WARSAW, Poland - Cesare Prandelli memberi bayangan bahawa beliau
tidak akan mengekalkan jawatannya selaku jurulatih Itali selepas final
Euro 2012.
Skuad bimbingan Prandelli akan berdepan cabaran Sepanyol pada final
kejohanan Eropah yang akan berlangsung di Stadium Olimpik, Ukraine awal
pagi esok.
Prandelli, 54, menyuarakan respons itu selepas kecewa dengan skandal
mengatur perlawanan yang berlaku dalam saingan liga bola sepak di Itali.
"Ia merupakan satu tempoh yang sukar sepanjang dua bulan lalu. Selain
hubungan baik saya bersama pasukan dan Persekutuan Bola Sepak Itali,
tempoh tersebut memberikan tekanan kepada saya. Tidak ada ketenangan
lain yang saya peroleh selama tempoh itu.
"Perlukah saya meneruskan karier saya? Saya pernah memberitahu
mengenai kualiti dalam kehidupan dan saya perlu membuat keputusan dengan
tenang.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana kami
perlu memberi tumpuan pada misi sebenar iaitu menghadapi Sepanyol pada
final nanti," kata Prandelli yang dilantik menjadi jurulatih skuad The Azzurri selepas tamat Piala Dunia 2010.
Prandelli berjaya membawa Itali ke final kejohanan berprestij Eropah
itu selepas menewaskan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir kelmarin.
Berdasarkan rekod, Prandelli pernah meletakkan jawatan sebagai
jurulatih AS Roma pada tahun 2005 ekoran masalah kesihatan kronik yang
dialami isterinya sebelum meninggal dunia akibat kanser dua tahun
kemudian. - AFP
No comments:
Post a Comment