ISLAMABAD - PAKISTAN. Sebuah pulau baru kira-kira 600 meter dari pantai
Gwadar di Laut Arab terbentuk selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8
skala Richter melanda daerah Awaran di wilayah Balochistan, Pakistan,
kelmarin.
Ketua Pusat Pemantauan Seismologi, Zahid Rafi berkata, pembentukan
pulau sepanjang 91 meter dengan kedalaman 21 meter itu tidak mustahil
jika dilihat kepada magnitud gempa.
"Gempa bumi yang besar boleh menyebabkan perubahan bentuk ketara pada
kerak bumi, terutamanya di sepanjang pantai," katanya pada Press TV.
Seorang ahli biologi marin dari Institut Oseanografi Pakistan, Muhammad
Danish berkata, dasar laut berhampiran pantai Makran mempunyai hidrat
gas beku dengan jumlah metana yang besar menyebabkan pengeluaran gas
metana dari pulau itu.
Kemunculan pulau berhampiran Gwadar itu adalah yang keempat di rantau itu sejak 1945.
Sementara itu, media melaporkan, jumlah kematian akibat gempa bumi
telah meningkat melebihi 340 orang. "Operasi mencari dan menyelamat
masih diteruskan," kata laporan itu.
No comments:
Post a Comment