WARSAW, Poland - Cesare Prandelli sangat kagum dengan corak permainan yang ditampilkan Sepanyol.
Bagaimanapun, jurulatih Itali itu berkata, beliau tidak rela
anak-anak buahnya 'mengikut telunjuk' Sepanyol pada final Euro 2012 di
Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.
"Kami tidak perlu takut kepada mereka. Kami berada di sini atas
faktor merit dan kami akan melakukan yang terbaik bagi menewaskan
mereka," kata pengendali berusia 54 tahun itu.
Prandelli berkata, beliau yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya
selepas berjaya mengejutkan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir kelmarin.
"Kami berasa sangat bangga kerana berjaya sampai ke peringkat ini.
"Kejayaan ini menyebabkan kami berasa bangga untuk mewakili negara
tetapi apabila kami berada di luar negara, saya yakin kami akan lebih
berbangga untuk mengibarkan bendera.
"Kelmarin, kami berjaya mengikut segala perancangan dan para pemain
memberi reaksi yang sangat baik. Mereka sangat menakjubkan, kami
dianggap sebagai sebuah pasukan kerdil pada sesi latihan tetapi berjaya
mencuri tumpuan pada aksi sebenar," katanya.
Meskipun mengakui para pemain Itali berada dalam situasi keletihan
selepas bekerja keras untuk menempah slot ke final, Prandelli yakin
mengenai prospek pasukan itu.
"Saya mahu melakukan persiapan dengan baik meskipun kami hanya ada
masa sehari. Sama seperti yang kami lakukan ketika bertemu Jerman, kami
perlu mencari kelemahan mereka dan mengambil peluang itu.
"Ia bukan satu tugas mudah kerana Sepanyol telah bermain bersama
sejak beberapa tahun lalu. Mereka memenang trofi Euro 2008 dan Piala
Dunia 2010 dan mereka mara ke final sekali lagi.
"Ini bermakna, mereka tidak hanya hebat dari segi taktikal tetapi
mereka juga mempunyai moral yang tinggi dan sumbangan peribadi yang
boleh kami jadikan sebagai rujukan.
"Namun, kami juga berjaya berada di sini (final). Kami semakin matang
menjelang perlawanan terakhir dalam kejohanan ini," katanya.
Untuk rekod, Itali dan Sepanyol bertemu pada perlawanan pembukaan
Kumpulan C yang berkesudahan seri 1-1 pada 10 Jun lalu. - Agensi
No comments:
Post a Comment