Jom Buat Duit

Thursday 2 August 2012

Ramadan Dafi di perantauan

TUNTUTAN kerjaya dan impiannya untuk mengembangkan bakat seni ke negara seberang memaksa Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri hidup sendirian di Kota Jakarta, Indonesia.
Menurut Dafi, 24, yang sempat menyambut separuh bulan Ramadan di Malaysia, dia mengambil cuti bulan mulia ini daripada mengendalikan program, Selebrita Siang.

Bagaimanapun disebabkan kepadatan jadual kariernya di Indonesia, Dafi harus terbang ke Jakarta semula sebelum kembali ke Kuala Lumpur dua hari sebelum sambutan Aidilfitri kali ini.
"Buat masa ini saya masih berada di Malaysia tetapi pada 10 Ogos depan saya akan kembali ke Jakarta kerana kerja.

"Memang saya sengaja minta cuti sebulan kerana ingin menghabiskan bulan Ramadan bersama keluarga dan juga aktiviti seni di Kuala Lumpur tetapi disebabkan beberapa hal yang harus saya bereskan sebelum raya, mahu tidak mahu saya terpaksa pulang ke Jakarta," ujarnya.
Tambah Dafi, budaya dan suasana bulan Ramadan antara Kuala Lumpur dan Jakarta sangat berbeza. Tiada nasi tomato yang merupakan makanan kegemarannya dan yang paling utama tiada keluarga di sisinya.

"Apa yang saya tahu di Jakarta tiada bazar khas untuk bulan Ramadan, apa yang ada cuma gerai-gerai tepi jalan yang jual kuih-muih. Saya pula paling suka nasi tomato. Di Jakarta memang tidak jumpa orang jual nasi tomato, jadi saya tukarkan makanan kegemaran saya itu dengan nasi uduk.
"Biasanya saya akan buka puasa di restoran bersama rakan-rakan berbeza jika di Kuala Lumpur pastinya dengan keluarga. Jika tidak ada aral melintang, keluarga saya akan terbang sekali ke Jakarta untuk rasa berpuasa di sana sambil melawat saya," ucap Dafi yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Tinggal sendirian di kawasan perumahan yang ramai orang Malaysia mengubat sedikit kerinduan Dafi terhadap tanah air. Namun kata Dafi, sudah tinggal sendirian menyebabkan dapurnya cukup jarang digunakan.

"Saya cuba untuk masak terutamanya untuk makan sahur tetapi setakat hari ini belum lagi (ketawa). Maknanya saya memang jarang masak, biasalah orang bujang, sahur saya lebih selesa makan di luar sahaja," luah anak Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu lagi.

Bercakap tentang raya, terang Dafi, dia akan bercuti selama dua minggu sebelum kembali ke Jakarta.
"Persiapan raya sudah dibuat awal-awal lagi, baju sudah ditempah. Selepas raya saya akan kembali sibuk dan jarang-jarang untuk dapat cuti, jadi saya bercuti selama dua minggu untuk bersama keluarga," jawabnya.

Lagu raya
Cuti selama sebulan tidak disia-siakan Dafi apabila dia turut merakamkan sebuah lagu raya berjudul, Meriahnya Lebaran yang dicipta sepenuhnya oleh Pak Ngah.
Lagu yang dirakamkan pada 16 Julai lalu itu merupakan sebuah lagu raya yang mempunyai elemen tradisional sesuai dengan kehendak Dafi yang menginginkan sebuah lagu raya klasik.
"Sebenarnya saya boleh sahaja buat lagu raya dengan sentuhan moden seperti pop, balada dan pelbagai genre lain tetapi saya sendiri rasa sebuah lagu raya itu harus ada elemen tradisional supaya kemeriahan raya itu dapat dirasai," ujarnya.
FIGURA ini bakal bercuti selama dua minggu untuk menyambut hari raya pada tahun ini di Malaysia.


Memilih Pak Ngah selaku komposer lagu raya itu, kata Dafi, dia percaya lagu-lagu nukilan komposer itu cukup mesra telinga dan sesuai dengan suasana raya.

"Karya Pak Ngah tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sudah terbukti, dia memang hebat di bidangnya. Tiada orang lain yang berada di fikiran saya ketika perancangan untuk merakamkan lagu raya dibuat. Alhamdulillah, Pak Ngah setuju dan saya sendiri secara peribadi suka dengan lagu raya yang dihasilkannya," jawab Dafi.

Selain lagu raya, Dafi juga telah muncul dengan lagu berjudul Bila Cinta Tiada Lagi yang akan mula berkumandang di stesen radio tempatan tidak lama lagi.

Selepas lapan bulan menandatangani kontrak sebagai artis naungan Trans Corp yang memiliki stesen televisyen, Trans TV, Dafi menunjukkan perkembangan yang baik apabila dia bakal merakamkan dua buah lagu hasil komposer Indonesia.

"Mungkin selepas raya, saya akan merakamkan dua buah lagu baharu. Sebuah lagu rancak dan sebuah lagu balada. Nama komposer masih dirahsiakan tetapi saya sudah dengar lagu itu dan memang sedap didengar.

"Sebenarnya saya lebih teruja rakam lagu di Indonesia sebab itu tujuan utama saya berhijrah ke sana tetapi rezeki lain pula yang datang terlebih dulu seperti pengacaraan dan juga lakonan," tuturnya.

Membintangi sinetron
Ketika mula-mula menapak dalam industri seni Indonesia, Dafi akui perjalanan kerjayanya sedikit kabur, namun lama-kelamaan Dafi mula menyesuaikan diri dengan rencah hiburan dan kehidupan masyarakat di sana.

Enam bulan bergelar pengacara program hiburan Selebrita Siang di saluran televisyen Trans 7, penguasaan bahasa Indonesia Dafi semakin baik, malah dirinya juga semakin dikenali.

"Rasanya semua tahu sebelum ini ada beberapa isu berbangkit antara Malaysia dan Indonesia yang menimbulkan ketegangan di sana.
"Sebagai rakyat Malaysia yang bekerja di Indonesia, pada mulanya saya takut juga tetapi sebenarnya yang menimbulkan kekecohan itu segelintir pihak sahaja.

"Saya tidak pernah rasa disisih atau dihentam gara-gara saya berstatus warganegara Malaysia, mereka menerima saya seadanya. Adakalanya mereka bertanya juga isu-isu panas antara dua negara kepada saya tetapi sebolehnya saya akan memberi jawapan yang berunsur diplomasi," katanya.
Terbaharu, Dafi telah membintangi drama bersiri atau sinetron berjudul Dara Kahwin Lari yang telah menjalani penggambaran episod pertamanya sebelum bulan Ramadan lalu.

Melakonkan watak antagonis bernama Naizal iaitu seorang pemain bola dari Malaysia, Dafi yang pernah berlakon dalam filem Sayang You Can Dance itu mengatakan tiada perbezaan berlakon dalam produksi Malaysia mahupun Indonesia.

"Cara kerja mereka sama sahaja dengan orang Malaysia cuma kesukaran buat saya ketika mereka menerangkan perjalanan watak itu kepada saya.

"Walaupun bahasa Indonesia dan Malaysia tiada banyak beza dan mudah untuk saya fahami tetapi terdapat istilah-istilah yang digunakan hanya orang Indonesia sahaja yang faham membuatkan saya kadangkala terkeliru," beritahunya.

Tegas Dafi, meskipun kerjayanya di Indonesia semakin menampakkan hasil, namun Dafi tetap mengutamakan kerjayanya di Malaysia kerana kerjaya seninya berjalan serentak di kedua-dua negara.
"Alhamdulillah, saya semakin diterima di Indonesia tetapi itu tidak bermakna saya melupakan Malaysia, sebaliknya saya akan tetap mengutamakan Malaysia daripada segala segi kerana banyak projek di Malaysia yang telah dirancang sehingga tahun depan," ujarnya menutup bicara.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters