KIEV, Ukraine - Cesc Fabregas enggan mendedahkan formasi yang bakal
digunakan Sepanyol pada aksi final Euro 2012 menentang Itali di Stadium
Olimpik awal pagi esok.
Bagaimanapun, pemain tengah skuad La Roja itu berkata, Andres
Iniesta mampu menyuntik keyakinan rakan-rakan sepasukan untuk memenangi
gelaran juara, sekali gus melakar sejarah baharu.
Pada kempen Euro 2008, Fabregas sekadar menjadi pembantu kepada penyerang utama, David Villa.
Dia diletakkan di belakang Fernando Torres dalam misi untuk membantu
penyerang Chelsea itu menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika
menewaskan Jerman 1-0 pada final.
Ketiadaan David Villa pada kempen di Poland dan Ukraine kali ini
telah membuka peluang kepada Fabregas dan Torres untuk disenaraikan
dalam kesebelasan utama skuad kendalian Vicente del Bosque.
Perebutan tempat semakin sengit selepas Alvaro Negredo telah
disenaraikan di posisi penyerang tengah ketika aksi menentang Portugal
di separuh akhir.
Bagaimanapun, kehebatan Fabregas ketika menyempurnakan sepakan
terakhir penalti bagi menyingkirkan Itali pada saingan suku akhir empat
tahun lalu memberikan kelebihan kepadanya untuk menjadi pilihan utama
berbanding Torres, Negredo dan Fernando Llorente.
Bekas pemain Arsenal itu yakin del Bosque mempunyai strategi yang
tersendiri untuk memilih pemain yang sesuai pada aksi menentang Itali
nanti.
"Iniesta sentiasa menunjukkan kemajuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.
"Iniesta menghadapi musim yang sukar bersama kelab kerana sering dihimpit masalah kecederaan.
"Namun, dia telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam kariernya
pada Euro kali ini, sekali gus memberi kesan yang besar kepada cara
permainan kami.
"Dia sangat kreatif ketika membawa bola dan pasti akan melakukan hantaran-hantaran yang menarik pada final nanti.
"Jadi dia merupakan sumber inspirasi kami. Ketika sedang menghadapi perlawanan, Iniesta menjadi rujukan kami," kata Fabregas.
Untuk rekod, Fabregas menjadi pemain yang membantu Iniesta
menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Belanda pada
final Piala Dunia 2010. - Agensi
No comments:
Post a Comment