Jom Buat Duit

Sunday, 6 May 2012

Sukan ekstrem buat Faizal remaja



GARIS halus pada wajah penunggang basikal downhill mountain itu membentuk satu pandangan yang menyenangkan dengan bicaranya bersulam tawa. Jika tanpa senyuman, ternyata dia masih kuat mengheret wajah misteri Ilham, si pembunuh upahan yang dipotretkan penuh impak dalam Bunohan.

Dialah Faizal Hussein dan pada usia 45 tahun, anak bongsu pasangan pelakon legenda Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail itu sangat layak bergelar anak wayang. Dia yang mengenal jeritan action! dan cut! sejak berusia lima tahun itu juga masih kekal sebagai hero sepanjang zaman di hati peminatnya.

"Prinsip saya dalam lakonan, hanya satu take untuk setiap shot. Dalam Bunohan juga begitu. Saya dan pengarahnya Dain Said, praktikkan perkara yang sama," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2003 itu menjelaskan amalan dan misinya setiap kali berada di mana-mana lokasi penggambaran.

Sengaja Sensasi Bintang membawa Faizal ke Kompleks Sukan Lasak, Taman Cabaran di Putrajaya. Idea fotografi berbasikal lasak tempoh hari sebenarnya lahir atas cadangan Faizal sendiri. Buat Sensasi Bintang, ajakan itu adalah satu kejutan memandangkan selama ini tidak pernah ruangan portfolio tampil ekstrem.

Melihat aktiviti berbasikal lasak atau spesifiknya downhill mountain biking yang sudah dua tahun mengisi rutin hobinya, Faizal sengaja diusik soalan nakal. Mengisi ruang santai dengan stail orang muda, adakah itu salah satu caranya mengekalkan jiwa muda?
"Sebenarnya saya sendiri tak pernah berasa tua. Mungkin tahap stamina mulai menurun, tapi saya perlu kekal lasak untuk karier saya juga," katanya.

Tambah Faizal, dia mula menggemari sukan berbasikal ketika berusia 16 tahun sewaktu di Singapura. Waktu itu dia sudah memiliki basikal BMX yang jarang didapati di republik tersebut.
"Saya pernah lompat (melepasi) dua buah kereta. Rasa puas," ujar Faizal yang pernah menjadi duta jenama Shimano.
BERMOTOSIKAL scrambler dalam Gila-Gila Remaja pada usia belasan tahun, kini Faizal lebih selesa berbasikal.
 
"Saya ada dua hobi lagi, main paintball dan helikopter kawalan jauh. Saya beli kelengkapan permainan itu setiap kali menyambut hari lahir. Konon-kononnya saya beri hadiah untuk diri sendiri, jadi isteri saya (Suhaila Sulaiman) tak boleh nak kata apa-apa," ujarnya tidak sabar untuk berkongsi hobi dengan anak lelakinya, Fazrick yang baru berusia empat tahun.
Memberi istilah ketagih adrenalin kepada tahap giannya, kata Faizal, ketagihannya terhadap sukan lasak itu tidak ada jadual khusus, tetapi setiap kali didatangi perasaan rindu untuk beraksi, hormonnya tidak menentu selagi tidak dipuaskan.

"Tengok kelapangan juga, kalau tiada jadual penggambaran dan cuaca mengizinkan. Kalau tak berkesempatan naik basikal, saya hanya akan main helikopter kawalan jauh dan bila rasa nak menembak, saya akan keluar main paintball dengan rakan-rakan," katanya yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk setiap hobi.

Martabat diangkat
Sementara menunggu hujan reda, penulis bercerita tentang projek terbaharunya. Faizal menganggap Bunohan sebagai pemulih dan pengangkat martabatnya, dia sendiri berasa impak dan kembali membuka mata banyak pihak.

"Selama ini, ada stesen televisyen yang enggan guna khidmat lakonan saya. Baru-baru ini, situasi itu seperti sudah pulih. Tawaran lakonan juga tidak berhenti, selain drama, filem Sang Pencinta arahan Khir Rahman bakal ke lokasi dalam masa terdekat. Sebuah filem bersama Bade juga memulakan penggambaran apabila usai penggambaran Sang Pencinta," katanya yang bakal muncul dengan drama Diba Benci Abah bersama Ika Farhana dan Eja di Astro tidak lama lagi.

Sebelum ini, lelaki dengan ketinggian 1.8 meter itu pernah diumumkan sebagai taruhan utama kepada tiga buah filem iaitu Khoon Malay, Taiko dan 1957 yang dijanjikan memulakan penggambaran secara berperingkat pada Disember lalu. Malangnya, sehingga hari ini, pihak penerbit masih belum memulakan penggambaran.

