Jom Buat Duit

Thursday, 11 September 2014

Ibu lima anak ditangkap khalwat

Sekadar Gambar Hiasan
MUAR – Seorang kakitangan kerajaan sebuah jabatan di daerah ini bersama teman wanitanya yang merupakan peniaga gerai makanan ditangkap khalwat dalam sebuah kereta di Jalan Meriam di sini, kelmarin.

Kadi Daerah Muar, Dzulkifli Mohamed berkata, pasangan yang berusia 48 tahun dan 37 tahun itu masing-masing berstatus suami dan isteri orang ditahan empat anggota Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Muar kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, tangkapan ke atas mereka hasil daripada maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan sejak tiga hari lalu.

“Kita mengetuk cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menunggu kira-kira lima minit sebelum pintu dibuka dan mendapati pasangan berkenaan lengkap berpakaian serta sedang duduk dalam kereta itu.

“Kita tahan pasangan ini kerana duduk berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan serta gagal menunjukkan sebarang dokumen mengesahkan mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit dan wanita yang mempunyai lima anak itu dibawa ke Balai Polis Muar untuk membuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Daerah Muar untuk siasatan lanjut dan dijamin rakan masing-masing.

“Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b atau Seksyen 29(1) (b)  Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, pasangan terbabit dipercayai sudah lama menjalinkan hubungan terlarang tanpa pengetahuan pasangan masing-masing dan melakukan perbuatan terkutuk di dalam kereta wanita itu jenis MPV.

Katanya, wanita yang menetap di Kampung Kelantan itu sering menggunakan alasan keluar ke pasaraya berhampiran untuk membeli barangan keperluan gerai pisang goreng yang diusahakan bersama suami untuk bertemu kekasihnya di Jalan Meriam, di sini.

“Bagaimanapun, perbuatan terkutuk wanita itu terbongkar apabila ditahan sepasukan anggota Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Muar,” katanya. Sinar

Friday, 5 September 2014

Wanita Thailand Miliki Tangan Terbesar Di dunia


BANGKOK - Seorang wanita berusia 59 tahun dipercayai memiliki sepasang tangan terbesar di dunia apabila setiap satu tangannya mencecah berat 9.5 kilogram, lapor akhbar MailOnline semalam.

Wanita itu, Duangjay Samaksamam terpaksa hidup dengan tangan gergasinya lebih 50 tahun kerana menghidap penyakit macrodystrophia lipomastosa.

Penyakit itu berlaku kerana lemak berkumpul di kedua-dua lengan menyebabkan ia membengkak dari bahagian bahu hingga ke jari.

"Tangan saya amat berat sehingga saya tidak mampu menyikat atau menyapu syampu rambut, ia amat sukar. Beberapa doktor berkata satu-satunya cara penyelesaian ialah dengan memotong kedua-dua tangan jika saya mahu berjalan dengan bebas. Namun, saya enggan berbuat demikian," katanya.

Seorang pakar bedah, Dr. Eiju Uchinuma pula berkata, kes tersebut amat luar biasa, malah punca penyakit itu juga masih tidak diketahui dan ia tidak boleh diubati. - Agensi

Saturday, 30 August 2014

Pelajar 15 tahun, tanggung aib hamil 7 bulan

KUALA TERENGGANU - Malang berganda! Seorang remaja berusia 15 tahun bukan sahaja terpaksa menanggung aib apabila disahkan mengandung tujuh bulan, malah lebih malang apabila mengetahui ‘ayah’ kepada anak di dalam kandungannya itu sudah meninggal dunia April lalu akibat kemalangan.

Remaja yang merupakan pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Besut itu disahkan mengandung selepas dihantar ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kediaman mereka, Selasa lalu, selepas mengadu sakit perut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum itu, mangsa sudah mengetahui yang dirinya mengandung, namun mendiamkan diri kerana takut.

Menurutnya, mangsa mendakwa berkenalan dengan suspek melalui telefon sebelum membuat keputusan berani untuk bertemu di pantai Air Tawar.

“Mangsa mengakui melakukan hubungan seks dengan suspek pada pertemuan pertama iaitu awal tahun ini.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui teman lelakinya itu meninggal dunia akibat kemalangan berhampiran Kampung Raja, Besut, April lalu, mangsa bertindak membeli alat ujian mengandung sebulan selepas itu iaitu Mei lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Wan Abd Aziz berkata, hasil ujian menunjukkan mangsa positif mengandung, namun bertindak mendiamkan diri kerana bimbang perkara itu diketahui keluarga.

