BUNGA yang baru hendak berkembang ke dunia lakonan, Anzalna masih
dalam situasi lega kerana perangnya bersama Neelofa belum sampai ke
tahap melarat. Dia hanya menunggu tarikh yang bakal ditentukan pihak
Persatuan Seniman untuk satu perjumpaan tertutup bagi menyelesaikan
perbalahan itu secara baik.
Sejak pengacara Nona serta pelakon filem Azura, Noor Neelofa Mohd.
Noor, 23, mengemukakan tuntutan notis saman menerusi dua peguamnya
kepada Anzalna pada pertengahan Jun lalu, baik atau buruk dua pucuk muda
itu cukup panas diperkatakan. Impak yang paling ketara, daripada
sekadar pelakon baharu yang tidak menonjol, pemilik nama Nur Anzalna Md.
Nasir, 24, semakin diperhatikan.
"Saya lebih selesa menjadi Anzalna yang dahulu, tidak perlu menyusun
kata-kata untuk memberi jawapan paling baik kepada wartawan dan jika
habis kerja saya bebas buat aktiviti yang saya suka. Bukan tak suka
dengan perhatian yang diberikan, tapi bentuk perhatian sebegitu buat
saya kurang gembira," katanya mengakui merasa impak diperhatikan kerana
hangat dilanda kontroversi.
SENIMAN
Saya lihat ia sebuah persatuan yang seboleh-bolehnya berusaha untuk
kebaikan bersama para artis yang bernaung bawahnya. Saya ahli baharu
tapi masalah saya mendapat perhatian yang sewajarnya. Saya serahkan kes
saya itu kepada Seniman sebab persatuan sendiri sudah ada peguam yang
bertauliah.
MAHKAMAH ATAU BERJABAT TANGAN
Saya pilih jalan penyelesaian yang tidak merumitkan keadaan. Status
kepada penyelesaian itu belum ada tapi saya yakin akan ada jalan. Buat
masa ini, saya tunggu dan lihat. Saya telah katakan, saya sanggup minta
maaf kepada Neelofa.
RESPONS SEKELILING
Saya masih tidak berasa kekok jika ke lokasi penggambaran sebab ramai
yang ambil berat dan selalu beri kata-kata semangat supaya saya jadi
lebih kuat. Setakat ini tak ada insiden yang memalukan lagi selain saya
sendiri yang merasa agak malu dikenali kerana pergaduhan sesama sendiri.
TEMAN LELAKI
Namanya Hanif Zaki, 24, dan dia sekarang menjalankan perniagaan
sendiri. Dia seorang yang sangat rasional dalam apa sahaja yang berlaku
di sekeliling saya. Dia okey sangat dan saya sendiri lega kerana tidak
perlu menyembunyi status bercinta dengan sesiapa. Bagi saya, saya akan
mengaku sahaja daripada memberi jawapan ‘no comment’ atau macam-macam
alasan bila ditanya soal hati. Kalau asyik beri jawapan ‘no comment’
atau macam-macam alasan, kekasih sendiri pun boleh terasa hati.
KERJA LAKONAN
Sekarang saya masih di lokasi Adam & Hawa, sebuah drama bersiri
80 episod untuk Astro Bella. Watak saya biasa sahaja, mula-mula jahat
kemudian jadi baik. Saya pegang watak Dee, wanita yang jatuh cinta
terhadap Adam lakonan Aaron Aziz, malangnya cinta Dee tidak kesampaian.
Masuk Julai, ada dua projek sedang menunggu, sebuah telemovie dan sebuah
lagi drama bersiri. November nanti, filem pertama saya, Sepah The Movie
akan masuk pawagam.
No comments:
Post a Comment