Dalam kejadian terbaru semalam, wanita terbabit membuat satu panggilan melaporkan kononnya terdapat satu kebakaran pada kira-kira jam 4 petang di Blok 19, Flat Taman Cempaka, Kempas di sini.
Akibat panggilan berkenaan, tiga jentera bomba dan tiga unit motosikal dikejarkan ke lokasi sebelum siasatan mendapati panggilan diterima itu adalah palsu, selain menyebabkan kira-kira 500 penduduk di flat terbabit gempar dengan kehadiran pasukan bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Abdul Ghani Daud berkata, panggilan terbabit menyebabkan pasukan bomba terpaksa berkejar ke lokasi bagi memastikan kebakaran yang dilaporkan itu dapat dikawal segera.
“Kami terpaksa mengejarkan jumlah jentera dalam kuantiti yang banyak disebabkan pengadu mengatakan kebakaran itu berlaku di kawasan flat, namun selepas tiba di kawasan terbabit dan melakukan pemeriksaan nyata panggilan diterima adalah palsu.
“Disebabkan itu, usaha bagi mengesan pemanggil berkenaan akan dijalankan secara menyeluruh kerana dia dipercayai sudah beberapa kali membuat panggilan palsu dan tindakan lanjut akan dikenakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Abdul Ghani berkata, kesalahan membuat panggilan palsu adalah antara kesalahan serius dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pesalah yang melakukan panggilan kecemasan palsu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat panggilan palsu kerana ia bukan saja menyusahkan anggota malah individu terbabit bakal berdepan hukuman berat.
“Dalam kes ini, maklumat berkenaan wanita itu akan dikumpul sebelum dihantar ke ibu pejabat bomba dan penyelamat bagi mengenal pasti identiti dan menjalankan tindakan selanjutnya.
“Kita terpaksa menghabiskan banyak tenaga dan jentera bagi menyelamatkan mangsa kebakaran dan apa yang akan terjadi sekiranya kebakaran sebenar berlaku di kawasan lain.
“Ia akan menyukarkan kami memberikan bantuan kepada jentera mungkin berada di lokasi lebih jauh dan berharap orang ramai akan lebih bertanggungjawab,” katanya.
No comments:
Post a Comment