Jom Buat Duit

Sunday 4 December 2011

Kematian kedua di Universiti Brawijaya - Kematian Pelajar Malaysia

JAKARTA: Kurang sebulan selepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan pembunuhan kejam penuntut Adrian Jay Pereira dari Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur, seorang lagi penuntut Malaysia daripada universiti sama meninggal dunia, malam kelmarin.
Namun kematian penuntut dikenali sebagai Theven Adrian Joseph, 20, itu dipercayai akibat masalah kesihatan.

Atase Pendidikan, Education Malaysia (EM) Indonesia, Ludinata Misnun berkata, Theven Adrian meninggal dunia jam 8 malam kelmarin di Hospital Islam Dinoyo, Malang setelah usaha menyelamatkannya gagal.
“ Beliau dipercayai mengalami kekejangan dan serangan sawan dan dikejarkan ke Hosptal Islam Dinoyo, Malang. Pihak hospital berusaha menyelamatkannya dengan memberikan bantuan CPR dan penafasan melalui mesin, malangnya beliau tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

EM Indonesia difahamkan, penuntut berasal dari Subang Jaya, Selangor itu mempunyai sejarah penyakit itu, kata beliau.

Theven Adrian ialah penuntut tahun pertama Universiti Brawijaya, yang menuntut atas pembiayaan sendiri. Tidak dinyatakan bidang jurusan pelajaran yang beliau ikuti.

Ludinata berkata, pihaknya berlepas ke Malang pagi semalam bagi menguruskan penghantaran pulang jasad Theven Adrian dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.

Pihak keluarga pelajar itu juga dijangka sampai di Malang pagi semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya.
Pembiayaan penghantaran pulang jasadnya ditanggung sepenuhnya oleh ejen yang menguruskan kemasukan beliau ke universiti itu kerana masih dilindungi insurans.

Pada 7 November lalu, Adrian Jay Pereira, penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, mati selepas lehernya ditetak dengan senjata tajam oleh seorang penyerang ketika cuba menghalang lelaki itu mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang. Polis masih menyiasat kes pembunuhan itu.

Seramai 173 penuntut Malaysia kini menuntut di Malang, dan daripada jumlah itu, 161 belajar di Universiti Brawijaya. — Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters