KUALA TERENGGANU: “Kata-kata ‘mak lihat saya seperti mahu bergaduh’ ketika saya merenung wajahnya sebelum dia meninggalkan rumah menjadi gurauan terakhir apabila arwah maut dipanah petir di pantai Teluk Ketapang,” kata Norhayati Mamat, 42, ibu Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, yang maut dipanah petir ketika memancing di pantai berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya, Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, dan Mohd Fharal Adzaana Ngah, 26, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Norhayati dari Taman Desa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Chendering, di sini berkata, arwah anaknya meninggalkan rumah jam 3 petang untuk memancing selepas makan tengah hari.
“Dari pagi arwah meminta menggunakan motosikal daripada saya dan suami, Mohd Jaafar Jusoh, 43, untuk memancing.
“Bagaimanapun, sebelum meninggalkan rumah, saya sempat merenung wajahnya dan dalam keadaan bergurau itu, arwah sempat berkata sama ada saya mahu bergaduh dengannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anaknya memaklumkan kejadian itu, jam 4.30 petang sebelum mereka sekeluarga bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, pada pagi hari kejadian, arwah memberitahu mahu memancing di Marang dan tidak mengetahui yang mereka ke pantai berkenaan bersama lima rakan.
Rakan mangsa yang turut memancing bersama sebelum kejadian, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di pantai itu untuk memancing.
“Saya bersama dua rakan masuk dalam kereta, namun arahan saya yang meminta tiga mangsa yang maut dan cedera itu berlindung dalam kereta tidak diendahkan,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa berlindung dalam khemah kanvas yang didirikan pemancing lain sebelum ini.
Katanya, ketiga-tiga mangsa enggan berganjak, malah sempat berkata ‘alang-alang dibasahi hujan’, mereka mahu terus memancing.
Mohd Arif berkata, selepas hujan berhenti, dia turun ke tempat tiga mangsa itu memancing dan mendapati seorang daripadanya sudah tidak bernyawa manakala dua lagi rakannya cedera dan meminta bantuan orang ramai membawa mereka yang cedera ke hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu yang membabitkan satu kematian dan dua parah akibat dipanah petir ketika memancing di pantai berkenaan.
No comments:
Post a Comment