Jom Buat Duit
Thursday, 17 May 2012
Konsert Kosmo! di Sarawak meriah
KONSERT Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! pada Ahad lalu di Tower Square, Tebingan Kuching, Sarawak berlangsung dengan cukup meriah. Faktor cuaca menyebabkan konsert yang sepatutnya berlangsung pada pukul 8 malam telah ditunda ke pukul 9 malam.
Satu pujian buat peminat yang menyaksikan konsert Kosmo! kerana mereka tidak berganjak meskipun dalam keadaan hujan lebat yang turun sejak pukul 4 petang sehingga 7 malam. Mereka tetap setia demi menyaksikan barisan penyanyi seperti Amy Search, Misha Omar, Akim, Nera, Bob, Iwan Dasri, Noorhafiza dan Mal Imran.
Bob yang mendendangkan tiga buah lagu pada konsert tersebut melahirkan rasa teruja terhadap pelancaran akhbar Kosmo! di bumi kelahirannya. Menyifatkan kehadiran akhbar kompak tersebut sebagai pelengkap berita-berita terkini, penyanyi itu berharap agar Kosmo! terus memberi informasi tepat dan terkini.
Bercakap tentang konsert yang berlangsung pada malam Ahad lalu, Bob memberitahu: “Saya sangat teruja kerana dapat turut serta menjayakan konsert ini. Pertama adalah kerana saya menjadi salah seorang artis yang dapat mengumumkan tentang kehadiran Kosmo! di Sarawak.
“Kedua, saya sudah lama tidak dapat membuat persembahan secara terbuka dan bertemu peminat seperti ini. Selalunya, saya hanya dijemput untuk menghiburkan tetamu dalam majlis-majlis korporat, jadi bila dapat bertemu peminat sebegini, saya rasa amat gembira,” kata penyanyi yang bakal muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, penyanyi Misha Omar yang menyampaikan dua buah lagu popularnya iaitu Bunga Bunga Cinta dan Pulangkan turut mengucapkan tahniah atas perkembangan Kosmo! yang kini cuba menakluk pasaran negeri Sarawak.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kosmo! kerana telah berkembang dengan agak pantas dalam tempoh yang agak singkat iaitu lapan tahun menjelang Ogos ini,” ujar penyanyi itu yang kini aktif sebagai pelakon drama.
Mengulas tentang konsert yang berlangsung, Misha memberitahu dia teruja apabila bertemu dengan peminat di Sarawak kerana sambutan dan penghargaan yang ditonjolkan cukup berbeza dengan reaksi yang diterima jika dia bertemu peminat di Kuala Lumpur.
Ujarnya: “Saya teruja dengan sambutan yang diberikan peminat di sini. Mereka masih lagi mempunyai keghairahan bertemu artis dan tidak malu menunjukkan penghargaan serta minat mereka kepada kita. Jika kita bertemu peminat di ibu kota, kebanyakannya tidak menunjukkan rasa teruja, mungkin kerana sudah sering bertemu artis.”
Penyanyi Nera yang terbang dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuching Sarawak pada hari berlangsungnya konsert Kosmo! memberitahu, dia cukup teruja dapat menghiburkan peminat di Kuching.
“Bagi saya ini satu penghargaan apabila pihak Kosmo! menjemput saya untuk sama-sama menyertai konsert yang cukup bersejarah buat akhbar Kosmo!,” ujarnya.
Nera yang popular dengan lagu Hatimu Milikku terpaksa terbang seawal pukul 6.30 pagi ke Kota Kinabalu keesokan harinya selepas konsert Kosmo! kerana mempunyai peperiksaan di kolej pada pukul 9 pagi.
“Saya ada peperiksaan pada pukul 9 pagi tetapi saya yakin saya mampu lakukan yang terbaik. Walaupun saya sibuk dengan persembahan pentas, saya akan pastikan pelajaran saya tidak terabai,” terangnya yang mengikuti pengajian pelancongan.
Seorang lagi penyanyi, Akim yang baru sahaja muncul dengan filem muzikal Hoore! Hoore! mengatakan dia sering turun ke Kuching kerana undangan persembahan pentas. Baginya, sambutan yang diberikan oleh peminat di Sarawak cukup hebat terutamanya pada konsert Kosmo!.
“Saya sebagai penyanyi cukup seronok apabila lihat ramai peminat bersorak dan benar-benar menunggu kemunculan saya. Memang saya rasa sangat dihargai peminat,” luahnya.
Dia yang menyanyikan lagu Inilah Cinta, Janji dan Just The Way You Are pada konsert tersebut menambah, melihat kepada sambutan yang diberikan masyarakat di Kuching, tidak mustahil akhbar
Kosmo! mampu memenangi hati pembaca di sana.
“Saya diberitahu ketika konsert Kosmo! diadakan, akhbar ini baru beberapa hari dipasarkan di sana, tetapi sambutan yang diberikan orang ramai sangat luar biasa. Tidak mustahil Kosmo! mampu pergi lebih jauh daripada apa yang dikecapi hari ini,” katanya yang akan muncul dengan album terbaharu tidak lama lagi.
Bagi legenda rock Amy Search yang masih tiada tandingan, dia sengaja menyarung sut berwarna merah menyala pada malam itu.
“Ini (merah) warna rasmi Kosmo! kan? Sebab itu saya pakai warna merah sebagai sokongan kepada akhbar ini,” ujarnya yang sangat berpuas hati dengan sambutan peminat yang hadir pada malam itu.
Mendendangkan tiga buah lagu termasuk lagu ‘berhantu’ Isabella, Amy berjaya memukau ribuan tetamu yang hadir dengan karisma luar biasanya.
“Semoga Kosmo! terus belayar dengan gagah di Sarawak,” ujar vokalis unggulan Search itu menunjukkan tanda sokongannya kepada Kosmo!.
Selain penyanyi, tetamu kehormat yang hadir pada konsert Kosmo! ialah Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
Buat semua artis yang terlibat termasuk kakitangan Cats FM yang banyak membantu melancarkan perjalanan majlis termasuk dua DJ Cats FM, Yasz dan Cassie, yang bertindak selaku pengacara pada konsert malam itu, jutaan terima kasih Kosmo! ucapkan. Semoga kita boleh bekerjasama lagi pada masa akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment