DALAM tas tangan Dian Sastrowardoyo, 30, ada sebuah buku kecil yang
layaknya dipanggil jurnal. Dia menulis sendiri setiap hari tanpa jemu
atau lupa. Dia mencatat 10 perkara yang dilakukannya pada setiap hari
dan bersyukur dengan segala perlaksanaannya, tanpa gagal.
Jurnal berbentuk sederhana kecil itu ditunjukkan kepada penulis. Ya,
tanpa perlu bicara panjang, aktres Indonesia ini menaburkan aura
positif. Ditambah dengan senyum yang tidak pernah lekang di wajahnya
yang ekstra manis, dia memang sekuntum bunga yang punya haruman sendiri.
Bertemu mata dengan wanita yang sudah bergelar ibu, inti katanya
sarat terkandung perkataan positif. Dia mengaku jalur hidupnya tersemat
erat tema itu. Bukan angkara satu insiden atau momen dia menjadi semakin
positif setiap hari tetapi kerana dia menikmati hidup dan melayarinya
dengan predikat syukur.
Pengertian hidup
Berbelit lidah menyebut nama Diandra Paramitha Sastrowardoyo namun
belitan itu tidak sedikit pun mengurangkan pesonanya di sebalik
kebangkitan para pendatang seni baharu di Indonesia.
Muncul kali perdana mengait mata khalayak melalui filem Bintang Jatuh
dan kemudian menerapkan ingatan ramai terhadap karakter Daya melalui
Pasir Berbisik dan Ada Apa Dengan Cinta, kriteria dalaman Dian kemudian
menjadi tanda aras kaum Adam mencari pacar.
Fasa demi fasa dilalui Dian, tampak diam seketika dalam dunia
lakonan, wanita ini hakikatnya sedang berada dalam dunia
kekeluargaannya. Kesempatan bertemu mata sebelum sidang akhbar bersama
pihak L'oreal Indonesia, dia bercerita luncur seperti air mengalir
tentang hidupnya kini.
"Kehidupan sekarang sibuk dengan hal-hal domestik iaitu menguruskan suami dan anak," mula Dian dengan ketawa.
"Belum sesuai untuk berlakon filem kerana saya masih menyusukan anak.
Jika ada skrip yang sesuai, pasti akan diambil. Memang banyak tawaran
filem yang ditolak sebenarnya," ujarnya apabila disentuh aspek berlakon.
Mengheret sedikit ke detik sebelum bergelar isteri kepada Indraguna
Sutowo dan bonda kepada Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo, Dian
berkongsi proses hidupnya.
"Dulu saya seorang individu solo yang bercita-cita besar. Jujurnya,
saya berasa terlalu cepat berkahwin kerana waktu itu saya juga mahu
melanjutkan pelajaran.
"Lima bulan menikah kemudian saya hamil, betapa cepat semua proses
berlaku. Saya akur, saya dan Indra memang ditakdirkan untuk
masing-masing. Hidup saya kini tidaklah sempurna tetapi berbeza," lanjut
Dian tentang belahan jiwanya yang dinikahi pada 18 Mei 2010.
Masuk ke dalam suatu yang dinamakan transformasi, aktres yang pernah
menggondol Anugerah Aktres Terbaik pada Festival Filem Deauville,
Perancis ini mengaku membaca buku dan bertemu dengan banyak ragam orang
merupakan faktor dirinya bergerak ke arah elemen positif.
Terus belajar
Aura itu dirasai lantaran dia melontarkan kata-kata dan pemahaman
positifnya beserta pepatah-pepatah Dalai Lama yang diambilnya sebagai
ikutan.
Wanita kelahiran Jakarta ini memberi 'resipi' dirinya iaitu sentiasa berfikiran jernih dan berasa gembira dalam melayari hidup.
"Setiap hari, selesai menguruskan anak dan suami, saya akan mengambil
masa untuk diri sendiri. Mengumpul lima atau 10 minit untuk berada
dengan diri saya sendiri, berfikir tentang sesuatu yang dinamakan
kebahagiaan," kongsi Dian.
Lantas Dian diajak bercerita tentang elemen positif dalam hidupnya.
"Jujurnya selepas saya membaca buku yang bertajuk The Magic kemudian
diikuti The Power dan The Art of Happiness. Saya sekarang memang
gemarkan bahan bacaan sebegini yang lebih berbentuk motivasi diri,"
akuinya yang menolak cerita yang berhujung sedih atau berbentuk novel.
Dalam senggang masa di set penggambaran, Dian sedang merancang beberapa perkara untuk dirinya sendiri.
Dia mengaku kekal seorang yang bercita-cita tinggi walaupun berubah
status, cuma saluran cita-cita itu sudah terarah ke 'genre' yang
berlainan.
"Saya mahu belajar banyak perkara. Mahu belajar piano klasik,
mendalami bahasa Perancis dan semua yang saya tinggalkan waktu zaman
muda.
"Kalau mahu tahu, seorang Dian dahulu sebenarnya seorang penari balet
ketika sekolah rendah. Saya juga punya grup yang bernama Nuansa dan
Jelly Fish, saya di posisi gitar," akuinya kesal meninggalkan semua itu.
"Saya juga seorang penulis di majalah sekolah. Saya fikir bahawa
menulis itu memang sesuatu yang cool dan betapa saya berharap saya tidak
berhenti melakukan itu dahulu," ujarnya yang gemar membaca tulisan rumi
sejak dari dulu.
"Saya mahu melakukan kembali apa yang saya tinggalkan. Saya
mensyukuri segala apa yang berlaku dalam hidup termasuk pemilihan saya
ke Festival Filem Cannes ," katanya sebelum beralih ke satu topik lain.
"Pergi ke festival tersebut, saya berasa bersyukur. Bukan usaha saya
dan saya juga tidak ada filem baharu tetapi terpilih. Saya memang rasa
sangat bertuah," ujar wanita ini yang memukau mata ramai ketika
melangkah di karpet merah pada festival tersebut.
"Pengalaman itu menakjubkan. Bertemu dengan ramai pelakon
antarabangsa sungguh mengujakan. Wow, semua ini seperti mimpi buat
saya," galak Dian bercerita.
No comments:
Post a Comment