Psy, mereka menyukai lagu berkenaan.

Disingkatkan daripada perkataan Psycho, Psy atau nama penuhnya, Jae-Sang Park, 34, ternyata masih tidak percaya yang itu semua berlaku kepadanya sekarang.

“Selama 12 tahun saya berkecimpung dalam arena muzik Korea dan membuat pelbagai tarian ‘bodoh’, namun peminat tidak sekalipun berpaling kepada saya kerana secara visual, saya memang kalah dengan selebriti kacak lain yang ada.

“Saya cuma dikenali di sana kerana saya tidak terlalu mencuba, tidak dipromosikan malah tidak pernah terfikir pun hendak tembus ke luar negara. Semua yang berlaku sekarang pun hanya gara-gara YouTube mahupun twitter dan inilah dia pembuka periuk nasi sebenar saya.

“Tatkala perasan beberapa ‘superstar tweet’ mengenai saya, saya hanya anggap itu jenaka dan tidak pernah berlaku pun. Memang tidak pernah terbayang pun bukan kerana mereka nama besar di dunia, tetapi inilah impian semua orang untuk memijak pasaran terbesar muzik di dunia dengan menempa nama di Amerika Syarikat (AS).

“Sebaik menyedari ini memang realiti yang sedang berlaku, inilah perasaan paling indah dalam hidup ini,” katanya.

Mereka sepenuhnya koreografi dalam klip berkenaan, tidak hairanlah jika ia mampu memukau perhatian penonton kerana elemennya cukup lengkap dengan lawak, tarian pelik, warna-warni selain nyanyian serta ‘rapping’ yang ditonjolkan. Paling mencuit hati apabila gerak tari seolah-olah menunggang kuda menjadi koreografi utama dalam klip berkenaan.

Sehingga ke saat ini, lagu yang dimuatkan dalam album keenamnya berjudul PSY 6 itu sudah menduduki tangga pertama carta muzik video iTunes. Sudah mengadakan pertemuan dengan pengurus Justin Bieber, Scooter Braun minggu lalu, Psy bagaimanapun mengunci mulutnya daripada mendedahkan isi kandungan pertemuan itu.

Meraih kejayaan tepat pada masanya di kala muzik K-Pop semakin mendapat tempat
di AS, jejaka itu yang ternyata tidak bernasib baik kerana gagal meraih ramai peminat di Korea mengakui tidak kisah dengan perkara itu.

“Sudah menjadi ketetapan untuk mereka yang berbadan kurus, berotot, kacak, comel, tinggi dan semua ciri lain yang tidak ada pada saya di�agungkan di Korea. Saya pula jenis yang suka meng�anggap membuat perkara tidak betul adalah semuanya betul saja untuk saya.

“Itulah dia yang saya lalui dan perjuangkan selama ini dan dari segi visual, muzikal serta apa-apalah, memang tidak bersesuaian di sana. Pendek kata, saya tidak mencapai tahap yang mereka mahukan.

“Memanglah perkara itu menunjukkan keunikan diri saya tetapi pada masa sama, ia boleh jadi negatif juga. Sejak kecil lagi, saya suka berada di depan orang ramai walaupun saya bukan bagus pun menyanyi. Jadi, apabila saya mula kenal penyanyi rap, saya terfikir, nyanyian sebegitu pun boleh jadi muzik?” katanya.

Dilahirkan di Korea, Psy mendapat pendidikannya di Boston University and Berklee College of Music. Dia mula melancarkan album pertamanya iaitu PSY from the PSYcho World! pada 2001 dan muziknya banyak dipe�ngaruhi artis seperti Eminem, 2 Pac, Jay-Z dan Dr. Dre.

Sumbang mahram babit pemimpin politik: Polis tunggu keputusan DNA

KUANTAN: Polis sedang menunggu keputusan ujian DNA bagi melengkapkan siasatan berhubung kes sumbang mahram membabitkan seorang pemimpin parti pembangkang dan anak lelakinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T Narenasegaran berkata, sampel darah kedua-dua beranak itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian paterniti.

"Hasil ujian baru kita akan buat keputusan dan cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai penahanan seorang pemimpin parti pembangkang dan anak lelakinya berusia 14 tahun bagi membantu siasatan satu kes sumbang mahram.

Media melaporkan dua beranak itu ditahan pada 22 Ogos lalu, namun dibebaskan semalam dengan jaminan polis.

Tangkapan itu selepas anak perempuannya berusia 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital di ibu negara. Remaja yang masih bersekolah itu kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Mengulas lanjut, Narenasegaran mengesahkan individu itu pernah bertanding pada pilihan raya umum lalu sebagai calon parti pembangkang. - Bernama

Lelaki tunjuk kemaluan ditahan

KULIM - Lebih 10 murid perempuan di Masjid Sultan Badlishah di sini, cemas apabila seorang lelaki berusia 50 tahun yang ditemui berkeliaran di kawasan itu menunjukkan kemaluannya kepada mereka.

Bagi memastikan keadaan terkawal, orang ramai yang berada di tempat kejadian memaklumkan kejadian itu kepada Rakan Cop.

Ketua Rakan Cop yang juga Pengerusi Pekida Labu Besar, Nordin Ismail berkata, dia kemudiannya mengarahkan beberapa ahli Rakan Cop untuk pergi ke tempat kejadian sebelum memaklumkan kepada Balai Polis Sungai Kob.

“Hampir setahun lelaki ini merayau di sekitar kawasan Labu Besar. Lelaki itu memaklumkan kepada saya sebelum ini dia merupakan seorang yang mempunyai harta bagaimanapun semua hartanya ditipu ahli keluarga sehingga dia merempat. Selain menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai terutama golongan kanak-kanak perempuan dan wanita, dia juga mengganggu lalu lintas.

"Tabiat suka menunjuk kemaluannya itu mendatangkan kemarahan penduduk tempatan di mana dia pernah dibelasah teruk. Untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Rakan Cop menahannya dan menyerahkannya kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan doktor,” katanya.

