Jom Buat Duit

Thursday, 5 July 2012

Adi Putra, Aida bahagia

BINTANG filem yang semakin popular sejak muncul dalam filem KL Gangster dan drama Tentang Dhia, Adi Putra pernah menimbulkan kontroversi sekitar Mei lalu apabila menghantar permohonan cerai terhadap isterinya, Aida Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kemelut rumah tangga aktor yang berasal dari Singapura itu kembali reda apabila Adi tampil menjernihkan keadaan dalam satu sesi sidang media dan menarik balik permohonan cerai tersebut.
Adi yang ditemui baru-baru ini pada sidang media majlis ulang tahun pertama kelab peminatnya yang diberi nama Hotlovers di Saloma Bistro juga memberitahu, dia kini dalam proses menunggu kelulusan permohonan status penduduk tetap negara ini selepas memohon sejak berkahwin dengan isterinya, enam tahun yang lalu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adi yang turut menjemput peminatnya ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menyambut ulang tahun pertama kelab peminatnya Hotlovers pada 14 Julai depan.
KOSMO!: Bagaimana keadaan rumah tangga Adi selepas kontroversi menghantar permohonan cerai itu?
ADI: Alhamdulillah, semuanya kembali seperti biasa. Saya lebih yakin tetapi sebagai hamba Allah, saya berserah kepada qada dan qadar.

Maknanya selepas kontroversi itu, keadaan rumah tangga anda semakin berada dalam suasana positif?
Buat masa ini positif sungguhpun begitu, saya tidak berani ambil satu perspektif mengatakan semuanya bagus belaka. Saya takut jika saya kata begitu, esok lusa lain pula jadinya.
Apa komen atau pandangan yang diterima anda daripada peminat selepas kontroversi rumah tangga itu?
Peminat sentiasa memberi sokongan dan mereka tidak galakkan saya untuk hidup berpecah-belah.
Adakah anda mengambil kira pandangan peminat berhubung kemelut rumah tangga?
Bagi saya, tidak boleh mengambil pandangan orang luar sahaja kerana pucuk pangkalnya saya sendiri yang jalani, hanya saya dan isteri tahu keadaan yang sebenar. Cukuplah untuk peminat tahu keadaan saya masih okey.

Isteri anda memahami situasi yang suaminya mempunyai ramai peminat wanita?
Isteri saya tahu bagaimana keadaannya ketika saya bersama peminat dan dia tidak kisah. Bagaimanapun saya tetap akan bahagikan masa untuk bersama isteri. Kebiasaannya selepas habis kerja saya akan terus pulang ke rumah.

Khabarnya anda akan menunaikan umrah buat kali ketiga pada bulan Ramadan kelak tetapi pergi tanpa ditemani isteri, kenapa?
Mengikut perancangan, saya akan pergi menunaikan umrah pada 6 Ogos tanpa ditemani isteri. Bukan sengaja, tetapi isteri saya tidak mempunyai cuti, kami ada merancang untuk menunaikan umrah bersama pada bulan Februari tahun depan.
Buat pertama kalinya anda akan mengadakan sebuah majlis ulang tahun kelab peminat Adi yang diberi nama Hotlovers, apa tujuannya?
Sebenarnya saya tidak pernah sangka akan ada kelab peminat sendiri, syukur selepas setahun kewujudan Hotlovers pada 14 Julai ini, kami akan menyambut ulang tahun yang pertama. Tujuannya untuk bertemu peminat yang tidak jemu memberi sokongan kepada saya. Buat peminat yang ingin hadir di PWTC, anda boleh hubungi Yuhanis di talian 010-780 2240 atau 017-377 8531 (Sarah), bayaran sebanyak RM120 dikenakan untuk seorang.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters