SEBELUM filem berjudul Aku, Kau Dan Dia ditayangkan pawagam,
nama pelakon Zarinatasha Jamalullail, 23, belum lagi dikenali ramai,
meskipun pernah muncul sebagai finalis pertandingan Dewi Remaja 2010/11
dua tahun lalu.
Bagaimanapun, baru-baru ini namanya menjadi sebutan ramai gara-gara
dakwaan yang mengatakan suaminya telah membayar sejumlah wang kepada
penerbit filem tersebut untuk memotong beberapa babak romantik,
terutamanya melibatkan dirinya dan aktor Pekin Ibrahim.
Zarina menafikan gosip yang mengaitkan suaminya itu. Dia menjelaskan
pemotongan beberapa babak merupakan permintaannya sendiri, memandangkan
penampilannya yang kini bertudung. Malah, ia sudah dipersetujui Pierre
Andre selaku pengarah dan pihak penerbit iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd.
Pada masa yang sama, pelakon itu juga mengakui agak risau mengenai
tanggapan segelintir penonton terhadap kemunculannya dalam filem
berkenaan, terutamanya tentang penampilan dan imejnya.
"Saya tidak mahu kemunculan saya dalam filem ini akan dijadikan isu
oleh mana-mana pihak. Penggambaran filem ini dilakukan pada bulan Mac
2011, sedangkan saya mengambil keputusan untuk mengubah imej pada akhir
tahun lalu.
"Memang saya mengaku ada timbul sedikit perasaan segan sewaktu
menontonnya. Namun, segalanya sudah berlalu dan saya sendiri sebenarnya
tidak jangka untuk berubah dalam tempoh yang begitu cepat," ujarnya yang
kini sudah mendirikan rumah tangga.
Seiring dengan perubahan imej yang dilakukannya, Zarina menjelaskan bahawa berkemungkinan besar filem Aku, Kau Dan Dia akan menjadi filem terakhir lakonannya setelah membuat keputusan untuk tidak mahu berlakon.
"Sehingga kini saya tidak pernah berlakon dalam mana-mana filem atau
drama selepas filem ini. Setelah mendirikan rumah pada bulan Disember
2011, saya hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
"Lagipun suami tidak terlalu menyokong untuk saya meneruskan karier
sebagai pelakon, tetapi akan mempertimbangkan sekiranya ada watak yang
sesuai dengan imej saya sekarang. Kalau boleh saya begitu berminat mahu
menceburi bidang pengacaraan pula," ujarnya.
Filem yang sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 28
Jun lalu mengisahkan tentang gadis bernama Mia yang kehilangan
tunangnya, Ilhan (Pekin) setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Bagi mengubat kerinduan setelah kehilangan tunang tersayang, Mia
mencipta sebuah lagu yang didedikasikan kepada Ilhan. Namun begitu, Mia
pula terlibat dalam kemalangan jalan raya dan koma selama dua minggu.
Selain menampilkan Zarina, Pekin dan Remy Ishak, filem berkenaan juga
dibintangi beberapa orang pelakon lain seperti Harun Salim Bachik,
Marisa Yasmin dan Nash.
Cinta halimunan
Setelah mengarahkan lapan buah filem, pelakon dan pengarah Pierre Andre mengakui filem Aku, Kau Dan Dia merupakan filem terbaik yang pernah dihasilkannya setakat ini.
Menurut Pierre, menerusi filem tersebut juga dia dapat memperbaiki
lagi mutu pengarahan dan menyatakan para penonton akan dapat melihat
perbezaan berbanding filem-filem arahannya sebelum ini.
"Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini merupakan pengalaman
yang pernah saya lalui sendiri, terutamanya ketika saya pernah dikaitkan
bercinta dengan halimunan atau individu yang sebenarnya tidak wujud.
"Bagaimanapun, ia tidaklah dipaparkan secara langsung dan apabila
filem ini siap dihasilkan, ternyata ia turut menyentuh perasaan saya
kerana kisah cinta yang digambarkan memang sangat berbeza," jelasnya.
Ujar Pierre, salah satu kelainan dan keunikan terhadap filem tersebut
apabila kisah percintaan yang berlaku sememangnya agak sukar dijangka
dan segala jawapan hanya dapat disaksikan penonton pada pengakhiran
cerita.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan pelakon pula, Pierre
menjelaskan ia dibuat menerusi perbincangan dan persetujuan yang telah
dibuat olehnya dan pihak penerbit.
Ujarnya, pemilihan Remy Ishak dan Pekin sebagai teraju utama kerana
kekuatan tersendiri yang dimiliki kedua-duanya, manakala Zarina pula
dipilih kerana merasakan dia sangat sesuai membawakan watak Mia
berdasarkan raut wajah dan karektor dirinya.
"Walaupun saya mempertaruhkan pelakon baharu untuk memegang watak
utama, tetapi Zarina telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan
sangat berpuas hati dengan lakonannya," ujarnya memuji pelakon tersebut.
No comments:
Post a Comment