Alang-alang bertemu pemilik tubuh, soalan yang sama diusulkan kepada Faizal.
"Memang masa sidang media, pihak penerbit berjanji untuk memulakan penggambaran sekitar Disember tetapi asyik tertunda sehingga hari ini. Saya pula jenis yang tidak suka nak melenting atau melatah. Konsep saya mudah dalam bekerja, agar senang bekerja dengan orang dan begitu juga sebaliknya.

"Saya tetap hormat semangat mereka yang hendak buat filem tapi mereka tiada kemampuan. Memikirkan komitmen terhadap tiga filem berkenaan, banyak juga tawaran filem dan drama telah saya tolak. Kalau ikutkan nak marah, saya boleh marah tapi untuk apa? Bagi saya, istilah marah-marah dah tak ada. Sejak dapat anak, saya memang sudah kurang marah," katanya tetap akan memberi pertimbangan jika pihak terbabit masih mahukan khidmatnya untuk filem yang dijanjikan.
Biografi Faizal Hussein

BUKAN sekadar kemahiran, Faizal memastikan aktiviti berbasikal harus dilengkap dengan kostum dan ciri-ciri keselamatan untuk mengelak daripada kecederaan.
 
Tahun ini, genap 40 tahun Faizal bergelumang dalam dunia seni. Faizal juga dalam proses menghasilkan sebuah buku biografi.
Menjurus kepada panduan dan perkongsian pengalaman kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang seni, buku itu sebagai tanda aspirasi Faizal untuk membentuk hala tuju pelakon generasi baharu.

"Sama ada pelakon, kru atau sesiapa sahaja yang masuk bidang ini (perfileman) walaupun bermula sebagai pembancuh air sekalipun, mereka harus ada hala tuju. Kalau hala tuju mereka betul, mereka akan kekal dan berjaya. Ini kisah belakang tabir, tidak semuanya indah," katanya merasakan tahun 2012 sebagai tahun yang tepat untuk penghasilan biografi itu.

"Saya beritahu keadaan sebenar industri supaya siapa sahaja yang masuk akan tahu hala tuju. Jangan ada yang tersasar dengan berniat mahu berkahwin dengan artis atau orang kaya apabila jadi artis. Saya tulis beralas tetapi siapa makan cili, dia akan rasa pedasnya," ujar Faizal yang akan melancarkan bukunya pada 23 Jun ini.

"Rasa sedih dengan industri melihat ada yang salah hala tuju. Jujurnya, saya tidak ada kawan baik dalam industri dan saya juga jenis one woman man," ujarnya membuka rahsia isi bukunya.
Bekerjasama dengan Faisal Mustaffa, penulis buku, aktivis teater serta orang yang terlibat sama dengan promosi Bunohan, projek biografi itu menjadi projek buku pertama yang ditulis sendiri oleh Faizal.

"Selama ini saya payah percayakan orang lain, tapi tengok Faisal juga turut promosikan buku pelakon lain macam Zahiril Adzim, saya mula berminat," terang Faizal.
Dibahagi-bahagikan kepada 15 bab termasuklah pesanan daripada arwah bapa kepada satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, buku tersebut juga akan menamakan enam buah filem yang memberi impak hebat atas survival Faizal sehingga kini.
"Filem-filem termasuklah Gila-Gila Remaja, Fantasia, XX Ray, Leftenan Adnan, Kanta Serigala dan Bunohan.

"Pada permulaan buku, ada juga dicoretkan kisah semasa saya kecil di Singapura. Sebab selalu ikut bapa ke lokasi penggambaran, saya cuma ingat nak main sahaja tapi pengarah pula ambil saya untuk melakonkan watak bapa ketika kanak-kanak.
"Secara peribadinya, saya tak pernah berdepan saat sukar sepanjang jadi pelakon. Saya lahir di situ. Sejak kecil saya ikut ayah ke lokasi. Filem pertama lakonan saya ialah Darah Panglima arahan S. Kadarisman dan Penyamun Si Bongkok (M. Amin).


"Masa umur 17 tahun, pengarah tawarkan saya jadi pelakon dan hero filem, saya tolak, tapi bila ditawarkan bayaran RM2,000 terus saya terima. Saya cuma rasa berlakon itu karier semasa umur 20-an," katanya yang gemar memerhatikan gelagat pelakon baharu terutama pelakon lelaki yang muncul selepas zamannya.

Sebelum menutup perbualan dan menyambung semula aksi turun bukit naik basikal, Faizal menambah: "Saya pelik juga dengan sesetengah pelakon baharu sekarang. Masuk jadi pelakon sahaja mula cakap nak cuba berlakon dengan Maya Karin, kemudian nak cuba pelakon itu dan pelakon ini. Tak perlulah cakap begitu."

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters