Jom Buat Duit

Wednesday 8 August 2012

Sibuk ada syarikat, tangguh buka restoran - Fizo Omar

PELAKON yang bakal muncul dengan filem baharu, Halim Munan pada 13 September ini, nampaknya semakin sibuk dengan pelbagai perniagaan termasuk menjual serunding di bulan Ramadan.

Serunding Fizo Omar, khabarnya sudah terjual lebih 1,000 kilogram pada minggu pertama bulan Ramadan dan dia sedang membuat persiapan untuk tempahan yang semakin banyak.

Namun, perniagaan serunding hanyalah sampingan buat Fizo kerana dia kini terlalu sibuk setelah membuka perniagaan dalam bidang pengiklanan. Dalam masa yang sama, kerjaya seninya semakin rancak. Selain berlakon, Fizo juga menerima tawaran dalam bidang pengacaraan.

Jelasnya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pelakon filem tersebut di Restoran Andalus, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, impiannya adalah untuk menjadi ahli perniagaan berjaya sementara berlakon akan jatuh ke tangga kedua.

“Sasaran saya untuk berjaya dalam perniagaan apabila berusia 30 tahun dan berharap dalam tempoh 10 tahun akan datang, apa yang dihajati akan berjaya sebagai ahli perniagaan,” jelasnya yang kini berusia 27 tahun.

Tambahnya, dia sedang mencuba sebanyak mungkin peluang perniagaan yang ada bagi menguji kemampuan dari segi kebolehan dan mental.

“Sekarang bukan masa untuk saya main-main, saya akan tumpu sepenuh perhatian kepada perniagaan, kadang-kadang habis penggambaran pukul 1 pagi pun, saya akan datang mesyuarat untuk syarikat,” ujar pelakon berdarah kacukan Thailand ini.

Disebabkan kesibukannya dengan syarikat baharunya itu, jejaka kelahiran Kelantan ini terpaksa menangguhkan pembukaan restoran yang dirancang sebelum ini.

“Walaupun lambat, saya akan buka juga restoran seperti yang saya impikan. Namun buat masa sekarang, saya hendak memberi tumpuan kepada syarikat pengiklanan yang baru beroperasi. Jika keadaan sudah mengizinkan, barulah saya akan buka restoran impian saya,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Walaupun telah terpalit dengan kisah hitam apabila terbeban dengan masalah hutang RM2 juta tahun lalu, Fizo beranggapan itu adalah asam garam kehidupan.
Tidak menafikan perkara itu amat memberi tekanan dan menyukarkan dirinya untuk membuka syarikat lain, namun dia menerima hal itu dengan positif.

“Sampai sekarang perkara itu masih belum selesai dan ia memberi tekanan kepada saya,” jelasnya yang memegang watak seorang halimunan bernama Halim bin Munan dalam filem baharunya itu.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbaharunya pula, Fizo dijangka muncul dengan rancangan masakan yang dikendalikan sendiri olehnya.

Katanya ringkas: “Ia masih dalam perbincangan, tetapi mengikut persetujuan kami, saya akan memasak dan menu itu diambil daripada buku resipi yang saya pernah hasilkan sebelum ini.”
Menyentuh mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri pula, Fizo memberitahu, tahun ini adalah kali pertama dia akan beraya tanpa keluarga pada pagi hari raya pertama.

“Pada pagi 1 Syawal, saya kena kendalikan program Nasi Lemak Kopi O di TV9, jadi selepas tengah hari baru bergegas balik ke Kelantan,” katanya yang akan beraya di kampungnya selama empat hari.
Tahun ini juga merupakan tahun kedua Fizo beraya tanpa bapanya, Wan Omar Wan Ishak yang meninggal akibat akibat ketumbuhan pada usus pada Julai tahun lepas.

“Seperti biasa, perkara wajib dilakukan menziarahi pusara arwah bersama keluarga setibanya dari Kuala Lumpur. Sedih sebab kami memang rapat dan rindu untuk bersalam dengan arwah,” ujarnya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters