Jom Buat Duit

Monday, 11 August 2014

Wanita direjam di Syria kerana berzina

BEIRUT - Seorang wanita dihukum rejam sampai mati oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) di sebuah taman perbandaran di Raqqa, Syria pada 18 Julai lalu.

Sebelum itu, wanita berkenaan, Faddah Ahmad dibawa ke taman berkenaan oleh para pejuang militan IS dalam keadaan kepala ditutup dengan kain hitam dan kemudian diletakkan di dalam satu lubang kecil.
Selepas dibacakan kesalahannya yang didakwa telah melakukan zina, dia kemudian direjam dengan batu sehingga mati.

Menurut seorang saksi, tiada seorang pun daripada orang ramai yang berani tampil ke hadapan untuk membaling batu ke arahnya.

"Pejuang-pejuang militan yang kebanyakannya warga asing telah melakukannya sendiri apabila melontar Faddah dengan batu sehingga mayatnya diheret keluar.

"Semasa dia dibaling batu, dia langsung tidak menjerit atau bergerak," kata seorang aktivis pembangkang yang mengaku menyaksikan rejaman yang dilakukan berdekatan stadium bola sepak dan taman Bajaa di bandar Raqqa yang dikuasai oleh kumpulan IS.

Hukuman itu adalah yang kedua dalam tempoh 24 jam. Sehari sebelum itu, seorang wanita, Shamseh Abdullah, 26, mati direjam selepas hukuman yang sama dilakukan. - AP

Pesawat Iran Terhempas, 39 Terkorban

TEHERAN - Sebuah pesawat awam terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Mehrabad di sini menyebabkan 39 orang terkorban dan sembilan orang lagi cedera.

Menurut agensi berita IRNA dan Fars, pesawat berkenaan dalam perjalanan menuju ke bandar Tabas, timur negara ini..

Dalam kejadian pada pukul 9.18 pagi itu, pesawat tersebut jatuh terhempas di kawasan kejiranan Azadi di sini, berdekatan dengan kawasan kediaman untuk anggota tentera.

"Semua penumpang pesawat itu dilaporkan terbunuh," kata jurucakap pasukan bomba kepada IRNA.
Timbalan Menteri Pengangkutan Iran, Ahmad Majidi berkata, pesawat Antonov An-140 milik syarikat Sepahan Airlines itu turut membawa enam kanak-kanak dan lapan kru.
Pegawai-pegawai berkata, kapal terbang itu melanggar tembok dan pokok-pokok berdekatan dengan pasar.

"Tempat kejadian begitu dahsyat, bahagian belakang kapal terbang berada di tengah-tengah jalan," kata seorang saksi.

"Kita bernasib baik kerana kira-kira 500 meter dari tempat kejadian itu, terdapat pasar dan orang ramai sedang berada di situ," kata seorang lagi saksi kepada sebuah stesen televisyen.
Pesawat ringan itu direka untuk kegunaan domestik.
Masalah enjin mungkin menjadi punca nahas.

Seorang lagi saksi berkata, orang ramai melarikan diri semasa pesawat tersebut terhempas.
Menurutnya, dia terdengar dua hingga tiga letupan kuat semasa pesawat tersebut terhempas.
Pada Julai 2009, sebuah pesawat buatan Rusia terhempas sejurus selepas berlepas di Teheran menyebabkan 168 orang terkorban. - Agensi

Sunday, 10 August 2014

Rejim Zionis Bom 3 Masjid

BANDAR GAZA - Jet pejuang Israel melancarkan 30 serangan udara di Genting Gaza semalam dalam operasi ketenteraan yang meragut nyawa lima penduduk Palestin manakala pejuang Hamas membedil enam roket ke wilayah Israel.

