KUALA LUMPUR: Seorang lelaki gila talak apabila sanggup mengugut dan memaksa isterinya yang diceraikan dengan talak tiga supaya kembali kepadanya.
Lebih membimbangkan apabila suspek berusia awal 40-an itu mendakwa mahu menculik anak lelaki mereka berusia dua tahun sekiranya bekas isterinya itu enggan berbuat demikian.
Difahamkan, sejak diceraikan suspek, si isteri berusia lewat 30-an itu mendakwa sudah berpindah ke lebih tiga negeri kerana tidak tahan selepas diburu bekas suaminya itu yang mengganggunya di tempat kerja serta kediaman mangsa.
Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu, mangsa yang menetap di Setapak mendakwa bekas suaminya sekali lagi memaksanya untuk kembali kepadanya.
Tidak tahan dengan ugutan dan gangguan lelaki itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak.
Menceritakan semula kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Rosmah, 38, berkata dia dan suaminya berpisah pada pertengahan tahun lalu kerana lelaki terbabit menceraikannya dengan talak tiga selepas terbabit dalam pertengkaran.
“Dua bulan kemudian, bekas suami kembali ke rumah dan memaksa saya untuk kembali kepadanya. Saya yang enggan berbuat demikian dipukul,” katanya memberitahu ketika itu dia menetap di Terengganu.
Menyedari dia tidak boleh kembali kepada bekas suaminya itu, Rosmah berkata, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah.
“Bekas suami memaksa saya kembali kepadanya biarpun sudah diceraikan dengan talak tiga,” katanya yang enggan menerima suaminya semula kerana suspek memaksanya menggunakan khidmat ‘Cina Buta’.
Mengulas kejadian terbaru pada Khamis lalu, Rosmah mendakwa dihubungi bekas suaminya itu sebelum suspek memujuknya untuk kembali.
“Keengganan saya berbuat demikian menyebabkan dia mengugut mahu memukul saya.
“Bekas suami turut mengugut untuk menculik anak kami sekiranya saya masih berkeras,” katanya memberitahu, bekas suaminya turut mengganggunya di rumah dan tempat kerja.
Katanya, laporan polis dibuat kerana bimbang keselamatan diri dan anaknya.
Menurutnya lagi, dia tidak akan kembali kepada suaminya kerana mendakwa sering dipukul dan diabaikan lelaki terbabit.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat memberikan perlindungan kepada saya supaya dapat menjalankan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Bekas suaminya yang mahu dikenali sebagai Roy, 42, ketika dihubungi berkata, dia masih menyayangi bekas isterinya itu dan sanggup menggunakan apa jua cara bagi menyatukan semula keluarganya itu.
“Saya bukan nak cederakan sesiapa...cuma mahu dia (bekas isteri) kembali kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
No comments:
Post a Comment