INTAN LADYANA tidak rela namanya kecoh diperkatakan angkara kontroversi.
RAMBUT mayang mengurainya sudah begitu sinonim dengan penampilan
dirinya yang anggun. Khalayak sudah biasa melihat Intan Ladyana
berambut panjang, namun aktres cantik itu terpaksa mengorbankan apa
yang menjadi aset penampilannya selama ini.
Bagi memenuhi keperluan filem lakonannya yang baru sahaja tamat
penggambaran, Dampak, Intan terpaksa memotong rambutnya menjadi pendek.
Bakal muncul dengan filem Halim Munan yang bakal ditayangkan pada
13 September ini, dia tetap gembira apabila menerima respons baik
terhadap imej terkininya itu.
“Memang sayang nak potong rambut, tetapi dalam filem Dampak, saya
memegang watak Qyra. Dia harus mempunyai kelainan berbanding
adik-beradik yang lain, jadi caranya adalah dengan memotong rambut,”
jelasnya yang kali terakhir berambut pendek ketika menuntut di
tingkatan tiga pada zaman persekolahannya dahulu.
Ujar pelakon filem Bini-Biniku Gangster itu lagi, dia pada awalnya
agak gelisah untuk memotong rambutnya itu kerana sudah terlalu lama
dengan imej berambut panjang. Selain itu, Intan juga mengakui bimbang
dengan imej berambut pendek akan menyebabkan mukanya kelihatan lebih
berisi.
“Saya takut muka nampak gemuk, tetapi syukur, semua orang cakap
nampak elok. Lagipun bagus juga tukar imej macam ini, ada juga
kelainan,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama
pelakon Halim Munan di Restoran Andalus di Bukit Bintang, Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dengan imej tersebut, dia kini tidak perlu mengambil
masa yang lama untuk bersiap sebelum keluar rumah kerana tidak sukar
untuk menjaga rambut pendek.
“Kepala juga terasa ringan dan tidak perlu ambil masa lama untuk urus
rambut sikit macam ini,” kata kekasih kepada pelakon Kamal Adli itu.
Sementara itu, Intan yang pernah tercalon sebagai Pelakon Pembantu
Wanita Terbaik menerusi filem Bini-Biniku Gangster pada Festival Filem
Malaysia ke-24, berharap filem Halim Munan bakal meraih sambutan
daripada para peminatnya.
Intan melakonkan watak utama sebagai Suriyat iaitu seorang gadis yang
menjadi idaman pemuda di kampung, termasuk Fizo Omar yang memegang
watak utama Halim Munan.
“Walaupun penampilan saya dalam filem ini tidak banyak, tetapi ia
merupakan filem yang harus ditonton kerana banyak menggunakan teknik
janaan imej perkomputeran (CGI) yang tidak digunakan dalam filem lain
setakat ini,” jelasnya yang sudah berlakon dalam lima buah filem
sepanjang tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Intan bakal muncul di layar kaca menerusi
drama bersiri Bini-Biniku Perkasa di TV3 yang juga merupakan adaptasi
daripada filem Bini-Biniku Gangster.
Pelakon yang lebih selesa tidak terpalit dengan kontroversi ini juga
berharap karier seninya akan terus berkembang tanpa sebarang kisah
kurang manis.
“Saya rela tiada cerita langsung di media berbanding heboh dengan cerita kontroversi,” jelasnya.
Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri nanti, kata Intan, setiap
tahun dia memang mengamalkan kesederhanaan dan tidak membeli baju baharu
untuk menyambut Aidilfitri.
“Biasanya setiap hari raya, saya dan keluarga akan pulang ke
Bangkok, Thailand. Namun, tahun ini kami beraya di Kuala Lumpur sahaja.
Kalau beraya di Bangkok, saya tidak perlu pakai baju kurung, jadi sebab
sudah biasa tidak beli baju baharu, tahun ini saya pakai baju biasa
sahaja,” kata Intan yang berdarah kacukan Thailand sebelah ibunya, Wan
Zurina Wan Esa.
Kosmo
No comments:
Post a Comment