Bagaimanapun katanya, pada pagi Selasa lalu, mangsa yang mengalami sakit perut telah dihantar ke klinik kesihatan oleh kedua orang tuanya sebelum dikejutkan dengan pengesahan doktor memaklumkan mangsa mengandung tujuh bulan.

“Sejurus menerima maklumat itu, pegawai kesihatan bertugas membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Besut, kira-kira jam 2.30 petang.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, namun kita akan membuat beberapa penilaian memandangkan suspek sudah meninggal dunia,” katanya.

Thursday, 14 August 2014

Pelawak Veteran, Maidin Ibrahim Meninggal Dunia

Pelawak veteran, Maidin Ibrahim, 76, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas menunaikan solat Zuhur di bilik kediamannya di Kampung Pokok Tai, Gurun, Kedah pada pukul 2 petang semalam.

Menantunya, Saiful Nizam Saari, 38, yang mengesahkan perkara itu berkata, ibu mertuanya, Habira Ibrahim, 60, yang meninjau ke dalam bilik itu mendapati suaminya rebah dan tidak menyahut panggilannya sebelum disahkan meninggal dunia.

Arwah meninggalkan seorang isteri, lima orang anak dan 12 orang cucu.
Maidin atau mesra dengan panggilan Mamu Maidin dilahirkan di Pokok Keras, Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang mula bergiat dalam bidang seni dengan menyertai kumpulan boria di kampungnya sekitar 1950-an.

Allahyarham yang popular dengan lakonannya di dalam filem Anak Mami dan Nana Tanjung pernah membintangi sitkom Salam Pantai Timur.
Beliau juga pernah memenangi anugerah Aktor Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi drama Pinang Durian. Kosmo

Pesawat Dinaiki Calon Presiden Brazil Terhempas

SAO PAULO - BRAZIL. Sebuah jet peribadi yang membawa calon Presiden Brazil, Eduardo Campos, terhempas di bandar Santos, lapor Reuters.

Menurut kenyataan Tentera Udara Brazil, pesawat Cessna 560XL dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara sebaik ia bersedia untuk mendarat.

Sementara itu, imej televisyen pula  menunjukkan kepulan asap dari lokasi kemalangan di kawasan nahas.

Seorang pegawai polis di Santos berkata, kebarangkalian berlaku kematian terhadap nahas adalah tinggi, tetapi jumlah sebenar dan maklumat tambahan masih belum boleh dipastikan.

Campos, 49, adalah bekas gabenor Pernambuco timur laut yang telah mendapat sokongan kira-kira 10 peratus daripada pengundi dalam pilihan raya baru-baru ini.

Beliau telah sendiri diletakkan sebagai berhaluan kiri yang mesra perniagaan dan merupakan sekutu bekas Presiden Dilma Rousseff, yang memohon penggal kedua.

Dalam perkembangan sama, sumber dari Parti Sosialis Brazil mendakwa, pasangan Campos, Marina Silva, tidak berada dalam pesawat berkenaan.

Akaun Bank Mangsa MH370 Digodam

KUALA LUMPUR - Akaun bank empat orang penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) pesawat MH370 didapati telah digodam melibatkan pemindahan wang berjumlah sehingga RM100,000.
Kejadian tersebut disedari Pengurus Ibu Pejabat Bank HSBC di Leboh Ampang di sini pada 18 Julai lalu apabila mendapati wang daripada akaun empat penumpang MH370 iaitu Tan Size Hiang, 46, Ju Kun, 32, Hue Pui Heng, 66, dan Tian Jun Wei, 29, hilang daripada akaun masing-masing.

Empat pemegang akaun itu merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang daripada imbasan radar ketika pesawat itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.

Selain itu, pengurus bank sama juga mendapati sebanyak RM35,000 lagi wang daripada akaun Pui Heng turut dipindahkan ke dalam akaun seorang lagi lelaki lain pada 14 Julai lalu.
Pengurus bank tersebut telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu namun sehingga sekarang belum ada tangkapan dibuat.

