KUALA TERENGGANU: “Menggeletar tubuh melihat tangan kiri dan kaki
kanan melecur teruk selepas disambar api, muka pula berasa sangat panas
tidak ubah seperti dibakar,” kata Mohd Ayob Abdullah, 22, dari Taman
Hadhari, Paka, Dungun, antara mangsa disambar api ketika melakukan kerja
baik pulih loji milik Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd di Kerteh,
Kemaman, kelmarin.
Turut cedera dalam kejadian itu ialah rakannya Mohd Zakaria Abd
Ghani, 28, dari Kampung Limbong, Paka, Dungun yang melecur muka dan
tangan kanan manakala dua lagi rakan sekerjanya cedera ringan.
Semua mangsa dikejarkan ke Klinik Rantau Petronas sebelum Mohd Ayob
dan Mohd Zakaria dirujuk ke HSNZ manakala dua rakannya yang cedera
ringan dirawat di Hospital Dungun.
Mohd Ayob yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di
sini semalam, berkata sebelum kejadian dia dan tiga rakan menjalankan
kerja baik pulih di loji itu seperti biasa sejak sembilan hari lalu
apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berhampiran kawasan kerja
kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
“Saya terkejut apabila api besar menyambar muka dan tangan kiri
menyebabkan saya ketika itu berada di atas loji, terpelanting jatuh.
“Cemas melihat kecederaan tangan dan kaki, saya memekik meminta
tolong sebelum pasukan keselamatan datang membantu. Mereka membawa saya
dan rakan yang cedera ke Klinik Rantau Petronas sebelum dihantar ke
HSNZ,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, dia mendengar
bunyi seakan-akan gas bocor sebelum berlaku letupan dan api menyambar
muka dan tangan kanannya.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Zulkifly M Ismail yang ditemui semalam, mengesahkan kejadian berkenaan.
No comments:
Post a Comment