Sepanjang awal Disember menyaksikan pilihan raya dilangsungkan di Republik Demokratik Congo, Guyana dan Gambia di samping Maghribi dan Mesir. Pilihan raya juga diadakan di Russia, Croatia dan Slovenia minggu lalu. Ini diikuti dengan pilihan raya di Ivory Coast dengan harapan ia dapat mengakhiri pertelingkahan politik di negara itu yang tercetus baru-baru ini.
Namun, pilihan raya di negara Arab yang menarik tumpuan dunia. Keadaan itu begitu mudah difahami kerana berlakunya ‘kebangkitan Arab’ yang menyaksikan beberapa pemimpin kuku besi yang sudah sekian lama memerintah, digulingkan.
Pada Oktober, rakyat Oman dan Tunisia mengundi. Beberapa hari kemudian, penduduk Maghribi pula berbuat demikian. Dua minggu lalu, rakyat Mesir memulakan beberapa siri pilihan raya untuk memilih wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan akan menamatkan proses pilihan raya negara itu dengan memilih presiden baru pada akhir Jun tahun depan.
Yaman pula akan mengadakan pilihan raya Februari depan, diikuti dengan Libya pada Jun.
Baik di peringkat wilayah mahupun antarabangsa, pilihan raya itu dilihat sebagai era baru. Ia dianggap sebagai peninggalan kepada zaman penindasan. Sebenarnya, pilihan raya itu adalah ‘jantung’ dalam teori politik Islam. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, khalifah pertama, Saidina Abu Bakar (ra) dipilih masyarakat Islam. Begitu juga tiga khalifah berikutnya. Sesungguhnya, 2011 menjadi tahun revolusi kerana orang yang ditindas bangkit dan menggulingkan rejim yang menindas mereka. Ia juga menjadi tahun revolusi kerana sebahagian besar masyarakat Arab sudah menguasai semula warisan demokrasi dalam politik Islam. Terdapat tiga ciri penting serupa yang dapat dilihat dengan jelas dalam pilihan raya di negara utara Afrika baru-baru ini.
Pertama, semuanya diadakan dengan bebas dan adil. Kedua, ia dilaksanakan dalam suasana yang baik dan matang – seolah-olah negara berkenaan sudah sekian lama menikmati pilihan raya bebas. Yang ketiga, parti yang menang di Tunisia dan Maghribi, dan hampir pasti di Mesir, terdiri daripada parti yang sedikit sebanyak mempunyai kaitan sejarah dengan Ikhwanul Muslimin. Secara keseluruhannya, pengundi jelas mahukan kerajaan masing-masing memiliki inspirasi politik yang berasaskan Islam.
Lantas, tidak boleh disalahkan jika ada pihak yang yakin Libya juga akan menyaksikan kemunculan sebuah parti Islam untuk membentuk sebuah kerajaan baru apabila pilihan raya diadakan tahun depan. Di negara terbabit, yang pernah diperintah oleh kerajaan kuku besi atau yang sudah menyaksikan kerajaan kuku besi itu ‘dicampakkan ke dalam tong sampah sejarah,’ pilihan raya membuka peluang untuk memilih sebuah kerajaan baru yang sah.
Arab Saudi belum wujud sebagai sebuah negara yang bersatu dalam tempoh itu. Seluruh dunia Arab kini maju ke depan. Pilihan raya Parlimen dapat dilihat diadakan di UAE dan Oman. Di Arab Saudi, pilihan raya sudah menjadi perkara biasa dalam pelbagai sektor masyarakat. Kini terdapat pilihan raya badan pelajar universiti dan di dewan perniagaan. September lalu, pilihan raya untuk merebut separuh daripada kerusi majlis tempatan diadakan. Bagi majlis syura pula, langkah untuk mengadakan pilihan raya hanya menanti masa, bukan lagi persoalan sama ada ia akan diadakan atau tidak. Mereka yang meluahkan rasa tidak puas hati mengenai kelembapan perubahan ke arah demokrasi bersikap tidak adil. Ia berlaku di seluruh dunia Arab, malah perubahan yang berlaku adalah lebih pantas daripada yang dijangka. - AN
No comments:
Post a Comment