GEORGE TOWN - Komuniti India Muslim di negeri ini mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan roti canai terpanjang.
Acara itu yang julung-julung kali diadakan sempena Hari Kebudayaan
India Muslim anjuran Pertubuhan India Muslim Malaysia menyaksikan 2,786
keping roti canai diatur sepanjang Lebuh Buckingham dengan jarak
keseluruhan 400 meter.
Pengerusi penganjur, Meera Mydin Mastan berkata, proses membuat roti
canai itu mengambil masa hampir lapan jam bermula 4.30 pagi semalam
menggunakan 600 kilogram tepung gandum.
"Seramai 15 penebar roti canai dari empat restoran terkenal di bandar
ini terbabit membantu usaha mencipta rekod," katanya di sini semalam.
Meera Mydin berkata, roti canai terbabit kemudiannya diagih untuk
dimakan oleh pengunjung karnival yang diadakan sehari itu yang bermula
sejak pukul 8 pagi hingga 11 malam ini.
Sementara itu, kira-kira 10,000 pengunjung termasuk pelancong hadir
pada festival sehari itu yang mempromosikan adat resam dan amalan
tradisi masyarakat India Muslim.
No comments:
Post a Comment