Nordin berkata, permasalahan seperti ini seharusnya mendapat perhatian semua pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, bagi kes orang papa, permasalahan ini boleh dirujuk kepada JKM manakala bagi mereka yang mengalami permasalahan mental, orang ramai boleh membuat aduan kepada polis supaya individu terlibat boleh mendapat rawatan sewajarnya.

“Kita jangan sisih mereka dari masyarakat kerana mereka ini bermasalah. Kita cuba bantu menyelesaikan permasalahan dialami dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita membiarkan golongan ini terus menjadi penghuni kaki lima, permasalahan orang papa tidak akan selesai.

"Sebagai ahli komuniti di kawasan ini, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kebajikan mereka diutamakan dan bantuan sewajarnya harus diberikan,” katanya.

SH

Datuk cabul cucu saudara ketika bersiar siar

SABAK BERNAM - Seorang warga emas bakal berhadapan tindakan undang-undang setelah dipercayai cuba mencabul kehormatan cucu saudaranya yang berusia enam tahun, Ahad lalu.

Difahamkan, kejadian sekitar jam 11.30 pagi tersebut berlaku apabila suspek dipercayai membawa mangsa bersiar-siar di kawasan berhampiran dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, suspek kemudiannya berhenti di satu lokasi di kawasan kebun di Parit 7 Sungai Leman sebelum mengarahkan mangsa untuk membuka seluar dan kemudian meraba mangsa.

“Mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan kemudian menangis dan merayu supaya suspek menghantarnya pulang ke rumah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menghantar mangsa pulang semula ke rumahnya sekitar jam 12 tengah hari.

“Kira-kira jam 8 malam, bapa mangsa mendapati mangsa menangis dan selepas didesak, mangsa memberitahu kejadian sebenar.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang oleh bapanya bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar.

Noor Mushar berkata, selepas menerima laporan, polis bertindak menahan suspek yang berusia lingkungan 68 tahun itu sekitar jam 2 pagi di kediamannya.

“Polis masih menjalankan siasatan dan suspek kini ditahan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan sementara siasatan dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak mereka agar kes sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan.

"Ini juga sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan polis dalam mengambil tindakan awal terhadap mana-mana pesalah undang-undang negara ini,” katanya.

Sinar

Muka selamba buat maksiat

Lokasi yang sering menjadi tumpuan pasangan kekasih untuk melepaskan nafsu.

KUANTAN – “Mereka seolah-olah sudah biasa melakukan perbuatan terkutuk itu hinggakan berani keluar-masuk ke hotel bajet dengan muka tidak bersalah,” kata Mamat Ibrahim, 60, pemandu teksi di Jalan Pasar, di sini.

Katanya, lebih memalukan, kebanyakan pelanggan yang mendaftar masuk ke hotel berdekatan kawasan itu adalah golongan remaja Islam.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka orang sini atau orang luar. Tapi kebiasaannya jika ada sambutan atau program besar di sini, biasanya orang luar yang ramai datang menginap di hotel bajet ini.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada di antara mereka yang tinggal di Kuantan, tetapi sanggup mengeluarkan duit untuk bermalam dengan kekasih masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Mamat berkata, kebiasaannya mereka akan mula mendaftar masuk sekitar jam 6.30 petang sehingga lewat malam.

“Mereka daftar masuk tak tentu masa. Kadangkala saya sendiri tak sedar bila mereka masuk, tahu-tahu sahaja sudah keluar keesokan harinya.

“Yang peliknya, mereka sedikit pun tidak ambil peduli dengan pandangan masyarakat, sebaliknya bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bag imereka, orang ramai tidak berhak untuk menegur perbuatan mereka. Sebab itulah mereka berani buat apa sahaja,” katanya.

Tambahnya, selepas menunaikan ‘hajat’ masing-masing, ada di antara remaja terbabit menaiki teksinya untuk pulang ke rumah.

“Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman Kuantan. Bila ditanya, mereka jawab terpaksa bermalam di hotel murah kerana hari sudah lewat malam serta tiada kenderaan,” katanya.

Dia yang lebih 20 tahun memandu teksi berkata, kawasan itu bukan hanya menjadi tumpuan remaja ketika sambutan hari kemerdekaan atau Tahun Baru, tetapi menjadi tempat persinggahan setiap malam minggu.

“Faham-faham sahajalah, jika tiada acara besar di sini pun sudah ramai yang datang, bila tiba hari kemerdekaan, lagilah berebut bilik. Pendek kata, siapa yang lambat mendaftar masuk, tiadalah peluang untuk melampiaskan nafsu.

“Tauke hotel bertambah kaya, mereka pula tambah dosa,” katanya.

Manakala, bagi peniaga tudung dan pakaian muslimah, Zainon Mamat, 28, kadangkala golongan ini mendaftar masuk sekitar jam 9 pagi.

“Mereka memang bijak, seolah-olah sudah tahu waktu operasi Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) hinggakan ada yang terlepas daripada ditahan pihak berkuasa.
“Saya memang tidak berani tegur jika nampak ada pasangan yang mencurigakan masuk ke dalam hotel kawasan ini. Saya bimbang, jika ditegur mereka akan buat perkara yang tidak diingini.

“Golongan seperti ini sanggup buat apa sahaja asalkan dapat melepaskan diri. Justeru, jika saya nampak sesuatu yang mencurigakan, saya akan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, perbuatan ini memang sukar dibendung jika ada pihak yang tidak memberikan kerjasama terutama pemilik hotel murah.

“Jika mereka tegas serta tidak berkompromi, kemungkinan aktiviti maksiat ini dapat dikurangkan. Namun, pemilik hotel murah lebih kepada mengejar keuntungan, mereka tidak peduli sama ada pelanggan itu muhrim atau tidak,” katanya.

Ambil tindakan tegas

Sementara itu, bagi Madri Mohd, 61, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu bagi mengelakkan ia terus berleluasa.