Size Hiang dan Pui Heng merupakan warga Malaysia manakala Ju Kun dan Jun Wei ialah warga China. Size Hiang ialah pramugara MH370 manakala Pui Heng tidak bekerja. Kosmo

Wednesday, 13 August 2014

Robin Williams meninggal dunia

LOS ANGELES - Pelakon yang pernah memenangi anugerah Oscar, Robin Williams meninggal dunia di rumahnya di sini disyaki membunuh diri selepas dia bergelut dengan masalah kemurungan.
Williams, 63, yang turut terkenal di dunia dengan ungkapan 'Nanu, Nanu' dalam siri televisyen Mork & Mindy ditemui meninggal dunia di rumahnya di Tiburon, California.
Seorang jurucakap pelakon tersebut, Mara Buxbaum berkata, pelakon itu baru-baru ini mengalami kemurungan yang teruk.

Aktor itu juga berulang kali bercakap mengenai perjuangannya untuk menangani masalah arak.
Pejabat Syerif Mukim Marin menyatakan, pihaknya menerima panggilan telefon pada waktu tengah hari kelmarin bagi memberitahu Williams tidak sedarkan diri dan tidak bernafas di rumahnya.
Bahagian koroner pejabat itu kemudian mengesyaki Williams mati kerana kekurangan oksigen akibat pernafasan yang terhalang dalam badan.

 Pada pagi ini, saya kehilangan suami dan rakan baik manakala dunia kehilangan salah seorang artis paling disayangi serta manusia yang menakjubkan. Saya sesungguhnya amat patah hati," kata isteri Williams, Susan Schneider dalam satu kenyataan.

Di luar rumahnya, orang ramai meletakkan jambangan bunga dan bercakap mengenai keperibadian lelaki tersebut yang pernah mengayuh basikal dan memberikan senyuman ke arah kanak-kanak di jalanan.
Seorang penduduk, Sonja Conti berkata, pelakon tersebut kerap bertanya mengenai anjing peliharaannya yang diberi nama jolokan Dude.

"Dia merupakan seorang lelaki yang normal," katanya.
Pelakon itu pernah berlakon dalam filem-filem blockbuster antara- nya Good Will Hunting, Good Morning Vietnam dan Mrs. Doubtfire.
Satu siasatan bagi mengetahui punca kematian lelaki yang pernah mendapat jolokan sebagai paling kelakar di dunia itu masih berlangsung.

Beberapa minggu sebelum kematiannya, dia pernah dirawat di sebuah pusat pemulihan kerana masalah kemurungan.

Dia pernah menjalani pembedahan sakit jantung pada tahun 2009.
Williams mengalami masalah penagihan kokain pada akhir tahun 1970 atau pada awal tahun 1980.
Dia juga pernah berkahwin dengan Valerie Velardi sebelum mengahwini Marsha Garces.
Selepas bercerai dengan Marsha, dia kemudian mengahwini Schneider.
Pelakon filem Jumanji itu dikurniakan tiga orang anak, Zachary Pym, 31, Cody Alan, 22, dan Zelda Rae, 25.

Williams berkata kepada majalah Parade pada tahun 2013, Williams pernah berkata, dia kembali minum arak pada tahun 2003 selepas 20 tahun meninggalkan minuman keras itu ketika mengikuti penggambaran The Big White.

Dia memenangi anugerah pelakon pembantu filem terbaik dalam filem Good Will Hunting.
Kenyataan terakhir di laman sosial Twitter adalah pada 31 Julai lalu.

Di laman itu, dia pernah mengucapkan selamat hari lahir yang ke-25 kepada anak perempuannya, Rae.
Rae kemudian membalas kenyataan itu dengan menyatakan: "Saya menyintai anda. Saya merindui anda."
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan isterinya, Michelle turut memberikan penghormatan terakhir kepada Williams.
"Williams merupakan seorang doktor, anggota tentera udara, jin, pembantu rumah, presiden, profesor dan Peter Pan," kata Obama

"Dia tiba dalam kehidupan kita sebagai seorang makhluk asing tetapi kemudian menyentuh hati manusia," katanya yang merujuk watak Wiiliams sebagai Mork dalam siri televisyen Mork & Mindy. - Agensi

Klik Untuk Saya k... :)

free counters