Perkhidmatan kecemasan Palestin memberitahu, dua lelaki terbunuh dalam serangan ke atas sebuah motosikal di kem pelarian Al-Maghazi, Gaza.
"Mayat tiga yang lain ditarik keluar dari timbunan serpihan masjid Al-Qassam di kem Nuseirat, tengah Gaza," kata satu kenyataan perkhidmatan berkenaan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Palestin, jet-jet rejim Zionis memusnahkan tiga buah masjid setiap satu di Nuseirat, Zeitoun dan Jabaliya, tengah Gaza.
Seorang jurugambar agensi berita AFP, Jood Irhaem berkata, hanya satu menara masjid Al-Qassam yang masih tegak berdiri akibat dibedil rejim Zionis.

"Kami terdengar satu letupan kuat diikuti dua letupan lain. Kami segera memberi amaran kepada penduduk setempat supaya meninggalkan kawasan itu," katanya.

Dalam pada itu, tentera rejim Zionis menyatakan, pejuang Palestin membedil enam roket ke wilayah Israel semalam. Perkembangan itu menjadikan bilangan bedilan roket Palestin sejak gencatan senjata selama 72 jam di Gaza berakhir kelmarin meningkat kepada 44.
Seorang orang awam dan askar Israel cedera dalam serangan kelmarin tetapi tiada kecederaan dilaporkan pada hari berikutnya.

Pertempuran antara Israel dan Hamas sejak 8 Julai lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,900 penduduk Palestin dan 67 orang di pihak Israel dengan kebanyakan mereka anggota tentera.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu, sekurang-kurangnya 1,354 penduduk Palestin yang terkorban sejak 8 Julai lalu itu terdiri daripada orang awam termasuk 447 kanak-kanak.
Israel sebelum ini mendakwa pihaknya melancarkan serangan udara ke atas Gaza bagi menghalang bedilan roket Hamas ke dalam wilayahnya. - AFP

Sunday, 3 August 2014

Lebih Banyak Cebisan Daging Mangsa MH17 ditemui

SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam menyambut baik penemuan lebih banyak cebisan daging mangsa-mangsa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dipercayai jatuh ditembak di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, timur Ukraine.

Bagaimanapun, Abbott memberitahu, masa seminggu lagi diperlukan untuk menyelesaikan tugasan mengutip cebisan daging mangsa-mangsa pesawat MH17 itu.

Seramai 38 warga Australia termasuk kanak-kanak merupakan antara 298 orang dan kru pesawat MH17 yang terkorban pada 17 Julai lalu.

Pesawat MAS itu dipercayai ditembak jatuh dengan menggunakan sebuah peluru berpandu ketika ia dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
Usaha-usaha untuk mengutip cebisan daging mangsa-mangsa MH17 itu terjejas ekoran pertempuran antara askar-askar Ukraine dengan kumpulan pemisah pro-Rusia.

Namun, satu misi yang diketuai polis Belanda berjaya memasuki kawasan lokasi nahas kelmarin.
"Saya boleh melaporkan bahawa lebih banyak cebisan daging dan barang-barang peribadi yang ditemui. Semua cebisan dan barang itu akan dihantar ke Kharkiv untuk dibawa ke Belanda dan akhirnya dihantar balik (kepada waris keluarga)," kata Abbott.

Abbott yang menghantar ratusan anggota polis Australia dan beberapa pegawai lain ke lokasi nahas itu menyatakan situasi di Ukraine adalah berbahaya menyebabkan tugas-tugas menyiasat dan mencari cebisan daging mangsa-mangsa MH17 itu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran.
"Ia merupakan proses yang perlahan dan panjang," katanya kepada pemberita di Sydney.
Setakat ini lebih 220 keranda yang mengandungi mayat mangsa-mangsa MH17 telah dihantar ke Belanda untuk dikenal pasti.

Amerika Syarikat menyatakan kumpulan pemisah pro-Rusia dipercayai menembak jatuh pesawat MAS itu dengan menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Rusia.
Namun, Rusia dan kumpulan pemisah itu menyatakan, sebuah pesawat pejuang Ukraine mungkin menembak jatuh pesawat tersebut. - AFP

150 penduduk Palestin terkorban

BANDAR GAZA - Sekurang-kurangnya 150 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan tentera Israel dalam tempoh dua hari selepas gencatan senjata selama tiga hari yang dipersetujui hanya bertahan selama beberapa jam.

Di Rafah, pihak perkhidmatan perubatan Palestin menyatakan, 114 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam akibat serangan tentera Israel selepas gencatan senjata itu berakhir selepas 90 minit dikuatkuasakan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mendesak seorang askar Israel yang ditawan pejuang Hamas dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat.

Obama juga mahu lebih usaha dilakukan bagi melindungi penduduk awam di Gaza selain menyalahkan Hamas kerana mencabuli gencatan senjata itu.

Menteri Keadilan Israel, Tzipi Livni pula menuduh Hamas bertanggungjawab terhadap kehilangan askar berkenaan dan memberi amaran pergerakan itu akan membayar dengan harga yang mahal.
Bagaimanapun, kumpulan bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya tidak mengetahui lokasi askar berkenaan disembunyikan.

"Kami tidak mempunyai maklumat berhubung askar ini kerana kami telah terputus hubungan dengan salah satu kumpulan pejuang di sektor di mana askar ini dilaporkan hilang.

"Kemungkinan para pejuang kami termasuk askar berkenaan turut terbunuh dalam serangan susulan tentera Israel," kata kenyataan itu.

Pertempuran sengit bermula sejak kelmarin hingga awal pagi semalam yang tercetus selepas gencatan senjata yang dirancang selama tiga hari runtuh beberapa jam selepas ia dikuatkuasakan.
Tentera udara Israel turut menyerang Universiti Islam di Gaza menyebabkan bangunan berkenaan mengalami kerosakan serius.

Jurucakap tentera Israel mendakwa terdapat sebuah pusat pembangunan senjata di dalam universiti berkenaan.

Seramai 150 penduduk Palestin terbunuh dalam keganasan terbaharu tersebut dan seramai 350 lagi cedera.
Seramai 15 daripada mangsa, termasuk lima kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun adalah terdiri daripada satu keluarga yang terbunuh selepas kediaman mereka dibom.
Jumlah tersebut menjadikan angka korban Palestin sejak konflik itu tercetus 26 hari lalu meningkat kepada lebih 1,650 orang yang majoritinya penduduk awam manakala seramai 63 askar Israel dan tiga penduduk awam negara itu terbunuh.

Seorang koresponden agensi berita AFP memberitahu, serangan udara tentera Israel turut menyasarkan sebuah masjid di Jebaliya, utara Semenanjung Gaza dan memusnahkan rumah-rumah di tepi pantai.
Di Israel, sistem pertahanan Iron Dome milik Israel berjaya menembak jatuh dua roket yang ditembak dari Semenanjung Gaza ke kawasan Tel Aviv dan sebuah lagi menuju ke bandar Beersheba, selatan negara Yahudi itu.
Briged Qassam menyatakan, pihaknya telah menembak jatuh tiga roket tersebut. - Agensi
Kosmo

Saturday, 2 August 2014

Nostalgia Keith Foo, Marsha sambut Aidilfitri

SEBAGAI sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, terdapat beberapa hari perayaan yang akan dirai masyarakat di Malaysia. Itu antara keunikan tersendiri yang tidak terdapat di negara yang lain.

Tidak hairanlah sambutan perayaan yang besar seperti Hari Raya Aidilfitri ini turut diraikan oleh mereka yang bukan beragama Islam dalam suasana yang cukup meriah.

Istimewa untuk sambutan bulan Syawal pada tahun ini, Kosmo! telah mengaturkan satu sesi fotografi khas bersama pelakon Keith Foo dan Marsha Milan Londoh yang sememangnya memiliki ramai peminat Melayu.
Umum mengetahui Keith dan Marsha bukanlah penganut agama Islam, namun ia tidak menjadi halangan buat mereka untuk sama-sama meraikannya bersama-sama rakan yang menyambut Aidilfitri.

Keith yang ditemu bual sebaik sahaja selesai sesi fotografi berkata, sebagai seorang pemuda yang lahir dan dibesarkan di Gemas, Negeri Sembilan, ternyata dia mempunyai ramai rakan-rakan Melayu.
"Sejak kecil lagi saya sudah dapat merasai kemeriahan sewaktu menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan yang beragama Islam. Malah, saya tidak ketinggalan ikut rakan-rakan pergi beraya di rumah-rumah jiran dan mendapat duit raya.

"Itu merupakan antara kenangan yang paling menyeronokkan mengenai sambutan perayaan ini. Selain itu, saya melihat ketibaan Aidilfitri ini juga merupakan kesempatan terbaik untuk mengeratkan lagi silaturahim," ujarnya yang begitu menggemari lauk rendang.

Menurut Keith, apabila sesuatu perayaan yang besar seperti Aidilfitri turut disambut oleh mereka yang bukan beragama Islam, ia membuktikan bahawa masyarakat di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
"Sebagai seorang individu kelahiran Malaysia, ia merupakan satu kebanggaan dan sewajarnya negara kita ini menjadi contoh kepada negara lain untuk memaparkan suasana kehidupan yang muhibah," jelasnya.
Sementara itu, pelakon yang pernah mencipta nama di Indonesia sebelum ini berkata, dia berasa sangat bertuah kerana memiliki sebuah keluarga yang menganut pelbagai agama.

"Keluarga bapa kebanyakannya beragama Buddha dan keluarga ibu pula kebanyakannya Hindu, manakala keluarga kami beragama Kristian. Salah seorang kakak saya pula sekarang sudah memeluk agama Islam.
"Jadi setiap kali tibanya perayaan yang besar seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas kami sekeluarga akan meraikannya bersama-sama. Apa yang saya rasai tidak ramai yang dapat menikmatinya," ujar Keith.

Bercerita tentang perkembangan karier lakonannya pula, pelakon itu memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Teruna & Dara serta sebuah telemovie terbitan syarikat Media Corp. Singapura berjudul Cinta, Raya Sempurna.

"Ketika ini saya sedang sibuk menjalani proses pembacaan skrip untuk filem Langit Cinta yang diarahkan oleh Osman Ali. Penggambaran filem ini akan bermula selepas sambutan Aidilfitri nanti," jelasnya.
Kenangan manis

Berbanding dengan Keith yang sudah dapat menikmati kemeriahan Aidilfitri sejak kecil, Marsha pula hanya merasai kemeriahannya setelah bergelar artis dan menetap di Kuala Lumpur.
Ujarnya, ketika dibesarkan di kampungnya yang terletak di Tamparuli, Sabah, dia tidak memiliki ramai rakan-rakan yang beragama Islam dan setiap kali Aidilfitri dia cuma dapat menziarahi rumah seorang rakannya sahaja saban tahun.

"Apabila sudah menjadi seorang artis dan menetap di Kuala Lumpur, barulah saya dapat menikmati Aidilfitri dengan lebih meriah memandangkan saya sudah memiliki ramai rakan artis yang beragama Islam.
"Biasanya setiap kali tiba bulan Syawal saya jarang pulang ke Sabah dan terus berada di sini untuk sama-sama meraikan Aidilfitri dengan rakan-rakan dan ternyata ia sesuatu yang sangat menyeronokkan," ujar gadis berketurunan Kadazan-Dusun itu.

Ketika ditanya tentang kenangan manis yang pernah dirasainya ketika Aidilfitri, Marsha memberitahu dapat berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan detik indah yang tidak dapat dilupakan.

Menurutnya, dia berkesempatan bertemu dengan Tun Dr. Mahathir ketika membuat persembahan semasa rumah terbuka anjuran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari raya pertama tahun lalu.
"Saya telah diundang membuat persembahan untuk menghiburkan tetamu yang hadir. Selain dapat bersalaman dengan perdana menteri, saya gembira kerana kali pertama dapat bersemuka dengan Tun Dr. Mahathir yang merupakan idola saya," luahnya dalam nada gembira.

Selain itu, Marsha menceritakan bahawa pada tahun lalu dia paling banyak berbelanja dan membeli-belah di Jalan TAR untuk membuat persiapan Aidilfitri bersama rakannya iaitu pelakon Sharifah Sakinah.
"Saya dan Sakinah sempat berkunjung ke Jalan TAR pada malam raya dan itu kali pertama saya berbelanja sakan di sana. Menariknya, kami turut bertembung dengan beberapa rakan artis yang lain," ujarnya.

Koleksi raya
Biarpun jadual hariannya sebagai seorang pelakon dan penyanyi sentiasa padat, namun ia bukan satu halangan yang besar buat Marsha untuk membuka sebuah perniagaan koleksi menjual pakaian wanita.
Menggunakan jenama marshamilans untuk koleksi yang dijualnya itu sejak beberapa bulan lalu, dia menjelaskan segala rekaan koleksi pakaiannya itu merupakan hasil sentuhannya sendiri.
"Buat masa ini saya sekadar fokus kepada pakaian wanita sahaja terlebih dahulu dan menjualnya secara kecil-kecilan menerusi Instagram. Sesiapa yang berminat untuk melihat koleksi berkenaan boleh melayari Instagram yang menggunakan nama @marshamilans.

"Sempena dengan sambutan Aidilfitri saya juga ada menjual pakaian khas untuk koleksi raya. Bagaimanapun, saya tidak dapat menjual dalam kuantiti yang banyak memandangkan perniagaan ini masih di peringkat awal," jelasnya yang turut mengenakan pakaian jenamanya sendiri untuk sesi fotografi bersama Kosmo!.
Dalam pada itu, Marsha memberitahu bahawa pada masa ini dia mengurangkan aktiviti lakonannya sehingga menolak tawaran berlakon lima telefilem semata-mata mahu memberi tumpuan kepada karier nyanyiannya.
"Ketika ini saya sibuk mempromosikan lagu duet terbaharu bersama Zarul Umberlla yang berjudul Satu Rasa yang sudah diputarkan di stesen radio serta akan terbabit dengan pembikinan klip video lagu Cinta Sesungguhnya yang dinyanyikan secara duet bersama Sabhi Saddi," ujarnya. Kosmo

Friday, 1 August 2014

Imam Masjid di China Maut Ditikam


XINJIANG - CHINA. Imam masjid terbesar di China, Masjid Id Kah menemui ajal di masjid tersebut selepas ditikam di pekarangan masjid itu pada pagi semalam.

Mengesahkan kejadian tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kestabilan dan Kejiranan Kashgar, Abdugheni Dolkun berkata, mangsa, Jume Tahir, 74, diserang dan ditikam selepas meninggalkan masjid itu di pagi sambutan kedua Aidilfitri.

“Arwah ialah seorang yang sangat warak dan kuat agama. Seseorang telah membunuhnya.
“Sejak kebelakangan ini, beliau banyak berucap secara terbuka mengenai pandangannya terhadap keganasan yang tercetus di barat Xinjiang dan menyalahkan puak pemisah,” katanya melalui laporan sebuah portal hari ini.

Menurutnya lagi, beliau seorang yang pemaaf, disenangi dan tidak mempunyai musuh di kejiranan tersebut.
“Namun ada seorang guru pernah mendakwa bahawa dia dimusuhi kerana menyokong penindasan kerajaan Uighur dan imam tersebut juga pernah dituduh menjadikan masjid tersebut sebagai markas untuk menyebarkan propaganda ajaran komunis,” katanya lagi.

Jenazahnya dikebumikan melalui sebuah upacara kecil di Kashgar, pada hari yang sama.
Menurut laporan tesebut lagi, beliau merupakan Timbalan Kongres Kebangsaan China dan Naib Presiden Persatuan Islam Xinjiang

Klik Untuk Saya k... :)

free counters