Saat melakukan tawaf yang ketujuh menjadi detik pertemuan antara Irma dan keluarga Redza.
Sapaan daripada seorang wanita, Datin Azizah Osman yang kini berpangkat ibu mertua kepada Irma menjadi pembuka cerita kepada sebuah kisah cinta yang masih belum bertajuk.
Bibit perkenalan itu berlanjutan selama 10 hari sepanjang mereka di kota Mekah, sebelum ibu mertuanya menyuarakan hasrat untuk melamar Irma ketika mahu berangkat pulang ke tanah air.
"Apa yang boleh saya katakan ialah jodoh itu berlaku tidak secara terus, tetapi saya sudah boleh agak. Sangkaan saya tidak meleset apabila ibu mertua saya menyampaikan hasrat untuk merisik saya melalui orang tengah yang merupakan rakan kami.
"Seterusnya, berita itu disampaikan pada keluarga saya. Katanya mahu menghantar rombongan merisik. Daripada merisik, terus ditetapkan tarikh bertunang dan pada majlis bertunang terus disahkan tarikh berkahwin," tutur Irma yang ditemui selepas selesai majlis pernikahannya di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Jumaat lalu.
Titisan air mata tumpah membasahi pipi selepas mereka berdua sah bergelar suami isteri. Segalanya telah dipermudahkan dan perkenalan singkat itu berakhir di jinjang pelamin. Satu anugerah yang cukup besar rahmat buat Irma dan Redza sendiri.
Irma telah menerima sejumlah tiga dinar (RM2, 220) sebagai mas kahwin dan 11 berbalas 13 dulang hantaran.
Tanpa diduga, pelakon itu juga menerima wang hantaran sebanyak RM33, 333.33 sebagai hadiah pernikahan mereka daripada pihak lelaki, sedangkan menurut Irma, dia tidak meminta wang hantaran sempena bergelar isteri Redza.
"Cinta saya kepada Irma bermula di tempat suci. Apa yang lebih istimewa lagi ialah cinta kami bermula antara Irma dan keluarga saya, dan itu membuatkan saya lagi terharu.
"Saya yakin dengan apa yang Tuhan beri kepada saya. Sesungguhnya Irma merupakan pemberian Tuhan yang terlalu istimewa kepada saya. Saya akan jadi suami yang penyayang kepada Irma.
"Saya mahu Irma jadi isteri yang solehah kepada saya dan keluarga serta hormat orang tua" luah Redza yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Karier selepas kahwin
Berubah status daripada bujang ke isteri orang pastinya memberi satu kelainan kepada pelakon dan pengacara ini.
Semua akan berjalan seperti biasa, cuma dari segi waktu sahaja yang perlu dibahagikan.
"Kalau dulu saya bujang, kini sudah berumahtangga, jadi tambah lagi satu komitmen iaitu tanggungjawab saya sebagai seorang isteri.
"Tentang kerjaya memang tiada masalah. Saya masih aktif dalam bidang pengacaraan dan lakonan selepas berumah tangga. Lagipun suami juga tidak menghalang saya bekerja asal tahu batas sebagai seorang isteri," katanya.
Sedia maklum kerjaya isteri di hadapan lensa kamera, Redza langsung tidak mempunyai masalah dengan kerjaya bidadarinya itu.
"Sebagai isteri, Irma perlu tahu batas-batas dia dan jaga nama baik keluarga dan suami, juga perlu bijak mengatur jadual antara kerja dan keluarga," bicara Reza dengan tenang.
Bulan madu
Akur dengan putaran masa yang berlalu dengan begitu pantas, Irma akan bertandang ke majlis pihak lelaki pada hujung minggu ini.
"Kami memang menyimpan hajat besar untuk mengerjakan umrah lagi. Kalau ada rezeki, boleh kerjakan haji terus.
"Jujurnya kami memang sibuk. Biar selesai dulu dengan majlis, kemudian baru akan fikir tentang bulan madu, tapi tak tahu pula kalau ada hadiah pakej percutian nanti," seloroh Irma.
Tidak menolak kehadiran zuriat jika rezeki besar itu hadir dalam masa terdekat, Irma dan Redza terima dengan hati yang terbuka.
"Takkan nak sekat rezeki, kalau awal, kami terima. Harapan kami berdua agar memperoleh zuriat yang soleh dan solehah," ulasnya ringkas.
No comments:
Post a Comment