“Saya tidak pasti sejauh mana keberkesanan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa kerana semakin hari saya lihat aktiviti ini semakin rancak seolah-olah mereka tidak takut dengan pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan.

“Mungkin kerana mereka sudah dapat membaca pergerakan pihak berkuasa, sebab itulah masing-masing berani mengusung teman wanita naik ke bilik,” katanya.

Lebih menyedihkan, dia pernah melihat teman wanita yang mendaftar masuk manakala yang lelaki menunggu di bawah.

“Saya faham, pihak berkuasa tidak mampu untuk menempatkan pegawai mereka 24 jam di hotel-hotel murah, namun saya harap mereka dapat mempertingkatkan operasi bagi mengurangkan
aktiviti tidak bermoral ini.

“Saya bimbang, jika ia tidak dibendung, masalah pembuangan bayi akan meningkat serta merosakkan masa depan remaja itu sendiri. Kita memerlukan generasi muda untuk membangunkan negara, jika mereka sudah rosak, bagaimana pembangunan negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini Jaip memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.

Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan itu yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.

Gara-gara menjalin hubungan cinta songsang, remaja dicabul dalam kereta

ROMPIN - Gara-gara menjalin hubungan cinta songsang, seorang remaja dibelasah dengan tongkat kayu sebelum dicabul dua lelaki di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak ke Temerloh.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ina (bukan nama sebenar) bukan saja dibelasah dan dicabul, malah dia yang berada di tempat duduk penumpang belakang turut dimaki dengan kata kesat dan dipaksa makan cili api.
Lebih mengaibkan, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘bomoh’ sempat merakamkan gambar dan video Ina yang tidak berbaju itu dalam telefon bimbit sambil mengugut untuk menyebarkannya dalam Internet.
Ina yang berusia 19 tahun itu berkata, sepanjang perjalanan itu juga, dia didera fizikal dan mental apabila diasak pelbagai pertanyaan keluarga Tasha (bukan nama sebenar) dan bomoh terbabit tentang hubungan sejenisnya dengan wanita itu.

“Keluarga Tasha datang jumpa keluarga saya di rumah dan paksa saya supaya ikut mereka ke Temerloh kononnya untuk berbincang dan menyelesaikan secara baik kesalahan yang dilakukan saya terhadap Tasha,” katanya.

Menurutnya, ibunya yang bimbang sesuatu terjadi ke atas dirinya menghubungi abangnya memaklumkan tentang kedatangan keluarga Tasha ke rumahnya bagi menyelesaikan kes terbabit.

“Bagaimanapun keluarga Tasha tetap berkeras untuk membawa saya ke Temerloh untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pada mulanya, mereka tidak membenarkan emak dan kakak saya ikut, namun setelah didesak beberapa kali akhirnya mereka terpaksa membawa kedua-duanya sekali ke Temerloh.

“Emak saya mula curiga, apabila saya dipaksa menaiki kereta berasingan sedangkan emak dan kakak menaiki kereta yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, atas alasan bomoh itu yang kononnya tidak berbuat apa-apa terhadap diri saya di dalam kereta terbabit, akhirnya ibu akur dengan alasan tersebut.

“Segala-galanya berubah apabila saya yang duduk di tempat penumpang belakang diapit abang Tasha dan bomoh telah bertindak kejam dengan memukul saya dengan tongkat kayu sambil melemparkan kata kesat,” katanya.

Ina berkata, bomoh itu turut merakamkan video dan gambar dia tidak berbaju sambil memaksanya untuk memandang kamera telefon bimbit tersebut.

Katanya, bomoh dan abang Tasha juga mengugut untuk membawanya ke sebuah penempatan Orang Asli kerana ada tujuh lelaki di situ yang sudah sedia menunggu untuk merogolnya.

“Bagaimanapun, ibu Tasha menghubungi anaknya itu supaya segera membawa saya ke rumah mereka kerana sudah lama menanti,” katanya.
Katanya, sebaik saja sampai di rumah ibu Tasha, dia dipukul wanita itu.

Menurutnya, kejadian dia dipukul itu hanya mampu disaksikan ibu dan kakaknya itu memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk menghalang perbuatan kejam tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia tiba di rumah, dia menceritakan segala-galanya detik dia dicabul dan dipukul oleh bomoh dan abang Tasha kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan bagi pihaknya.

“Pada mulanya, kita tak mahu memperbesarkan perkara ini, namun tindakan yang dilakukan oleh keluarga Tasha amat kejam hingga mendatangkan kecederaan dan mencabul kehormatan saya,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam sebelum membuat laporan polis seterusnya di Balai Polis Bandar Tun Razak, Keratong.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan, Zainul Mujahidin Mat Yudin mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes terbabit.

Zainul Mujahidin berkata,  polis menahan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan.

Serangan udara ragut puluhan nyawa di Damsyik

DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 60 terkorban selepas dua jet pejuang milik tentera  kerajaan melancarkan serangan bertubi-tubi di pinggir Damsyik, menurut aktivis, kelmarin.

Mereka menyatakan insiden lewat malam kelmarin itu dipercayai adalah serangan balas susulan daripada tindakan Tentera Pembebasan Syria (FSA) menggempur dan menawan beberapa pusat pemeriksaan askar kerajaan di pinggir Saqba.

Difahamkan, serangan itu juga menyasarkan kawasan kejiranan Zamalka yang dihuni penduduk miskin dan majoriti pengikut Sunnah (penentang kuat Presiden Bashar al-Assad).

Menerusi rakaman video yang diperoleh oleh media antarabangsa menunjukkan penduduk termasuk kanak-kanak lari bertempiaran menyelamatkan diri selepas salah sebuah jet pejuang melancarkan peluru berpandu ke arah apartmen enam tingkat di pinggir ibu negara.

"Serangan jet pejuang itu adalah yang pertama kali di pinggir Damsyik. Ia dilihat berlegar-legar di ruang udara sebelum bertindak melancarkan serangan bertalu-talu," menurut seorang aktivis yang enggan mendedahkan identitinya.

