Sekalipun kasih Saida dan bekas suami, Mohd Ghazali Yahya Zikri, 41, sudah terputus, namun hubungan mereka dengan anak tetap sama.
Tiada halangan untuk Ghazali berhubung dengan anak yang tinggal bersama Saida dan mereka bila-bila masa boleh bertemu dengan bekas suaminya.
“Bekas suami masih jalankan tanggungjawabnya kepada anak kami seperti dulu dan pada hari raya ini dia yang belikan baju raya. Kalau ada lagi keperluan anak yang tak cukup, barulah saya belikan.
“Syukur situasi sekarang lebih tenang dan anak pun memahami keadaan kami berdua yang tidak sefahaman lagi. Bekas suami menetap di Kuala Lumpur dan saya di Cheras jadi memang tiada masalah bekas suami menjenguk anak.
“Walaupun tanpa suami, raya ini tidak terlalu sunyi kerana saya tetap dikelilingi adik-beradik dan anak saudara. Seperti biasa, dua tiga hari sebelum raya saya akan balik kampung kami di Kuala Lipis tapi belum tahu nak beraya selama mana di sana.
“Bila kami berkumpul, emak orang yang paling gembira sebab dapat jumpa anak cucu di kampung,” katanya.
Bercakap dari segi kerjaya seni pula, jelasnya undangan membuat persembahan masih ada dan dia lebih sibuk pada Ramadan ini kerana dijemput pelbagai pihak untuk mempromosikan lokasi perniagaan dan produk mereka serta memenuhi undangan berbuka puasa.
“Meskipun agak sibuk dengan tugas saya di SNP (Siti Nurhaliza Productions) dan pelbagai acara pada Ramadan, saya rasa gembira kerana saya melakukan apa yang disukai. Anak semakin besar, ada kala anak yang sulung akan temankan saya,” katanya.
Ramadan ini juga Saida bersama rakan artis menjalankan perniagaan di bazar Ramadan di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Maya (penyanyi Matahari) menjual kuih tart yang diambil dari Johor dan rasanya sangat sedap. Saya beli banyak untuk dibawa balik ke kampung. Tak tahu sudah berapa bekas saya beli. Saya juga beli kuih cakar ayam yang dijual Haiza. Saya tak pernah makan kuih itu dan sekali rasa terus suka kerana rangup dan tidak berapa manis.
“Saya juga beli popia gulung sambal udang. Tahun ini saya beli kuih yang pelik-pelik, tapi sedap,” katanya.
Saida ditemui di pusat beli-belah Semua House yang muncul untuk mempromosikan baju raya milik butik Datuk Roy Azman iaitu Busana Anggun, Mami Hawa, Tijaani, Top Girl Fashion, Jelinda Fashion, Hugoclothier dan Tanan Jewellery. Majlis itu diadakan setiap hujung minggu yang diacarakan Kelly Azman.
Semua House juga mengadakan pertandingan reka cipta kad raya paling kreatif yang berpeluang memenangi hadiah utama Perodua MyVi dan hadiah sampingan lain yang menarik.
Roy yang juga pelakon kini menumpukan kepada perniagaan butik. Selain terletak di Semua House, dua lagi butiknya dibuka di Medan Mara dan Subang Jaya.
Imbas cerita lama, katanya dulu dia banyak berlakon drama terbitan HVD dan selepas syarikat itu tidak aktif lagi dia membuka butik kerana berasakan masa depan perniagaan lebih cerah.
“Pilihan saya tidak salah kerana perniagaan butik mendatangkan pendapatan lumayan daripada hasil lakonan. Jadi lebih baik saya berniaga. Minat berlakon pun semakin kurang dan selain mengusahakan butik saya juga terbabit di belakang tabir produksi di mana saya banyak menganjurkan pelbagai acara untuk artis seperti persembahan pentas dan konsert. Lebih seronok bekerja di sebalik tabir,” katanya.
Katanya sebagai pemilik butik dia mesti kreatif sebagai mana pereka fesyen dan mengikuti perkembangan rekaan terbaru.
“Baju Melayu pun sudah melalui transformasi. Meskipun bentuk baju Melayu tetap sama, namun setiap tahun pasti ada sedikit perubahan terutama pada jenis kain dan hiasan,” katanya.
Metro
No comments:
Post a Comment