Jom Buat Duit

Tuesday, 26 June 2012

Saiful Apek bebas dadah


SAIFUL APEK bersyukur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Pelawak dan pelakon komedi terkenal, Saiful Apek gembira dan bersyukur selepas dirinya dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini semalam tanpa dipanggil membela diri berhubung tuduhan mengambil dadah ganja di sebuah kondominium, dua tahun lalu.
“Saya bersyukur dan percaya pada undang-undang, doa peminat membuktikan saya tidak bersalah, dan tidak lupa terima kasih kepada peguam,” kata Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2003 itu dengan nada terharu kepada pemberita sejurus prosiding berakhir.
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid turut membuat keputusan serupa terhadap tiga lagi rakan tertuduh iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, yang didakwa atas tuduhan yang sama dengan Saiful Apek, 43.
Beliau dalam penghakiman berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.
Menurut Ahmad Solihin, berdasarkan keterangan saksi dan fakta kes, wujud lima elemen yang gagal mensabitkan kesemua tertuduh bagi tuduhan tersebut.
Ahmad Solihin memberitahu, antaranya terdapat percanggahan oleh saksi berhubung tarikh pengambilan sampel air kencing malah pegawai penyiasat kes juga menyimpan botol sampel tersebut terlalu lama sebelum ujian pengesanan dadah di makmal.

Monday, 25 June 2012

14 mayat dicincang dalam trak

MEXICO: Empat belas mayat yang dicincang serta surat ugutan yang disasarkan kepada kartel dadah ditemui di dalam trak di tempat letak kereta pasar raya di utara bandar Mexico, menurut laporan media, semalam.
Pejabat Pendakwa Raya Mexico tidak dapat mengesahkan laporan mengenai pertemuan ngeri di Mante itu dan pegawai polis di bandar penuh jenayah itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Media Mexico berkata, bahagian tubuh yang dipotong itu adalah dari 10 lelaki dan empat wanita dan mesej itu ditujukan khas kepada kartel dadah Teluk.

Dalam kejadian berasingan pada 7 Jun lalu, 14 tubuh mayat yang dicincang ditemui di dalam trak di Mante, yang terletak di selatan Tamaulipas yang bersempadan dengan Texas dan merupakan perang dadah paling buruk di Mexico.


Lebih 55,000 orang dibunuh dalam konflik itu sejak Presiden Felipe Calderon menghantar tenteranya memerangi kumpulan dadah tidak lama selepas dilantik sebagai presiden pada Disember 2006.

Parti konservatif, Parti Tindakan Kebangsaan (PAN) nampaknya akan kehilangan kuasa dalam pilihan raya presiden pada 1 Julai nanti, disebabkan kecewa dengan keganasan disebabkan dadah

Minggu ini, Mexico dimalukan apabila pihak berkuasa mengaku mereka telah tersilap selepas mendakwa berjaya menangkap anak kepada lelaki paling dikehendaki, kartel dadah Joaquin “Shorty” Guzman. - Reuters

Ibu kurung anak dalam almari

KANSAS: Seorang ibu berusia 29 tahun ditahan selepas polis Bandar Kansas, menemui anak perempuannya yang berusia 10 tahun dan sangat kurus, dikurung di dalam almari.
Wanita dan teman lelakinya ditahan kelmarin, menurut laporan akhbar The Kansas City Star.

Kanak-kanak perempuan itu ditemui sendirian di dalam almari yang berbau busuk dan berat badannya satu pertiga daripada budak perempuan normal berusia 10 tahun, kata polis.

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk penilaian kesihatan, kata akhbar itu. - Agensi

Jari budak putus dibaham pirana dibela keluarga

ILLINOIS: Apabila anak perempuan mereka yang berusia 18 bulan menangis kerana hujung jarinya putus, kelihatan seperti digigit, kedua-dua ibu bapanya mengesyaki ia angkara anjing peliharaan mereka.
Tetapi, selepas dilihat dengan teliti, polis mendedahkan ia mungkin disebabkan haiwan peliharaan yang lebih kecil dan lebih senyap, ikan pirana yang dibela oleh mereka.

Polis di Maine Township, Illinois hanya memerhatikan ikan bergigi tajam yang berenang di akuarium berdekatan dengan tempat kanak-kanak itu bermain, ketika doktor mengesahkan gigitan itu bukan disebabkan oleh anjing.

Jurucakap Pejabat Syerif Cook County, Frank Bilecki berkata, “Kami bercakap dengan ibu kanak-kanak itu dan bertanya apa lagi yang menggigit?”


“Dengan cepat, ibunya berkata, dua ekor ikan itu memang terletak dekat dengan tempat kanak-kanak itu bermain.... Kami tahu pirana boleh menggigit,” katanya.

Selepas memberitahu bapa kanak-kanak itu, yang turut berada di rumah pada waktu itu, lelaki itu terus ke akuarium dan memasukkan tangannya ke dalam air lalu mengambil seekor ikan itu dari akuarium itu.

“Dia langsung tidak takut. Itu memang naluri seorang bapa,” katanya.

“Selepas mengambil ikan itu, bapa yang panik itu terus memotong ikan itu dan hujung jari itu masih berada di dalam perutnya. Dia segera meletakkannya ke dalam ais dan membawanya ke hospital dengan segera,” katanya.

Jurucakap hospital itdak dapat mengesahkan sama ada hujung jari itu boleh disambung.

“Ibu bapa kanak-kanak itu benar-benar sedih dengan kejadian itu,” katanya dengan menambah, kanak-kanak itu adalah satu-satunya anak pasangan itu.

Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga menyiasat rumah kanak-kanak itu dan tidak menemui bukti ibu bapanya cuba mencederakan anak mereka.

Tiada tuduhan difailkan ke atas mereka.

Pengarah Jabatan Perikanan Akuarium Shedd, George Parsons berkata, ikan pirana boleh dibeli secara sah di Illinois.

Katanya, walaupun mereka pernah mendapat satu atau dua panggilan setahun bertanyakan bagaimana merawat gigitan pirana, tetapi berita mengenai seseorang kehilangan jari kerana digigit ikan itu, amat jarang didengar. - Daily Mail

Bintang K-pop adakan konsert terbesar di Hong Kong

HONG KONG - Beribu-ribu peminat tidak melepaskan peluang menonton konsert besar-besaran K-pop yang diadakan di sini kelmarin.
Konsert tersebut merupakan bukti terbaharu lonjakan populariti muzik pop dari Korea Selatan itu.
Dikenali sebagai Bank Muzik, acara tersebut membariskan empat penyanyi popular Korea Selatan dan merupakan konsert K-pop terbesar pernah berlangsung di pulau berkenaan.
Kumpulan pop lelaki, TVXQ dan penyanyi comel, IU merupakan antara artis yang menyanyi dan menari di hadapan lautan peminat pada konsert itu.
"Saya berasa amat gembira kerana Hong Kong mampu menganjurkan konsert K-pop secara besar-besaran seperti ini.
"Saya juga sangat gembira kerana budaya Korea memiliki pengaruh di seluruh dunia," kata penyanyi kumpulan wanita popular, Wonder Girls yang turut beraksi pada konsert berkenaan.
Konsert gemilang kelmarin menyusul selepas beberapa kumpulan pop Korea Selatan seperti Girls' Generation dan 2PM mengadakan persembahan di sini pada tahun ini.
Tiket untuk siri konsert Bank Muzik habis dijual di Tokyo, tahun lalu dan amat popular di Paris pada awal tahun ini.
Selepas Hong Kong, konsert berkenaan akan diadakan di Brazil dan Amerika Syarikat (AS) lewat tahun ini.
Drama televisyen filem Korea Selatan bersama muzik K-pop semakin popular di seluruh Asia menerusi fenomena yang disebut Hallyu atau gelombang budaya Korea. - AFP

Misteri hantu pocong terjawab


SEBAHAGIAN barangan milik pengunjung yang dicuri ditinggalkan di dalam hutan Hutan Lipur Kanching, Rawang.


RAWANG – Pengunjung terutama pelancong asing di kawasan rekreasi air terjun Hutan Lipur Kanching di sini didakwa sering diganggu lembaga misteri.
Kelibat lembaga dikatakan berpakaian putih seolah-olah hantu pocong itu menakutkan pengunjung dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, menurut penduduk, perbuatan itu merupakan tindakan segelintir individu dipercayai penagih dadah yang mencuri barangan pengunjung.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, berkata, beberapa kes dilaporkan berlaku sebelum ini dan kejadian terakhir berlaku dua minggu lepas.
“Individu ini berpakaian seperti hantu untuk menakutkan pengunjung yang berkelah dan apabila pengunjung melarikan diri, barangan mereka akan dicuri. Ada kes pengunjung juga diragut,” jelasnya.
Perkara yang sama pernah berlaku pada empat tahun lalu tetapi selepas individu itu ditangkap oleh pihak berkuasa, ia kini timbul semula.
“Kami penduduk menggelar lembaga itu hantu pocong kerana dia berpakaian dengan menyelubung kepala sebelum meragut dan menyamun mangsa,” jelasnya.
Katanya, lembaga itu disyaki mereka yang mahir selok-belok hutan kerana menjadikan jalan hutan sebagai laluan keluar masuk.

Jurutol cedera ditembak perompak terpaksa guna kaki palsu


MOHD. HAFFIZ berbual dengan Salbiah (duduk, kiri) yang melawatnya di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban semalam.


SEREMBAN - Seorang jurutol Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Mohd. Haffiz Zamri, 26, yang kehilangan kaki kanan dalam kejadian samun lalu terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan.
Mohd. Haffiz yang ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini semalam memberitahu, kaki palsu itu akan disumbangkan oleh majikannya tidak lama lagi.
Katanya, dia dipindahkan ke hospital itu kelmarin selepas menjalani rawatan dan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur selama beberapa hari.
"Majikan saya memaklumkan bahawa saya akan dibantu untuk mendapatkan kaki palsu selepas sembuh kelak dan beberapa bantuan lain.
"Buat masa ini saya tidak mahu mengingati apa yang berlaku dan reda dengan dugaan ini," katanya.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters