DI sebalik kemunculan ramai pelakon baharu yang mewarnai industri
hiburan tempatan, ternyata penampilan dua orang pelakon iaitu Sharnaaz
Ahmad dan Nad Zainal tidak boleh dipandang sebelah mata.
Sharnaaz misalnya, merupakan antara pendatang baharu yang semakin
menjadi sebutan ramai, manakala Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah
Nadia Zainal Abidin pula dilihat mampu memberi saingan sihat kepada
pelakon sedia ada.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Bukan Bidadari di Subang
Jaya, Selangor baru-baru ini, mereka berdua mengakui sangat gembira
apabila ditawarkan untuk membintangi drama terbitan Filmscape Production
itu.
Bagi Sharnaaz, dia mengakui sangat senang dengan hasil kerja pengarah
Faisal Ishak dan yakin drama berkenaan mampu menarik minat penonton
berdasarkan kepada kisah yang dipaparkan.
"Sepanjang penggambaran, semuanya berjalan dengan lancar dan saya
gembira kerana dapat bergandingan dengan beberapa orang pelakon baharu
serta yang sudah berpengalaman.
"Mengenai lakonan yang ditampilkan oleh gandingan saya iaitu Nad
Zainal, saya akui dia memang pelakon wanita yang sangat bagus. Saya
percaya dia mampu pergi jauh sekiranya lebih banyak peluang diberikan
kepadanya," puji Sharnaaz.
Drama bersiri 13 episod itu mengisahkan tentang seorang gadis bernama
Inas (Nad Zainal) yang mempunyai sikap manja dan sombong mendapati
kehidupannya mula berubah setelah kematian bapanya.
Kemudian, ketika berada di Kuala Lumpur, Inas telah bertemu dengan
Arif (Sharnaaz), anak seorang usahawan yang kacak dan mereka berdua
telah mendirikan rumah tangga tanpa mendapat restu ibu Arif.
Disiarkan setiap hari Selasa pada pukul 9 malam di TV3, Bukan
Bidadari turut menampilkan beberapa pelakon lain seperti Sara Ali, Azhar
Sulaiman, Fiza Halim, Muniff Isa, Azlee Khairi, Liza Zain, Zuhairi
Ibrahim dan Wan Raja.
Bercerita lebih lanjut mengenai watak yang dibawakannya, Sharnaaz
memberitahu wataknya sebagai Arif bukanlah antagonis, tetapi ia mampu
mengundang kebencian penonton.
"Saya tidak mahu mendedahkan terlampau banyak mengenai perwatakan
saya, dan biarlah penonton yang menyaksikannya. Namun, secara
keseluruhan, saya berpuas hati dengan lakonan saya dalam drama ini.
"Sekiranya ada penonton yang akan membenci saya selepas menontonnya,
ia bermakna saya telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon dengan
baik.
"Lagipun bukan mudah seseorang pelakon itu boleh memberi impak terhadap karakter yang dibawakan," ujarnya.
Sementara itu, Nad Zainal pula menyatakan dia terpaksa berhadapan
dengan beberapa cabaran bagi menghidupkan lagi wataknya sebagai Inas
yang memerlukannya tampil dengan permainan emosi.
Menurut pemegang Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan (Aswara) itu, mendapat tawaran memegang peranan watak utama
dalam sesebuah drama merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan.
"Memang
saya gembira kerana mendapat kepercayaan pengarah, namun saya akui
memang sukar untuk mendalami watak Inas. Bagaimanapun, dengan tunjuk
ajar pengarah serta kerjasama yang baik daripada para pelakon juga
banyak membantu saya.
"Malah, saya sangat senang bekerjasama dan bergandingan dengan
pelakon seperti Sharnaaz. Walaupun dia tidak pernah mendapat sebarang
pendidikan formal dalam bidang lakonan, bagi saya dia memang seorang
pelakon yang hebat," ujar pelakon berusia 22 tahun itu.
Arah klip video
Hubungan cinta yang terjalin antara Sharnaaz dan penyanyi Shila Amzah
sudah pun diketahui umum. Menariknya, mereka juga pernah bergandingan
bersama dalam sebuah telefilem berjudul Patah Seribu.
Ketika ditanya adakah dia tidak kisah apabila digandingkan dengan
kekasihnya itu dalam mana-mana drama atau telefilem, pelakon kelahiran
Pulau Pinang itu menyatakan dia tiada masalah seandainya mendapat
tawaran yang sesuai.
"Sebagai pelakon saya perlu bersikap
profesional dan tidak kisah untuk bergandingan dengan sesiapa pun
termasuk kekasih sendiri. Buat masa sekarang belum ada lagi sebarang
tawaran yang menggandingkan saya dan Shila.
"Saya juga sangat bersyukur kerana tawaran berlakon memang tidak
putus-putus, cuma kini saya lebih selektif ketika memilih sebarang
tawaran yang diperoleh dan kalau boleh saya inginkan watak yang
berbeza," ujarnya.
Mengenai projek terbaharunya, jelas Sharnaaz, berkemungkinan besar
dia akan mengarahkan sebuah klip video untuk salah sebuah lagu yang
dinyanyikan oleh Shila.
"Sebenarnya saya memang mempunyai impian untuk bergelar seorang
pengarah. Jadi, buat permulaan ini biarlah saya menghasilkan klip video
terlebih dahulu dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat ini."
jelasnya.
Enggan bersaing
Setelah
tampil dalam drama bersiri Memberku Hawa beberapa bulan yang lalu,
ternyata nama Nad Zainal semakin menjadi sebutan dan dilihat mampu
meletakkan namanya sebaris dengan pelakon popular lain.
Pelakon itu memberitahu dia sebenarnya sudah lima tahun berkecimpung
dalam bidang lakonan, tetapi hanya mula serius berlakon pada tahun lalu.
"Selepas menamatkan pelajaran di Aswara pada tahun 2010, saya
mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lakonan. Matlamat saya
menjadi pelakon bukanlah mahu bersaing, sebaliknya saya ingin
mempraktikkan apa yang telah saya belajar.
"Tidak dinafikan nama saya masih agak kurang dikenali ramai, tetapi
saya sangat gembira dan bersyukur apabila semakin mendapat kepercayaan
pengarah. Selain aktif berlakon drama, saya juga turut menerima tawaran
berlakon filem," ujarnya yang pernah tampil di layar perak menerusi
filem Jidin Sengal.
Menurutnya, pada penghujung bulan Julai ini, dia akan memulakan
penggambaran filem berjudul Kami Histeria terbitan Red Communications
Sdn. Bhd. bersama beberapa pelakon lain iaitu Sara Ali dan Diana
Danielle.
Sebagai seorang pelajar jurusan teater, Nad Zainal memberitahu
sebelum ini dia juga aktif berlakon teater dan kerap membuat persembahan
bersama rakan-rakan di Stor Teater DBP, Dewan Bahasa Dan Pustaka.
"Sejujurnya saya memang rindu untuk berlakon teater bersama
rakan-rakan lama saya, tetapi kesibukan sebagai pelakon di kaca
televisyen membuatkan saya terpaksa melupakan teater buat seketika
kerana mahu fokus dengan kerjaya sekarang," ujarnya mengakhiri
perbualan.
No comments:
Post a Comment