Jom Buat Duit

Thursday, 9 August 2012

Trofi terbaik memori terindah - Eja

PADA usia mencecah 40 tahun dan 16 tahun berjuang tanpa kenal erti jemu, nama aktres berkaliber, Eja (gambar) terus bertahan dan sukar digugat bakat baru yang bagaikan cendawan tumbuh dalam bidang seni tanah air.

Bersandarkan bakat besar, kerja keras 16 jam sehari dan komitmen yang bukan sedikit, pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin ini membuktikan dia tetap hebat di gelanggang seni apabila mengungguli dua gelaran Aktres Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 dan juga Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem genre seram Janin.

Anak kelahiran Puchong, Selangor ini juga membuktikan status isteri dan ibu kepada seorang anak, Nur Eishal bukan penghalang buat dirinya untuk diiktiraf sebagai pelakon wanita paling cemerlang dalam dunia hiburan Malaysia pada tahun lalu.

Berkongsi cerita sempena kempen #MYsyg (My Sayang) anjuran Media Prima Berhad, Eja berkata, walaupun sudah menang dua trofi berturut-turut, Eja menganggap dirinya masih belajar ilmu dalam bidang lakonan dalam visinya untuk terus memartabatkan seni.

“Trofi yang saya genggam itu bukan untuk diri sendiri saja sebaliknya untuk industri seni Malaysia secara keseluruhannya. Saya juga bersyukur kerana lakonan yang diceburi sekian lama diterima dengan baik,” ujarnya.

Pada masa sama, Eja melihat perjalanan seninya masih jauh lagi dan masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menjadi pelakon yang lebih hebat untuk diiktiraf di luar negara.

“Sebagai pelakon setiap hari kita belajar ilmu yang baru sama ada dari segi skrip dan naskhah diberikan serta pengarah yang berbeza di lokasi penggambaran setiap hari. Saya juga tidak ada masalah bekerja dengan pengarah baru kerana mereka selalunya tampil dengan idea yang baru dan segar.

“Jika pelakon hanya bawa watak yang sama dan cerita yang dilakonkan pengisian atau mesejnya kosong untuk disampaikan pada masyarakat sampai bila-bila pun industri seni kita tidak akan maju dan masih di takuk lama,” katanya.

Ditanya pandangannya mengenai industri seni tanah air, Eja mengakui, banyak perubahan dari segi sejarah dan latar belakang seseorang artis kita sekarang berbanding pada era 1970-an dan 1980-an dulu.

“Artis kita sekarang memiliki latar belakang akademik yang bagus dan berpendidikan tinggi. Contohnya, ada anak menteri yang menjadi pelakon dan penyanyi. Ternyata, masyarakat kita sudah berfikiran terbuka dan melihat bidang seni ada masa depan sama seperti profesion lain.

“Saya juga bangga dengan kemajuan yang dicapai anak seni Malaysia. Contohnya, Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna yang berjaya menempa nama di peringkat antara bangsa. Semoga lebih ramai artis kita akan mengikut jejak mereka.

“Impian saya pula ingin melihat hasil karya drama dan filem kita boleh dipertandingkan di Hollywood. Jika Iran dan Indonesia boleh, kenapa tidak karya orang kita?” katanya.

Eja akui sangat bangga menjadi anak Malaysia dan hidup dikalangan masyarakat yang berbilang kaum dan harmoni di negara ini.

“Malaysia pesat membangun dan banyak peluang pekerjaan tersedia di sini termasuk dalam produksi drama dan filem,” katanya.

Sempena kempen MySayang, orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my sebelum 15 Ogos ini.

Bagi penyertaan video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters