BIARPUN memegang jawatan timbalan presiden Seniman, namun suara Zed lebih banyak kedengaran bebanding Presiden sendiri.
SEDERHANA dalam lakonan tidak bermakna Zed Zaidi harus bersederhana juga dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam berpesatuan.
Sejak awal April lalu, Zed memanaskan industri hiburan tempatan.
Semuanya gara-gara kelantangannya mempersoalkan kemenangan bintang dari
Singapura, Aaron Aziz yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular 2011.
Akibat kenyataannya, Zed dikecam banyak pihak.
Tidak berganjak dengan apa yang telah dimulakan, Zed meneruskan
agenda itu secara berpersatuan.
Apatah lagi kuasa Timbalan Presiden
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang dipegangnya digunakan sebaik
mungkin untuk menjadi hero buat penggiat seni sehingga ada pihak yang
mendakwa dia mendahului Presidennya, Harun Salim Bachik.
Belum selesai dengan isu mempertikaikan kemenangan Aaron Aziz, kini
timbul pula spekulasi tentang hubungan profesionalnya dengan Presiden
Seniman, Harun Salim Bachik itu.
Minggu lalu, Harun membuat pengumuman tidak lagi mahu bertanding
dalam merebut jawatan presiden Seniman yang diadakan pada 26 Mei ini.
Ada pihak menyatakan bahawa tindakan Harun itu berikutan sikap Zed yang sering mendahuluinya dalam membuat keputusan.
Bagaimanapun, dalam konteks Zed, dia mendakwa terpaksa menolak
pelbagai tawaran lakonan kerana terlalu sibuk dengan aktiviti Seniman.
Karismanya kini dilihat lebih menyerlah dalam berpersatuan berbanding
dunia lakonan.
Bukan sahaja sibuk menyusun jadual untuk menganjurkan majlis minum
petang warga Seniman bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun
Razak, tetapi Zed kini memberikan perhatian kepada tuntutan Persatuan
Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) untuk mendesak stesen televisyen
menaikkan bayaran.
Sensasi Bintang: Zed semakin kurang berlakon, mahu pencen berlakon barangkali?
ZED ZAIDI: Saya agak sibuk dengan Seniman. Sejak terlibat aktif
dengan Seniman, saya terpaksa menolak tawaran lebih 30 buah drama. Tapi
itu bukan bererti saya sudah tidak berlakon, buat masa ini saya menerima
tawaran yang sesuai dengan masa saya. Drama terakhir lakonan saya ialah
Apa Celop yang ditayangkan di TV3. Kini masih terpaksa menolak tawaran
lain.
Sejauh mana cakap-cakap yang mendakwa Harun Salim Bachik enggan mempertahankan jawatan presiden Seniman disebabkan Zed?
Kami tiada apa-apa masalah. Harun ada memberitahu, dia sibuk dengan
aktiviti seni, semua itu ditambah dengan masalah kesihatan. Biarpun
orang nampak saya banyak bersuara, tetapi saya tetap menghormati
presiden. Setiap tindakan yang saya lakukan sudah mendapat persetujuan
presiden terlebih dahulu.
Anda dilihat lebih banyak bersuara berbanding Harun. Mahu ambil alih jawatan presiden?
Komen-komen saya adalah untuk Seniman, semuanya untuk membela semua
artis kerana suara persatuan lebih kuat berbanding suara individu.
Pemilihan jawatan kuasa Seniman akan berlangsung tidak lama lagi. Ada usaha melobi?
Saya tidak kisah terpilih atau tidak. Jika mereka percaya saya boleh
membela mereka, saya akan berusaha melakukannya. Itu satu amanah.
Isu artis luar masih kedengaran hingga kini. Sampai bila anda mahu memperjuangkan perkara itu?
Selagi ia tidak selesai jangan harap saya akan berhenti. Saya akan
terus mendesak pihak berkaitan untuk terus membuat keputusan agar hak
artis kita dilindungi. Jika tidak selesai juga saya akan membawa isu ini
ke peringkat Parlimen. Saya sudah bertemu dengan seorang ahli parlimen
tentang perkara ini. Insya-Allah jika tiada aral isu ini akan diangkat
pada sesi depan.
Dalam bahasa mudah, sebenarnya boleh atau tidak artis luar berkerja di negara ini?
Bukan tidak boleh, cuma mereka perlu mengikut undang-undang. Jika
orang luar mahu bekerja di negara ini, mereka kena ada permit. Bila
permit mati, kena baharui. Bukan main suka hati sahaja. Ikut dan hormati
undang-undang kita. Jika saya ke negara luar, saya perlu mengikut
undang-udang mereka, kenapa tidak buat perkara sama terhadap artis
asing. Bukan mahu menyekat, cuma perlu ada had.
Sumber daripada sebuah stesen televisyen swasta ada menyatakan bahawa
artis luar tersebut mempunyai permit untuk bekerja di sini. Apa komen
anda?
Kalau ada permit tunjukkan bukti dan sila jelaskan daripada mana
permit itu dikeluarkan. Jangan main-main dengan saya, saya tahu perihal
undang-undang dan saya bercakap atas fakta undang-undang yang tertulis.
Usaha PTVM menuntut pihak stesen televisyen menaikkan bayaran semakin kuat bergema. Apakah penglibatan anda dalam perkara ini?
Memang patut PTVM perjuangkan isu itu kerana itu hak kami sebagai
penggiat seni. Kami sebenarnya ditindas oleh stesen televisyen dengan
bayaran yang sangat tidak setimpal berbanding 17 tahun lalu. Mereka
harus sedar bahawa kami bukan bekerja sendiri, ramai yang terlibat dan
mereka perlu dibayar. Kami memberi mereka tempoh dua minggu untuk
membuat keputusan, jika tidak piket besar-besaran akan diadakan di
hadapan mana-mana stesen televisyen yang dirasakan patut.
Wajarkah piket itu dilakukan. Kenapa tidak diselesaikan secara rundingan?
Tempoh dua minggu sudah cukup untuk menyelesaikan perkara ini dengan
aman. Tetapi jika tiada maklum balas positif yang diterima, piket ialah
satu-satunya tindakan paling berkesan untuk membuka mata mereka.
No comments:
Post a Comment