Dalam satu kejadian berasingan, kumpulan pemberontak memaklumkan mereka telah menembak jatuh sebuah helikopter di Damsyik, sehari selepas pasukan keselamatan Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar Daraya.

Dua wanita dibunuh lelaki mabuk


DI kawasan rumah inilah tempat berlakunya kejadian seorang lelaki yang mabuk bertindak menikam Bibia dan Jalijah hingga mati di Kolombong, Kota Kinabalu kelmarin. 
 

KOTA KINABALU – Bahana meneguk arak, seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila membunuh dua wanita yang merupakan jiran bilik sewanya hanya kerana berang selepas ditegur meminum minuman keras tersebut dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong dekat sini kelmarin.

Pembunuhan pukul 7 petang itu mengakibatkan Bibia Daud, 40, dan Jalijah Jalin, 30, mati di tempat kejadian selepas masing-masing ditikam di leher dan perut oleh suspek berusia lingkungan 30-an tersebut. Kedua-dua mangsa merupakan warga Filipina.

Kejadian berlaku apabila suspek yang sedang mabuk naik berang selepas ditegur berulang kali mengenai kegiatannya itu oleh Bibia dan suaminya yang dikenali sebagai Elon, 52.
Tanpa disangka, suspek kemudian mengambil sebilah pisau lalu terus menikam leher suri rumah tersebut sebelum Elon mengejar suspek hingga berlaku pergelutan di dalam kawasan kejadian.
Bertambah malang apabila Jalijah yang baru pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya dirodok di perut oleh suspek ketika dia ingin memasuki rumah tersebut. Jalijah baru menyewa di situ sejak dua bulan lalu.

Difahamkan, kesemua yang terlibat tinggal di satu deretan rumah diperbuat daripada papan mempunyai 20 buah bilik dan dihuni lebih 60 penyewa.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun (gambar kecil) berkata, Elon yang semakin geram dengan tindakan suspek kemudian terus mengejar lelaki itu sejauh kira-kira 100 meter sambil membawa sebatang besi.
“Ekoran pergaduhan itu, kedua-duanya parah selepas mengalami pendarahan teruk. Mereka kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Mati tertimbus dalam liang lahad

Beberapa penduduk melihat kubur yang meragut nyawa Zailan (gambar kecil) di Kampung Penak, Mentakab semalam. 

TEMERLOH - Seorang penggali kubur menemui ajalnya selepas tertimbus selama kira-kira lima minit di dalam liang lahad yang digalinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penak dekat Mentakab di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 10.15 pagi, Zailan Hamid, 40, sedang menggali tiang lahad untuk mengebumikan seorang penduduk kampung, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira empat jam sebelum itu.
Rakan sekampung mangsa, Nizri Bakar, 57, berkata, sebelum kejadian, Zailan yang sudah 10 tahun berpengalaman menggali kubur bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Nasir Musa, 44, berada di dalam kubur tersebut bagi menyudahkan liang lahad yang akan menempatkan jenazah Minah.
"Dalam keadaan berdiri, Zailan dan Nasir melakukan kerja-kerja terakhir membaiki liang lahad namun tanpa diketahui puncanya kubur tersebut tiba-tiba tertimbus dengan tanah yang berada di tebing kubur hingga menutupi badan Zailan," kata pemuda itu.
Bagaimanapun, Nasir bernasib baik kerana runtuhan tanah tersebut tidak menimpa badannya.
Nizri memberitahu, Zailan terkambus sedalam kira-kira setengah meter dan semasa itu hanya kaki kanan mangsa yang terjulur keluar dari timbunan tanah.
"Melihat kejadian tersebut, saya menjerit meminta tolong kawan-kawan yang sedang berehat di kawasan kubur," kata Nizri.
Tambah Nizri, mereka kemudian beramai-ramai menggali kubur itu semula menggunakan tangan tanpa cangkul kerana takut akan mencederakan kepala dan badan mangsa yang tertimbus.

Azmir mahu himpun orang sengau


BEKAS peserta program One In A Million musim kedua ini kini muncul dengan single berjudul, Laila One More Time. 

MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali penyanyi Azmir Arif, 29, walaupun sudah hampir lima tahun dia berada dalam arena nyanyian tanah air.
Bermula dalam program realiti TV, One In A Million musim kedua, Azmir, tidak pernah beranggapan kekurangan pada dirinya yang tidak dapat bercakap dengan normal sejak kecil itu sebagai batasan untuk menjejakkan kakinya lebih jauh dalam industri ini.

Azmir atau nama sebenarnya Mohd. Azmira Mohamad Arif berkata, ketika mula-mula melibatkan diri dalam dunia seni suara, dia agak keberatan untuk bercakap kerana bimbang ditertawakan.
“Dulu masa mahu buat persembahan, saya tidak bercakap, terus menyanyi sahaja. Namun, apabila sudah ada keyakinan saya bercakap sedikit, tetapi saya tengok ada penonton yang berbisik sesama sendiri. Selepas mereka dengar saya menyanyi, baru mereka dapat lihat bakat saya.

“Apabila orang sudah tahu percakapan saya tidak sama dengan nyanyian, baru saya ada keyakinan,” jelasnya pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Mula membuka cerita mengenai masalah percakapan yang dialaminya, Azmir mengakui bahawa dia ada masalah sengau.

“Maaf ya kalau anda tidak faham, saya ada sengau,” akuinya.
Azmir yang lebih banyak menerima undangan persembahan di Singapura berharap suatu hari nanti dia dapat menghimpunkan golongan yang mempunyai masalah sengau untuk bertukar pendapat dalam menyalurkan keyakinan diri antara satu sama lain.

“Saya hendak ajar mereka bercakap dengan betul seperti yang saya buat, walaupun tidak dapat 100 peratus bercakap dengan elok, sekurang-kurangnya 90 peratus itu sudah cukup,” ujarnya yang pernah menjalani pembedahan bagi mengatasi masalah sengau ketika berusia 14 tahun.
Kata Azmir lagi, bagi orang sengau mereka tidak boleh bergantung 100 peratus kepada pembedahan semata-mata sebaliknya 50 peratus untuk bertutur dengan baik adalah disebabkan usaha belajar sendiri.

“Saya belajar bercakap dengan baik secara sendiri. Saya rakam suara dan dengar kesilapan itu semula, dengan cara itu saya belajar untuk menyanyi dengan baik,” ujarnya.
Menurut penyanyi yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang ini, pertaruhan terbaharunya sekarang adalah terhadap single berjudul, Laila One More Time yang berentak ala muzik K-Pop.
“Jiwa saya bukan ke arah itu sebenarnya, tetapi pencipta lagu itu berasal dari Korea, jadi saya anggap ia satu cabaran untuk diri saya menyanyikan lagu berkenaan,” katanya yang terpaksa menari untuk single berkenaan.

Azmir yang pernah mengeluarkan single sempena hari raya genre zapin berjudul Pulang Ke Desa bagaimanapun menegaskan dia tidak takut peminatnya keliru dengan kepelbagaian genre muzik yang dibawanya.
“Saya minat irama tradisional, bagi saya kalau anak muda macam saya tidak menyanyikan lagu ini siapa lagi yang akan berbuat demikian,” katanya yang pernah bekerja di sebuah bank sebelum bergelar penyanyi.
Baginya, lagu-lagu irama tradisional ini semakin kurang diperjuangkan dan dia merasakan tugas penyanyi muda sepertinya perlu banyak menyanyikan lagu sedemikian.

Kosmo

Tidak serius berlakon


NOH dan isterinya, Mizz Nina bersependapat mahu memberikan fokus utama terhadap karier muzik mereka. 

NAMA pasangan suami isteri Mohammad Noh Salleh, 27, dan Shazrina Azman, 32, atau lebih sinonim dengan panggilan Mizz Nina sudah semestinya cukup gah sebagai antara penyanyi di negara ini.

Noh dikenali ramai selaku vokalis kumpulan Hujan yang baru sahaja muncul juara program Versus pada Jun lalu, manakala isterinya pula sudah acap kali berkolaborasi dengan ramai penyanyi antarabangsa.

Dengan nama kedua-duanya yang sudah semakin kukuh dalam industri nyanyian, ternyata wajah Noh dan Mizz Nina kini dapat disaksikan pula di layar perak menerusi filem berjudul Hantu Gangster.
Menceritakan tentang pembabitan mereka dalam filem berunsur komedi seram itu, Noh yang ditemui pada acara malam gala filem berkenaan di GSC Maxx Berjaya Times Square menyatakan semuanya berlaku secara kebetulan.

"Penerbit Eksekutif filem ini iaitu Fred Chong dan saya memang sudah lama saling mengenali. Jadi dia telah mengajak saya untuk sama-sama terbabit dalam filem ini.
"Kemudian saya beritahu supaya tidak mengajak saya seorang sahaja, sebaliknya saya turut mencadangkan nama Nina untuk terbabit sama dan persetujuan akhirnya dicapai apabila Fred bersetuju dengan cadangan tersebut," jelasnya.

Menurut Noh, biarpun penampilannya dalam filem berkenaan hanya sebagai cameo, pengalaman dapat terbabit dalam penggambaran filem dianggap cukup bermakna, malah layanan yang diterima daripada pihak produksi juga sangat memuaskan.

Ujarnya, sebagai individu yang langsung tidak ada sebarang pengalaman atau latar belakang dalam lakonan, dia teruja kerana banyak yang dipelajari tentang selok-belok dunia lakonan.
"Kalau setakat penggambaran yang dilakukan berulang kali itu pastinya normal buat orang seperti saya yang tidak pernah terfikir untuk berlakon filem, namun pengalaman yang diraih itu ternyata lebih berharga," ujarnya yang pernah muncul dalam drama Projek Pop bersama kumpulan Hujan sebelum ini.

Ditanya sama ada pembabitannya dalam filem berkenaan sebagai langkah awal untuk dia terjun ke bidang lakonan, Noh menegaskan ia sekadar percubaan dan tidak pernah terfikir untuk serius berlakon.

Jelas Noh, pembabitannya dalam filem tersebut juga lebih kepada memenuhi permintaan rakannya yang beria-ia mahukan dirinya dapat tampil dalam filem tersebut.
"Lagipun saya sekadar muncul sebagai cameo dan watak yang diberikan tidaklah terlalu besar. Kalau saya disuruh membawakan watak utama, secara jujurnya memang saya tidak akan melakukannya.
"Rasanya lebih baik kalau saya terus beri fokus kepada dunia nyanyian sahaja, namun saya akan mempertimbangkan kalau ada lagi menerima sebarang watak yang kecil," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang projek terbaharu Hujan, Noh menjelaskan kumpulannya bakal mengadakan konsert siri jelajah di beberapa buah lokasi yang akan ditentukan kemudian.
Menurutnya, konsert berkenaan diadakan sebagai satu penghargaan istimewa kepada peminat yang telah banyak menyokong mereka sehingga muncul juara program Versus dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.

"Kalau mengikut perancangan, konsert ini akan bermula selepas hari raya nanti. Namun, buat masa sekarang kami masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai lokasi konsert yang bakal berlangsung," ujarnya.

Sekadar mencuba
Berkenaan dengan pembabitan dalam bidang lakonan, Mizz Nina turut mempunyai pandangan yang sama seperti suaminya iaitu tidak mahu serius berlakon dan mahu memberi sepenuh komitmen kepada nyanyian.

