Jom Buat Duit

Tuesday, 28 August 2012

Ia tak buruk - Que

QUE bersama dua orang anaknya, Qalif dan Ratu serta isteri, Linda pada majlis sambutan ulang tahun Ratu tahun lalu. Anak ketiga mereka, Cleopatra tiada dalam gambar. 

SIAPA tidak sayang anak! Begitu juga perasaan pelakon berbakat besar, Que Haidar apabila baru-baru ini nama cahaya mata keduanya yang dilahirkan tiga bulan lalu menjadi pertikaian banyak pihak.

Ada yang mendakwa nama Tengku Cleopatra Haidar sangat kebaratan dan tidak sesuai diberikan untuk seorang yang beragama Islam, malah ramai yang menyarankan dia memilih nama yang lebih mencerminkan nilai Melayu dan Islam.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, yang juga memiliki dua orang anak bersama guru tarian, Linda Jasmine iaitu Qalif Khan (anak hasil perkahwinan pertama Linda) dan Tengku Ratu Haidar, 4, tampil memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya kepada Kosmo! ketika ditemui di sebuah majlis anjuran Lord’s Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Que sedar atau tidak akan kata-kata sesetengah pihak yang kurang senang apabila anda menamakan puteri kedua dengan nama Tengku Cleopatra sempena nama permaisuri Mesir suatu ketika dulu?
QUE: Sebelum memilih nama itu, kami sudah memikirkan baik buruk dan sudah memahami maksud di sebalik nama itu. Ertinya kekuatan bapa atau glory of father daripada bahasa Greek.
Jadi apa masalahnya? Saya rasa tidak perlu timbul isu sesuai atau tidak sesuai nama yang saya beri kepada anak saya. Apakah nama yang sesuai dan melambangkan orang Johor atau orang Malaysia?
Apabila ada juga sesetengah pihak yang menilai pemilihan nama yang sesuai mencerminkan akhlak seseorang anak, bagaimana pandangan anda?
Tidak ada kena-mengena nama seseorang dan personaliti. Jika dibentuk dengan cara yang baik, maka akan jadi baiklah seseorang itu. Nama itu pun bukan membawa maksud sesuatu yang buruk. Contohnya nama bapa saya iaitu Tengku Haidar yang bermaksud singa, tapi bagi saya dia lelaki paling mulia dan baik yang pernah saya kenali dalam hidup. Jadi bukan nama orang yang menilai personaliti.
Anda ada alasan sendiri untuk tidak mempedulikan kata-kata orang sekeliling?
Saya menghiburkan masyarakat sejak usia 16 tahun lagi dan sekarang sudah tiba waktu untuk saya berasa gembira dengan keputusan dan kehidupan saya. Saya gembira memilih nama Tengku Cleopatra Haidar untuk anak saya dan keluarga saya juga gembira. Ini masa saya dan inilah saya sekarang! Saya gembira untuk memanggilnya dengan nama itu.
Pandangan anda terhadap komen-komen negatif di internet berkenaan pilihan nama Cleopatra?
Saya tidak anggap perkara itu besar dan saya rasa orang yang memberikan komen di internet tidak berapa pandai. Anak saya seorang Islam dan saya sendiri yang qamat Tengku Cleopatra Haidar. Saya rasa tidak menjadi masalah.
Terkilan atau sedih dengan perkara ini?
Saya sedih apabila kebanyakan yang memberikan komen terdiri daripada kaum Melayu dan bagi saya mereka berfikiran sempit. Tapi tidak kurang juga ada yang memuji. Saya agak terperanjat sebenarnya dengan respons negatif segelintir pihak, tapi tidak mengapa kerana ia tidak memberi kesan pun.
Memandangkan anda sekarang sudah semakin menyepi daripada dunia seni, mungkin anda ada perancangan lain selain daripada berlakon?
Tawaran berlakon masih ada, cuma saya terlalu cerewet. Saya perlu pastikan skrip, karakter, pengarah dan pelakon lain menepati kriteria yang saya inginkan. Saya melihat keseluruhan aspek kerana saya kini mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian dari segi masa. Saya mahukan sebuah naskhah yang mempunyai pengisian ke arah kemasyarakatan dan bermakna untuk memberi pendidikan kepada penonton.

