MADAH Berhelah yang dimulakan seawal tahun 1991 memberi laluan untuk
figura dengan kening lentik, Ziana Zain untuk berada di puncak
tersendiri. Sehingga ke hari ini, sudah lebih dua dekad pesonanya
bercahaya menghiasi galaksi seni tempatan.
Tujuh buah album studio dengan seleksi lagu-lagu hit seperti
Anggapanmu, Putus Terpaksa, Riwayat Cinta, Kemelut Di Muara Kasih,
Sangkar Cinta, Puncak Kasih, Berpisah Jua, Menadah Gerimis, Setiaku Di
Sini dan Kalau Mencari Teman menjadi antara koleksi zaman emas Ziana.
Itu tidak termasuk album runut bunyi untuk filem Sembilu, Maria Mariana
dan Merah, album kompilasi serta single yang dihasilkan.
Nyanyian melayakkan Ziana untuk duduk di 'kerusi karisma.' Dia antara
ikon pop, wanita, isteri dan ibu yang kekal popular merentasi zaman.
"Paling penting ikhlas dalam kerja. Selalu berpijak di bumi nyata.
Tak salah merendah diri sebab manfaatnya sangat besar. Sebelum ini, ada
orang kata, saya agak kurang jaga standard, tapi bagi saya standard
seseorang itu ada di mana-mana dan harus kena pada tempatnya tak kiralah
kita di rumah, dengan keluarga, kawan-kawan artis, media dan peminat.
"Saya cuma yakin dengan rezeki Allah. Kalau rezeki itu milik kita, ia
tetap milik kita. Saya terdidik dalam keluarga yang begitu," katanya
memberi definisi kepada pembawaan diri sepanjang lebih 20 tahun bergelar
selebriti popular.
Memasuki usia 44 tahun, Ziana mahu mengalihkan perhatiannya ke sudut
berbeza. Puas menabur vokal dan aksi dramatik untuk nilai seni dalam
diri, dia mahu bergelar usahawan pula.
Hari ini merupakan detik bermakna buat Ziana Zain apabila menyaksikan
'anak' baharunya menembusi pasaran. Bukan anak hasil hubungannya
bersama Armin Zaharin sejak 2 Mei 1998, tapi anak ini dihasilkan Ziana
secara segera sejak dimulakan perbincangan lima bulan lalu iaitu produk
makanan kesihatan dengan jenama b.lift.
No comments:
Post a Comment