SAMA cantik, sama padan. Itulah istilah paling tepat yang boleh
digambarkan terhadap pasangan merpati dua sejoli iaitu Wan Hafizol Wan
Omar atau Fizo dan Mawar Abdul Karim yang baru sahaja sah menjadi suami
isteri.
Mula berkenalan setelah masing-masing bertemu atas urusan perniagaan
pada akhir tahun lalu, siapa sangka perkenalan singkat yang terjalin
antara kedua-duanya membawa ke jenjang pelamin.
Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman pengantin
perempuan di Country Heights, Kajang, dengan sekali lafaz akhirnya Fizo,
28, yang segak berbaju Melayu rona putih rekaan Man Kajang sah menjadi
suami kepada Mawar.
"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar dan Mawar
akhirnya sah milik saya sepenuhnya. Apabila sudah bergelar suami,
pastinya tanggungjawab kini menjadi lebih besar.
"Semasa akad nikah, saya tidak terlalu memikirkan sangat perasaan
gementar, sebaliknya saya lebih risau dengan status sebagai seorang
suami. Bagaimanapun, saya sudah lama bersedia dari segi mental dan
fizikal," ujarnya ketika ditemui sebaik selesai acara akad nikah.
Dalam majlis berkenaan, Fizo dan Mawar dinikahkan oleh Pegawai Tadbir
Agama Daerah Hulu Langat, Mohd. Arif Abdul Samad dengan mas kahwin
RM506.
Pihak pengantin lelaki memberi tujuh dulang dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pengantin perempuan.
Lebih istimewa, dulang hantaran daripada pihak lelaki dibawakan oleh
rakan Fizo yang merupakan pelakon lelaki popular seperti Kamal Adli,
Johan As'ari, Iqram Dinzly, Shaheizy Sam, Fahrin Ahmad, Nazim Othman dan
Karl Shafek serta diketuai oleh Datuk Rosyam Nor.
Menariknya tentang ikatan cinta yang terjalin sebelum mendirikan
rumah tangga, pelakon itu membuat kejutan apabila melamar Mawar di
panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara sambil disaksikan oleh pihak
media pada 28 Oktober lalu.
Biarpun tindakannya itu dikritik segelintir pihak sehingga menuduhnya
terlalu terikut-ikut dengan cara Barat, ternyata pelakon berkenaan
mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian.
"Tujuan saya berbuat demikian adalah semata-mata mahu mencari
kelainan kerana ia merupakan detik bersejarah dalam hidup saya. Maka,
saya berharap agar tiada pihak yang salah sangka dan menganggap isu yang
timbul ini sebagai satu cabaran menjelang detik perkahwinan kami,"
luahnya.
Meskipun hasrat untuk berumah tangga dengan gadis tercinta telah
tercapai tetapi jauh di sudut hati Fizo terpendam sebuah kepiluan kerana
ayah tercinta tidak dapat menyaksikan detik bersejarah tersebut setelah
kembali ke rahmatullah.
"Sebenarnya ia merupakan antara impian arwah ayah yang mahu melihat
saya berkahwin dan kami memang cukup rapat sewaktu arwah masih hidup.
Jadi, timbul perasaan sedih apabila secara tiba-tiba saya terkenangkan
dirinya.
"Selain itu, saya turut mengalirkan air mata sebaik sahaja akad nikah
setelah melihat kepuasan di wajah ibu yang memang inginkan saya
berkahwin. Boleh dikatakan, perasaan saya bercampur-baur," jelasnya yang
kehilangan ayah dua tahun lalu.
Mengenai perancangan untuk mendapatkan cahaya mata pula, Fizo
memberitahu, dia tidak kisah sama ada cepat atau lambat kerana semuanya
terserah kepada rezeki yang Allah berikan.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan mengakui yang dia seboleh-bolehnya
ingin menghabiskan masa dengan lebih lama bersama isteri terlebih dahulu
sebelum menimang cahaya mata.
"Kalau diikutkan saya dan isteri memang suka dengan kanak-kanak dan pastinya memiliki cahaya mata menjadi keutamaan.
"Jadi, kami akan lebih bersedia sekiranya ditakdirkan mendapat anak lebih cepat," ujarnya.
Berkenaan dengan lokasi bulan madu pula, Fizo dan Mawar bakal
meluangkan masa selama tiga minggu di beberapa buah negara Eropah
seperti England, Perancis, Itali dan Sepanyol bermula awal Disember
nanti.
Biarpun sudah bergelar seorang suami, pelakon yang dikenali menerusi
filem Kongsi itu menjelaskan, kariernya sebagai seorang pelakon,
pengacara dan ahli perniagaan akan tetap berjalan seperti biasa.
Ujar Fizo, statusnya sekarang ini sepatutnya tidak menjadi penghalang
kerana dia kini mempunyai tugas yang lebih besar untuk dipikul.
Disebabkan itu dia harus berusaha dengan lebih keras lagi.
"Sebenarnya, sejak awal tahun lagi saya sudah berhenti berlakon drama
buat seketika dan hanya terbabit dalam dua buah filem iaitu Romeo Kota
dan Cinderella kerana mahu memberi fokus kepada perniagaan.
"Lagipun, saya ada meletakkan sasaran untuk berkahwin apabila perniagaan saya Hot Burger saya berkembang.
"Kini, saya sudah memiliki sebanyak 70 gerai burger di beberapa buah
negeri," jelasnya yang akan terus mengacarakan rancangan Nasi Lemak Kopi
O terbitan TV9.
Selain mengurangkan aktiviti lakonannya kerana lebih menumpukan pada
bidang perniagaan, ia tidak bermakna Fizo akan meninggalkan kerjaya
dalam bidang seni memandangkan dia bakal bergiat aktif dalam penerbitan
drama bersiri.
Tempoh perkenalan yang cukup singkat iaitu selama enam bulan dan
kemudiannya bertunang dan mendirikan rumah tangga, Mawar, 24, sangat
yakin Fizo merupakan lelaki yang terbaik buat dirinya untuk menjadi
teman hidup.
Menyedari dirinya berkahwin dengan seorang artis yang cukup dikenali
ramai, anak sulung kepada pemilik jenama tudung terkenal Fareeda itu
sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran yang timbul.
"Saya mengakui yang tempoh perkenalan kami memang cukup singkat,
namun sepanjang mengenali dirinya saya dapati suami merupakan seorang
yang bertanggungjawab, romantik, penyayang dan mengutamakan keluarga.
"Biasanya kalau timbul sebarang cerita mengenai dirinya, saya tidak
gemar mendengar kata-kata orang luar dan akan terus bertanya kepadanya.
"Kemudian dia akan berterus terang serta menceritakan segala-galanya dan ini membuatkan hubungan kami bertambah erat," jelasnya.
Meskipun sedar tentang jadual padat yang harus dilalui suami tercinta
kerana perlu memberi fokus kepada bidang kerjaya yang diceburi
sekarang, Mawar menyatakan, dia tidak kisah mengenainya, asalkan Fizo
bijak mengatur jadual serta perlu mengutamakan rumah tangga.
Kosmo
No comments:
Post a Comment