PARIS - Jodoh Laurent Blanc bersama Perancis akhirnya terlerai
selepas jurulatih itu membuat keputusan untuk tidak menyambung
kontraknya yang tamat semalam.
Dengan ketiadaan Blanc, jawatan jurulatih Les Bleus kini dikaitkan dengan legenda Perancis, Dider Deschamps.
"Blanc telah menghubungi Presiden Persatuan Bola Sepak Perancis
(FFF), Noel Le Graet bagi menyatakan hasrat beliau untuk tidak
memperbaharui kontrak," kata kenyataan FFF semalam.
Begitupun, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Blanc berhubung perkara itu setakat ini.
Blanc sebelum ini gagal membantu Perancis mara lebih jauh dalam
kempen Euro 2012 apabila tewas 0-2 kepada juara bertahan, Sepanyol pada
suku akhir minggu lepas.
Suasana kem beliau dilaporkan bergolak apabila beberapa pemain
dilaporkan bertelagah sesama sendiri sebaik tewas 0-2 kepada Sweden
dalam aksi terakhir Kumpulan D.
Sebelum ini, Blanc mengambil-alih tugas Raymond Domenech selepas Les
Bleus tersingkir pada peringkat kumpulan kempen Piala Dunia 2010.
Beliau kini dikaitkan dengan kelab England, Tottenham Hotspur yang telah pun memecat Harry Redknapp sebelum ini.
Deschamps pula merupakan kapten Perancis dan pernah beraksi bersama Blanc semasa mendakap trofi Piala Dunia 1998.
Ketika ini, Deschamps merupakan jurulatih Olympique Marseille sejak 2009.
Selepas ini, Perancis bakal memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Finland pada September depan. - Reuters
No comments:
Post a Comment