Jelas Nina, dia juga sekadar tampil sebagai cameo dalam filem Hantu Gangster dan terbabit secara tidak sengaja memandangkan Noh terlebih dahulu ditawarkan untuk berlakon.
"Kalau diikutkan cuma Noh yang terbabit dalam filem ini, tetapi dia telah mencadangkan nama saya sekali. Bila difikirkan inilah masanya untuk saya mencuba bidang yang baharu.
"Namun, saya tidak pernah terfikir untuk lebih serius dalam lakonan kerana minat saya memang dalam bidang nyanyian. Asalkan mendapat pengalaman itu sudah bermakna buat diri saya," ujarnya.
Menerusi percubaan sulungnya itu, penyanyi tersebut memberitahu banyak pengalaman menarik yang diperoleh, termasuk bekerjasama dengan ramai pelakon popular tanah air.
"Sekarang ini saya sudah dapat sedikit pengetahuan tentang kerja-kerja penerbitan sesebuah filem. Malah, saya dapat rasa kerjaya sebagai seorang pelakon ini bukanlah mudah," jelasnya.

Lancar album
Jika suaminya bakal mengadakan konsert siri jelajah bersama kumpulan Hujan, ternyata Mizz Nina juga turut mempunyai perancangan yang sama dengan mengadakan konsert di beberapa buah lokasi seperti Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Selain itu, penyanyi yang popular menerusi lagu What You Waiting For itu bakal meluaskan sayapnya ke Australia untuk mengadakan mini konsert serta pelancaran album keduanya iaitu Take Over.
"Mungkin pada bulan Oktober ini saya akan pergi ke Melbourne, Australia dan mengadakan majlis pelancaran album terbaharu saya di sana. Sebelum ini album berkenaan terlebih dahulu dilancarkan di Malaysia sekitar bulan Mei lalu.

"Tujuan saya ke sana kerana mahu cuba untuk menembusi pasaran jualan album serta mengembangkan lagi karier nyanyian saya. Sudah tentu saya berharap dapat diterima peminat di negara tersebut," jelasnya.

Menurut Nina, pada masa yang sama muzik video terbaharunya untuk lagu Summer Burning bakal dilancarkan selepas hari raya ini. Dalam muzik video tersebut dia bergandingan dengan DJ Poet.
"Lagu Summer Burning ini tidak terkandung dalam album baharu saya, sebaliknya ia dihasilkan untuk single sahaja. Saya beruntung kerana dapat berkolaborasi dengan DJ Poet kerana dia sememangnya agak terkenal dan pernah bekerjasama dengan kumpulan Black Eyed Peas," ujarnya,

Kosmo

Carrefour Singapura tutup menjelang hujung tahun


SEORANG pelanggan menolak sebuah troli di luar pasar raya Carrefour di Singapura. Carrefour akan menamatkan operasinya di republik itu pada akhir 2012.


SINGAPURA - Carrefour semalam menyatakan bahawa ia akan menamatkan operasinya di sini apabila kedua-dua cawangan sedia ada ditutup menjelang penghujung tahun ini.
Gergasi peruncitan dari Perancis itu merupakan syarikat terawal yang memperkenalkan konsep pasar raya besar di Singapura menerusi pembukaan cawangan pertamanya pada tahun 1997.

Carrefour mengakui pihaknya sukar untuk menembusi pasaran Singapura yang mempunyai 5.2 juta orang penduduk kerana pesaing lain lebih kompetitif. Mereka juga mempunyai rangkaian cawangan yang luas dan terletak berhampiran dengan kawasan perumahan awam.

"Carrefour Singapura mengumumkan keputusan untuk menutup cawangan di Suntec dan Plaza Singapura sebelum akhir 2012 memandangkan perspektif pertumbuhan tidak menunjukkan pasar raya ini mampu menjadi peneraju pasaran dalam jangka sederhana dan panjang," kata peruncit itu dalam satu kenyataan.

Menurut seorang eksekutif kanan sebuah syarikat elektronik Asia yang merupakan antara pembekal kepada Carrefour, keputusan untuk menarik diri dari negara ini bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Terdapat banyak cakap (mengenai penutupan) daripada kakitangan syarikat itu. Mereka juga cuba menghabiskan stok barangan sejak dua bulan lalu," katanya.

Carrefour yang merupakan peruncit kedua terbesar dunia selepas kumpulan Walmart dari Amerika Syarikat (AS), mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 14.3 peratus kepada AS$463 juta (RM1.446 bilion) pada tahun 2011 berikutan kelembapan ekonomi dunia. - AFP

Wanita punca 17 orang dipenggal


BEBERAPA anggota kumpulan Taliban menaiki sebuah trak pikap semasa meronda kubu kuat mereka di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.


KABUL - Seorang jurucakap di Afghanistan menyatakan, 17 orang termasuk yang ditemui mati dengan kepala mereka dipenggal kelmarin merupakan mangsa yang terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Beberapa pegawai tempatan sebelum ini mendakwa, kumpulan Taliban menyerang satu parti di kawasan yang dikuasai mereka di selatan Afghanistan dan memenggal kepala 17 orang termasuk dua wanita, malam Ahad lalu.

Seorang pegawai tersebut, Neyamatullah Khan berkata, mereka dibunuh kerana mengadakan parti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta acara tarian yang melanggar ajaran Islam.

Serangan kejam itu berlaku di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.
Namun, jurucakap gabenor wilayah Helmand memberitahu, semua mangsa maut akibat terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Jurucakap berkenaan, Daoud Ahmadi berkata, mereka bergaduh dipercayai kerana berebutkan dua wanita itu.

Menurutnya, satu kejadian tembak-menembak berlaku semasa pergaduhan tersebut.
Namun, jelasnya, beliau tidak pasti pergaduhan itu mempunyai kaitan dengan muzik dan acara tarian yang diadakan atau sama ada beberapa anggota Taliban adalah antara mereka yang maut dalam insiden tersebut.
"Semua mangsa dipenggal kepala mereka tetapi tidak jelas sama ada mereka ditembak terlebih dahulu," ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan dakwaan pihaknya terbabit dalam pembunuhan tersebut.
"Anggota Taliban tidak akan membunuh orang awam. Komander Taliban juga tidak bergaduh sesama mereka," kata Qari.
"Kami tidak tahu tentang kejadian ini. Sama ada ia berlaku atau sebaliknya, kami tidak terbabit," tegasnya.
Kumpulan Taliban menguasai sebahagian besar daerah Musa Qala yang mengandungi lebih 100 buah kampung sejak 2001. - AP

Lebih satu tan dadah dibakar


BEBERAPA pegawai polis dan orang ramai melihat dadah berjumlah lebih satu tan dibakar dalam satu majlis di Phnom Penh semalam.


PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja memusnahkan pelbagai jenis dadah berjumlah lebih satu tan dalam satu majlis yang berlangsung di sini semalam.
Media tempatan melaporkan, semua dadah tersebut yang merupakan hasil rampasan oleh pihak berkuasa dibakar pada majlis berkenaan.

Selain pihak media, polis dan orang awam majlis tersebut turut dihadiri oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk Gabenor Phnom Penh, Kep Chuk Tema dan Timbalan Pihak Berkuasa Kebangsaan Dalam Memerangi Dadah, Keo Khondara. - Reuters

Tuesday 28 August 2012

Amanda Imani Gondol 2 Anugerah Di Sepanyol

Tahniah MH Online ucapkan kepada penyanyi berbakat besar, Amanda Imani apabila berjaya mencipta kejayaan di pertandingan Universong Music Festival kali ke-12 yang diadakan di Tenerife iaitu sebuah pulau dalam Kepulauan Canary.
Dalam pertandingan yang berlangsung dari 18 hingga 22 Julai lalu, Amanda telah dianugerahkan 'Best Stage Present Award' dan 'Special Award for Vocal Presentation and Artistic Qualities' di festival yang turut menampilkan beberapa penyanyi dari seluruh dunia.
 
“Syukur Alhamdulillah, di pentas Universong Music Festival saya telah menyanyikan lagu 'Jatuh Cinta Kasih', iaitu lagu hasil ciptaan saya dan Ajai dan lagu tersebut telah memberi peluang saya menggondol dua anugerah tersebut.
 
“Di beri anugerah sebegini membuatkan saya mahu terus gigih berkarya dan mencuba pelbagai lagi genre muzik agar tampil versatile dan dapat memenuhi selera peminat muzik tempatan. InsyaAllah lepas raya nanti saya akan tampil dengan lagu berkonsep baru, 'Fobia Cinta' yang menampilkan pemain biola Dennis Lau merupakan ciptaaan saya 100 peratus,” ujar penyanyi yan kini popular dengan lagu 'Cemburu'.
 
Pemergian Amanda ke Sepanyol telah mendapat sebahagian tajaan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai bantuan untuk menyertai festival muzik tersebut.
 
MH

Tauke Raja Lawak Sah Bercerai

Pelawak yang lahir menerusi program realiti Raja Lawak, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 36, mengesahkan sudah melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya, Meera, 23, pada 12 Ogos lalu.
“Sekarang saya sudah tiada apa-apa hubungan dengan dia dan memang saya sudah kembali solo sejak dua minggu yang lalu,” katanya yang dihubungi oleh Sinar Harian.
 
Sebelum ini heboh diperkatakan Tauke dan Meera sudah tidak tinggal sebumbung dan dia juga sudah lama tidak bertemu Meera. Tauke menjelaskan;
 
“Memang benar sebelum ini rumah tangga kami dilanda krisis agak besar apabila dia keluar dengan membawa semua pakaiannya, pada bulan Julai lalu dan puncanya biarlah saya rahsiakan saja."
 
Perkahwinan ketiga Tauke dengan model sambilan itu berlangsung pada April lalu dan dia mempunyai enam orang anak hasil daripada dua perkahwinan terdahulu.
 
MH

17 dipancung kepala ketika berpesta


ANGGOTA kumpulan Taliban dipercayai mendalangi pembunuhan kejam di Musa Qala, Helmand, Afghanistan semalam. 
 

KANDAHAR - Sebuah pesta larut malam di wilayah Helmand, selatan Afghanistan bertukar menjadi tragedi ngeri apabila seramai 15 lelaki dan dua wanita ditemui dalam keadaan kepala mereka dipenggal semalam, kata beberapa pegawai.

Semua mangsa dipercayai dibunuh hanya kerana mereka mengadakan sebuah parti melibatkan pergaulan antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta tarian.

Seorang gabenor daerah, Nimatullah ketika mengesahkan pembunuhan kejam itu berkata, semua mayat ditemui di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.

"Mereka mengadakan sebuah parti malam kelmarin berserta iringan muzik dan acara tarian apabila diserang oleh kumpulan Taliban," kata Nimatullah.
Menurutnya, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan kekejaman tersebut.

Ia tak buruk - Que

QUE bersama dua orang anaknya, Qalif dan Ratu serta isteri, Linda pada majlis sambutan ulang tahun Ratu tahun lalu. Anak ketiga mereka, Cleopatra tiada dalam gambar. 

SIAPA tidak sayang anak! Begitu juga perasaan pelakon berbakat besar, Que Haidar apabila baru-baru ini nama cahaya mata keduanya yang dilahirkan tiga bulan lalu menjadi pertikaian banyak pihak.

Ada yang mendakwa nama Tengku Cleopatra Haidar sangat kebaratan dan tidak sesuai diberikan untuk seorang yang beragama Islam, malah ramai yang menyarankan dia memilih nama yang lebih mencerminkan nilai Melayu dan Islam.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, yang juga memiliki dua orang anak bersama guru tarian, Linda Jasmine iaitu Qalif Khan (anak hasil perkahwinan pertama Linda) dan Tengku Ratu Haidar, 4, tampil memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya kepada Kosmo! ketika ditemui di sebuah majlis anjuran Lord’s Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Que sedar atau tidak akan kata-kata sesetengah pihak yang kurang senang apabila anda menamakan puteri kedua dengan nama Tengku Cleopatra sempena nama permaisuri Mesir suatu ketika dulu?
QUE: Sebelum memilih nama itu, kami sudah memikirkan baik buruk dan sudah memahami maksud di sebalik nama itu. Ertinya kekuatan bapa atau glory of father daripada bahasa Greek.
Jadi apa masalahnya? Saya rasa tidak perlu timbul isu sesuai atau tidak sesuai nama yang saya beri kepada anak saya. Apakah nama yang sesuai dan melambangkan orang Johor atau orang Malaysia?
Apabila ada juga sesetengah pihak yang menilai pemilihan nama yang sesuai mencerminkan akhlak seseorang anak, bagaimana pandangan anda?
Tidak ada kena-mengena nama seseorang dan personaliti. Jika dibentuk dengan cara yang baik, maka akan jadi baiklah seseorang itu. Nama itu pun bukan membawa maksud sesuatu yang buruk. Contohnya nama bapa saya iaitu Tengku Haidar yang bermaksud singa, tapi bagi saya dia lelaki paling mulia dan baik yang pernah saya kenali dalam hidup. Jadi bukan nama orang yang menilai personaliti.
Anda ada alasan sendiri untuk tidak mempedulikan kata-kata orang sekeliling?
Saya menghiburkan masyarakat sejak usia 16 tahun lagi dan sekarang sudah tiba waktu untuk saya berasa gembira dengan keputusan dan kehidupan saya. Saya gembira memilih nama Tengku Cleopatra Haidar untuk anak saya dan keluarga saya juga gembira. Ini masa saya dan inilah saya sekarang! Saya gembira untuk memanggilnya dengan nama itu.
Pandangan anda terhadap komen-komen negatif di internet berkenaan pilihan nama Cleopatra?
Saya tidak anggap perkara itu besar dan saya rasa orang yang memberikan komen di internet tidak berapa pandai. Anak saya seorang Islam dan saya sendiri yang qamat Tengku Cleopatra Haidar. Saya rasa tidak menjadi masalah.
Terkilan atau sedih dengan perkara ini?
Saya sedih apabila kebanyakan yang memberikan komen terdiri daripada kaum Melayu dan bagi saya mereka berfikiran sempit. Tapi tidak kurang juga ada yang memuji. Saya agak terperanjat sebenarnya dengan respons negatif segelintir pihak, tapi tidak mengapa kerana ia tidak memberi kesan pun.
Memandangkan anda sekarang sudah semakin menyepi daripada dunia seni, mungkin anda ada perancangan lain selain daripada berlakon?
Tawaran berlakon masih ada, cuma saya terlalu cerewet. Saya perlu pastikan skrip, karakter, pengarah dan pelakon lain menepati kriteria yang saya inginkan. Saya melihat keseluruhan aspek kerana saya kini mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian dari segi masa. Saya mahukan sebuah naskhah yang mempunyai pengisian ke arah kemasyarakatan dan bermakna untuk memberi pendidikan kepada penonton.

Selain meluangkan masa bersama keluarga, apa aktiviti lain buat masa sekarang?
Saya masih menantikan tayangan filem Rock 2 pada bulan Mac tahun depan. Selepas pementasan Primadona, saya ada terfikir untuk berlakon dalam beberapa buah teater lain, tapi belum diputuskan buat masa sekarang. Saya belum sedia untuk menjadi pengarah kerana risikonya tinggi dan biar betul-betul bersedia. Buat masa sekarang kebanyakan projek saya masih dalam proses perbincangan.

Kosmo

Kambing panjat pokok di Maghribi


BEBERAPA ekor kambing memanjat pokok argan untuk memakan buahnya di sebuah gurun dekat Essaouira, Maghribi semalam.


RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.
Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.
Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.
Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter. - AFP

Kabaret guna robot wanita pikat pelanggan


Dua wanita memakai bikini (kiri) mengendalikan robot perempuan setinggi 3.6 meter di Restoran Robot di daerah Kabukicho, Tokyo, 16 Ogos lalu.


TOKYO - Di sebuah restoran yang terletak di daerah hiburan di sini, empat buah robot wanita mengenyit mata dan melambaikan tangan sambil bergerak mengikut rentak gendang tradisi Jepun dan lagu Lady Gaga.

Suasana itu menandakan bermulanya persembahan di 'Restoran Robot' yang merupakan sebuah restoran kabaret berteknologi tinggi di Jepun.
Sebahagian besar robot industri di dunia digunakan di negara ini.
Pemilik restoran berkenaan menyatakan, dia berbelanja 10 bilion yen (RM391.2 juta) dan menunggu selama tiga tahun untuk keempat-empat robot itu disiapkan.
"Semuanya kecuali komponen utama robot ini dihasilkan dan dipasang oleh kami," kata jurucakap kabaret berkenaan, Watanabe.

Katanya, robot wanita itu memiliki ketinggian 3.6 meter. Robot yang ditempah khas tersebut mempunyai ciri-ciri raut wajah yang dikawal oleh penari kelab berkenaan.
Bahagian bawah tubuh robot tersebut dilengkapi beberapa tempat duduk seperti karakter siri kartun popular Jepun, Gundam.
Bahagian tubuh atas robot itu dihiasi dengan pakaian dalam pahlawan wanita futuristik.
Robot tersebut turut dirias dengan rambut berwarna perang, coklat dan merah bersama mata biru atau hijau.

Setiap robot tersebut dikawal oleh dua penari wanita berbikini.
Penari-penari itu akan duduk di kerusi yang terletak di bahagian perut robot berkenaan.
Mereka akan mengawal raut wajah dan kaki robot berkenaan dengan menggunakan kayu bedik sepanjang persembahan robot wanita itu berlangsung.
Konsep di sebalik pembukaan restoran itu adalah bergaduh, wanita yang lincah dan robot-robot tersebut adalah sebahagian daripada tema restoran ini. - Reuters

Klik Untuk Saya k... :)

free counters