Selain meluangkan masa bersama keluarga, apa aktiviti lain buat masa sekarang?
Saya masih menantikan tayangan filem Rock 2 pada bulan Mac tahun depan. Selepas pementasan Primadona, saya ada terfikir untuk berlakon dalam beberapa buah teater lain, tapi belum diputuskan buat masa sekarang. Saya belum sedia untuk menjadi pengarah kerana risikonya tinggi dan biar betul-betul bersedia. Buat masa sekarang kebanyakan projek saya masih dalam proses perbincangan.

Kosmo

Kambing panjat pokok di Maghribi


BEBERAPA ekor kambing memanjat pokok argan untuk memakan buahnya di sebuah gurun dekat Essaouira, Maghribi semalam.


RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.
Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.
Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.
Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter. - AFP

Kabaret guna robot wanita pikat pelanggan


Dua wanita memakai bikini (kiri) mengendalikan robot perempuan setinggi 3.6 meter di Restoran Robot di daerah Kabukicho, Tokyo, 16 Ogos lalu.


TOKYO - Di sebuah restoran yang terletak di daerah hiburan di sini, empat buah robot wanita mengenyit mata dan melambaikan tangan sambil bergerak mengikut rentak gendang tradisi Jepun dan lagu Lady Gaga.

Suasana itu menandakan bermulanya persembahan di 'Restoran Robot' yang merupakan sebuah restoran kabaret berteknologi tinggi di Jepun.
Sebahagian besar robot industri di dunia digunakan di negara ini.
Pemilik restoran berkenaan menyatakan, dia berbelanja 10 bilion yen (RM391.2 juta) dan menunggu selama tiga tahun untuk keempat-empat robot itu disiapkan.
"Semuanya kecuali komponen utama robot ini dihasilkan dan dipasang oleh kami," kata jurucakap kabaret berkenaan, Watanabe.

Katanya, robot wanita itu memiliki ketinggian 3.6 meter. Robot yang ditempah khas tersebut mempunyai ciri-ciri raut wajah yang dikawal oleh penari kelab berkenaan.
Bahagian bawah tubuh robot tersebut dilengkapi beberapa tempat duduk seperti karakter siri kartun popular Jepun, Gundam.
Bahagian tubuh atas robot itu dihiasi dengan pakaian dalam pahlawan wanita futuristik.
Robot tersebut turut dirias dengan rambut berwarna perang, coklat dan merah bersama mata biru atau hijau.

Setiap robot tersebut dikawal oleh dua penari wanita berbikini.
Penari-penari itu akan duduk di kerusi yang terletak di bahagian perut robot berkenaan.
Mereka akan mengawal raut wajah dan kaki robot berkenaan dengan menggunakan kayu bedik sepanjang persembahan robot wanita itu berlangsung.
Konsep di sebalik pembukaan restoran itu adalah bergaduh, wanita yang lincah dan robot-robot tersebut adalah sebahagian daripada tema restoran ini. - Reuters

Perry tolak tawaran jadi juri American Idol


AKSI Katy Perry ketika mempromosikan filemnya yang bertajuk Part of me 3D di Rio de Janeiro, Brazil. Perry tetap enggan menjadi juri American Idol walaupun ditawarkan wang sebanyak RM60.8 juta.


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Katy Perry menolak tawaran sebanyak AS$20 juta (RM60.8 juta) untuk menjadi juri program televisyen American Idol, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

Menurut portal hiburan TMZ.com, penyanyi lagu Wide Awake itu tidak berganjak dengan keputusannya. Dia juga tidak pasti sama ada American Idol adalah langkah betul untuk mengembangkan kerjayanya.
"Katy Perry sedang hangat diburu. Mereka sangat mahukannya," kata satu sumber kepada akhbar Us Weekly.

Sewaktu diwawancara oleh majalah Hollywood Reporter pada Julai lalu, Perry, 27, pernah mendedahkan bahawa dia berasa belum sesuai menjadi juri program televisyen.
Setakat ini, hanya penyanyi pop terkenal, Mariah Carey mengesahkan penyertaan sebagai juri untuk musim American Idol akan datang. Carey dilaporkan bakal menerima bayaran sebanyak AS$$18 juta (RM54.7 juta).

Sebelum ini, bintang terkenal Jennifer Lopez yang juga bekas juri program itu menerima bayaran sebanyak AS$12 juta (RM36.5 juta) bagi setiap musim.
Antara selebriti lain yang disebut-sebut bakal menyertai American Idol sebagai juri termasuklah Nicki Minaj, Pharell Williams, Nick Jonas, Keith Urban dan Kanye West. - Agensi

Penganut fahaman Syiah di Indonesia diserang

SAMPANG, Indonesia - Serangan ke atas penganut fahaman Syiah di Indonesia menyebabkan dua lelaki terbunuh dan berpuluh-puluh buah rumah dibakar.
Kira-kira 500 orang penganut fahaman Sunni bersenjatakan parang kecil dikatakan menyerang sekumpulan pelajar di bandar Sampang, wilayah Jawa Timur pada Ahad lalu.
"Perselisihan fahaman agama kian meningkat kerana penguatkuasaan undang-undang untuk menangani keganasan tidak dilaksanakan dengan berkesan. Keadaan ini menggalakkan berlakunya keganasan ke atas orang awam," kata penyelidik Institut untuk Demokrasi dan Keamanan Setara, Ismail Hasani.

Jurucakap polis wilayah Jawa Timur, Hilman Thayib memberitahu, dua lelaki terbunuh dan enam yang lain cedera. Sementara sebanyak 39 buah rumah dibakar dalam serangan terbabit. Menurutnya, hampir 2,000 orang pegawai polis dan keselamatan diarah ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.

"Mangsa mati kerana diserang dengan sabit. Seorang mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia pagi tadi. Setakat ini, kami telah menahan lapan orang suspek," kata Thayib.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Ini bukan insiden pertama di wilayah tersebut. Disember lalu, penganut fahaman Syiah di Nangkernang diserang. Beratus-ratus rumah dan sebuah sekolah agama dibakar, sekali gus memaksa 500 orang mangsa melarikan diri dari kampung mereka. - AFP

14 lagi mayat ditemui dekat Damsyik


FOTO menunjukkan mayat-mayat terbaring di atas simen semalam di bandar Daraya dekat ibu kota Damsyik. 
 

BEIRUT - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat ditemui di bandar Daraya dekat Damsyik selepas aktivis melaporkan satu pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan berlaku di situ dalam serangan lima hari oleh tentera rejim Syria, kata pemerhati semalam.
Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia sebelum ini melaporkan penemuan 320 mayat di Daraya selepas satu serangan yang disifatkan sebagai sangat kejam, pembunuhan tanpa perbicaraan dan serbuan rumah ke rumah oleh tentera kerajaan.

Pemerhati berkata, sehingga kini ia telah mengenal pasti seramai 220 mangsa yang dibunuh.
Jawatankuasa Penyelaras Tempatan sebuah rangkaian aktivis menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.
Kumpulan pemerhati Britain menjelaskan sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh di negara bersengketa itu kelmarin. Mereka terdiri daripada 105 orang awam, 26 pejuang pemberontak dan 18 tentera.

Kelmarin, tentera rejim mengebom bandar Basra al-Sham dalam wilayah Daraa dan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang awam.
Serangan terbaru yang berlaku semalam pula membunuh tiga orang lelaki, kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna dalam wilayah Damsyik.
Menurut angka pemerhati, kira-kira 25,000 mangsa yang kebanyakannya orang awam telah terbunuh di Syria sejak tercetusnya kebangkitan rakyat pada Mac tahun lalu. - AFP

Monday, 27 August 2012

Kekayaan David Beckham

KACAK dan tangkas di padang bola ternyata membuat nilai diri David Beckham melambung tinggi. Selain menerima bayaran yang cukup lumayan menerusi pekerjaan sebenarnya sebagai pemain bola sepak kelab LA Galaxy dengan bayaran sekitar RM7 juta sebulan, Beckham memperoleh pendapatan luar biasa sebagai duta beberapa produk.
Menurut laporan, dengan hanya menjadi model iklan dan duta produk untuk jenama Armani, Adidas, Samsung dan Diet Coke pada tahun lalu, Beckham berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM60 juta.

Malah Beckham turut berkongsi pendapatan lumayan bersama isterinya, Victoria melalui wangian ciptaan mereka serta jenama yang dijual di bawah payung H&M.
"Jumlah pendapatan lumayan yang diperoleh oleh Beckham membuktikan bahawa dia masih popular, berkuasa, berpengaruh dan kuat untuk dijadikan model atau duta produk. Malah untuk tahun ini, pendapatan Beckham dijangka menjadi lebih tinggi walaupun ramai yang berpendapat kariernya sebagai pemain bola sepak sudah hampir berkubur," ujar seorang sumber kepada The Sun.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters