Jom Buat Duit

Sunday 4 December 2011

PenyamunTerjerat

KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua suspek, termasuk seorang anggota polis, yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes samun kedai emas di Wakaf Tapai, Terengganu, Selasa lalu, dipercayai terjerat angkara kesilapan sendiri selepas dia membuat laporan kononnya motosikalnya hilang.
Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas laporannya yang dibuat di sebuah balai polis di negeri berkenaan menimbulkan kesangsian, menyebabkan dia ditangkap sebelum polis menemui semula motosikal di kawasan belukar.

Berikutan penemuan itu, pasukan sama menjalankan siasatan menyeluruh sebelum menemui beberapa barangan kemas daripada lelaki terbabit, menyebabkan pasukan penyiasat sama dibawa kepada seorang lagi suspek, iaitu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.
Menurut sumber, polis turut menemui senjata api dipercayai digunakan dalam rompakan terbabit daripada mereka dan ujian balistik akan dilakukan bagi mengetahui sama ada tembakan yang dilepaskan ketika kejadian samun Isnin lalu adalah daripada senjata sama.

“Keputusan ujian itu penting untuk mengetahui sama ada ia senjata sama digunakan dalam insiden berkenaan atau sebaliknya, dan kita juga berusaha mengesan ciri-ciri keselamatan yang ada pada senjata itu bagi mengenal pasti di mana ia diperoleh,” katanya.

Siasatan terhadap kedua-dua lelaki terbabit kemudian membawa kepada penemuan mengejutkan apabila dua lagi anggota polis ditangkap di ibu negara selepas mereka didapati antara individu penting yang mengedarkan senjata berkenaan kepada kedua-dua lelaki itu.

Harian Metro semalam melaporkan, tiga anggota polis antara empat yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menyewakan senjata api jenis revolver .38 kepada pihak tertentu yang kemudian digunakan untuk melakukan jenayah, termasuk rompakan.

Difahamkan, senjata berkenaan disewakan pada harga RM2,000 hingga RM5,000 dan bayaran dilakukan secara komisen menggunakan wang hasil rompakan.
Sumber itu berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan dan masih berkongsi maklumat dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Ibu Pejabat Polis daerah Marang serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu yang berjaya membongkar kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters