LONDON - Atlet lawan pedang China, Lei Sheng (gambar) melakar sejarah
peribadi apabila memenangi pingat emas pertama antarabangsa dalam acara
foil individu lelaki kelmarin.
Lei Sheng yang sekadar meraih perak di pentas antarabangsa pada
kejohanan dunia 2010 di Paris, menjadi atlet China kedua yang
menyumbangkan pingat Olimpik dalam acara lawan pedang.
Sebelum ini, atlet lawan pedang wanita China, Sun Yujie sekadar menyumbangkan pingat gangsa dalam acara epee individu.
"Saya tidak menjangka untuk meraih pingat. Saya hanya memberi tumpuan
kepada persiapan dan beraksi dengan penuh keyakinan, jadi ia berhasil
hari ini (kelmarin)," kata Lei Sheng.
Sementara itu, Alaaeldin Abouelkassem dari Mesir turut mencipta nama
meskipun tewas 13-15 kepada Sheng pada aksi final, sekali gus muncul
sebagai atlet pedang pertama Afrika yang meraih pingat Olimpik bagi
acara tersebut.
Abouelkassem yang beraksi dengan tangan kiri meminta bantuan
perubatan ekoran kecederaan pada bahagian bahu kirinya sebelum
menyambung perlawanan lima minit kemudian dan mendahului 13-11.
Pemain kidal itu memberitahu, kekejangan otot pada bahu kirinya menjadikan strategi permainannya agak terhalang.
"Saya mempunyai masalah pada bahu kiri sebelum perlawanan. Kemudian ia semakin teruk dan seluruh tangan kiri saya kejang.
"Sasaran saya serba tidak menjadi dan ia menyukarkan saya untuk memenangi perlawanan akhir ini," jelasnya.
Bagaimanapun, dia yang seakan-akan tidak percaya dengan pencapaian
itu mendedikasikan pingat tersebut kepada bapanya yang telah meninggal
dunia.
"Kejayaan ini merupakan impian bapa saya dan dia telah pergi meninggalkan saya tiga bulan lalu," tambahnya.
Choi Byung-chul dari Korea Selatan meraih pingat gangsa selepas
bekerja keras menewaskan juara dunia dan Eropah dari Itali, Andrea
Baldini 15-14. - Agensi
No comments:
Post a Comment