Jom Buat Duit

Sunday, 5 August 2012

Habuan RM4 juta menanti Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya RM4 juta akan berada dalam genggaman Datuk Lee Chong Wei andai jaguh badminton negara itu meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Sebanyak RM2 juta berupa wang tunai dan RM2 juta lagi berbentuk jongkong emas bakal menjadi milik Chong Wei yang kini semakin hampir menjelmakan emas sulung Olimpik buat kontinjen Malaysia.

Selain RM1 juta yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada setiap pemenang pingat emas Olimpik, sebuah syarikat perabot, 3V Holdings Sdn. Bhd. turut menawarkan ganjaran yang sama.

Terbaharu, Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) tampil dengan ganjaran tersendiri apabila menawarkan jongkong emas bernilai RM2 juta hanya kepada pemain badminton negara yang berjaya membawa pulang pingat emas dari London.

Inisiatif yang dilakukan oleh 3V Holdings Sdn. Bhd., KLRC serta pihak kementerian itu harus diberi pujian kerana ia secara tidak langsung membakar semangat barisan atlet negara meraih emas Olimpik.

Diminta mengulas mengenai ganjaran itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, ia bakal melonjakkan lagi semangat atlet Malaysia dalam misi memburu emas Olimpik.

"Ganjaran besar yang menanti atlet-atlet Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London sudah pasti menaikkan semangat mereka untuk memburu pingat emas.

"Jadi saya juga berharap mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia membawa pulang pingat emas sulung Olimpik," kata Kok Chi.
Bagaimanapun, Chong Wei, 30, harus terlebih dahulu menumbangkan musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada aksi final acara perseorangan lelaki Olimpik 2012 di Arena Wembley malam ini jika berhajat meraih ganjaran lumayan itu

Atas kertas, tugas Chong Wei tidak semudah yang dijangka kerana Lin Dan turut menjadi watak 'pemusnah' di sebalik kegagalan pemain kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu meraih emas pada Olimpik 2008 di Beijing, China.

Biarpun sekadar membawa pulang pingat perak empat tahun lalu, Chong Wei tetap dianggap sebagai wira negara dan prestasinya di Beijing turut mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi menghargai keringat Chong Wei meraih pingat perak, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh kerajaan Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk.
Hasil kejayaannya membawa pulang pingat perak itu juga, Chong Wei menerima wang tunai sebanyak RM300,000 menerusi insentif Shakam, selain diberikan pencen bulanan RM3,000 bermula 1 September 2008.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)