Jom Buat Duit

Wednesday 8 August 2012

China, AS terus bersaing rapat


MILIK KAMI... Phelps (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya mengungguli acara 4x100meter rampaian lelaki Sukan Olimpik 2012 di Pusat Akuatik, London minggu lalu. 
 

LONDON - Selepas dua minggu tirai temasya Olimpik 2012 membuka tirainya, kontinjen China dan Amerika Syarikat (AS) dilihat terus bersaing rapat dalam senarai pungutan pingat.
Sehingga pukul 8 malam tadi (waktu Malaysia), China yang tampil selaku juara bertahan masih unggul dengan 31 emas, 19 perak dan 14 gangsa sekali gus mengutip 64 pingat keseluruhan setakat hari ke-13 semalam.

AS pula mengikuti rapat di tangga kedua dengan 29 emas, 15 perak dan 19 gangsa sementara tuan rumah, Britain (18 emas, 11 perak, 11 gangsa) di tempat ketiga.

Ketika saingan hanya berbaki lima hari sahaja lagi, China dijangka terus mendapat tentangan hebat daripada AS yang berjaya meraih emas terkini menerusi acara lompat bergalah wanita, Jennifer Suhr yang berjaya membuat lompatan setinggi 4.75 meter di Stadium Olimpik awal pagi semalam.
Kontinjen AS hanya sekali berjaya memintas kedudukan China iaitu pada Sabtu lalu sebelum mereka kembali dipintas China.

Badminton jelas menjadi 'lubuk emas' buat China yang berjaya menyapu bersih kesemua lima pingat emas yang dipertaruhkan pada temasya Olimpik kali ini.

Selain itu, renang, angkat berat dan terjun juga merupakan penyumbang emas terbesar apabila masing-masing menyumbang lima emas buat kontinjen China kali ini.
AS pula bagaikan tiada tandingan dalam acara renang apabila meraih sebanyak 16 pingat emas di Pusat Olimpik Akuatik, London.

Perenang sensasi, Michael Phelps merupakan penyumbang pingat terbanyak buat AS apabila menggondol empat emas dan dua perak.
Perenang lelaki China, Sun Yang juga mendahului senarai atlet yang menyumbang emas buat negaranya kali ini apabila meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Untuk rekod, China berjaya menyekat dominasi AS selaku juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah temasya Olimpik 2008 di Beijing selepas meraih 51 emas, 21 perak dan 28 gangsa sekali gus, mengatasi AS yang sekadar meraih 36 emas, 38 perak dan 36 gangsa di tempat kedua.
Sebelum itu, AS unggul selaku juara keseluruhan pada temasya 2004 di Athens apabila menggondol 36 emas, 39 perak dan 27 gangsa, hanya dibezakan empat emas dengan China yang meraih 32 emas, 17 perak dan 14 gangsa yang terpaksa akur di tempat kedua.

Skrip yang sama juga menimpa kontinjen China pada temasya 2000 di Sydney apabila terpaksa berpuas hati di tangga ketiga keseluruhan setelah sekadar meraih 28 emas, 16 perak dan 14 gangsa, jauh di belakang AS yang muncul juara dengan 37 emas, 24 perak dan 33 gangsa.
Tempat kedua keseluruhan ketika itu menjadi milik Rusia dengan 32 emas, 28 perak dan 29 gangsa.
Apa yang jelas, China dan AS dilihat sebagai kuasa sukan di pentas antarabangsa ketika ini dan dominasi kedua-dua negara itu dijangka berlarutan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters