Jom Buat Duit

Thursday, 16 May 2013

Anggota kabinet baharu persekutuan angkat sumpah jawatan

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendahului barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik semalam mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.

Upacara penuh istiadat itu disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Turut hadir menyaksikan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula pukul 10.10 pagi sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda berdua.

Upacara bermula dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1.

Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa. - Bernama

Wednesday, 8 May 2013

Anggota MCA Melaka letak semua jawatan di peringkat kampung hingga negeri esok

MELAKA - Anggota MCA Melaka yang memegang jawatan dari peringkat kampung hingga ke peringkat negeri akan meletak jawatan mereka esok.  

Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati resolusi pucuk pimpinan MCA pusat yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan negeri ekoran prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.

"Esok, kesemua ahli MCA yang menjawat apa-apa jawatan di negeri ini...ketua kampung, ahli jawatankuasa dan kemajuan kampung, pegawai seranta, ahli lembaga pelawat hospital, penyelaras Japerun (Pejabat Jawatankuasa Dewan Undangan
Negeri) semua akan letak (jawatan).
  
"Kita juga tidak akan menyertai barisan Exco kerajaan negeri Melaka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata ketiga-tiga calon MCA yang menang pada PRU13 iaitu Datuk Lai Meng Chong bagi kerusi DUN Machap, Lim Ban Hong (Klebang) dan Datuk Ng Choon Koon (Bemban) juga bersetuju untuk tidak menerima tawaran sebagai anggota Exco.

Katanya beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Ir Idris Haron bagi menjelaskan pendirian itu.

Perwakilan khas MCA sebelum ini mengumumkan untuk tidak menerima sebarang jawatan sama ada di peringkat kampung hingga ke Persekutuan sekiranya parti itu mencatatkan keputusan lebih buruk berbanding pilihan raya 2008.
  
Selepas PRU12, dua anggota MCA Melaka dilantik sebagai Exco kerajaan negeri dengan Datuk Seet Har Cheow sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO serta Gan sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan.
  
Seet yang merupakan bekas Adun Klebang bagaimanapun tidak tersenarai sebagai calon BN pada PRU13 manakala Gan kalah kepada calon DAP Goh Leong San di DUN Duyong dengan majoriti 205 undi.
  
Pada PRU13, MCA bertanding di tujuh DUN dan dua kerusi Parlimen di negeri ini.

Di IPOH, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang mempertahankan kerusi DUN Chenderiang pada pilihan raya umum Ahad lepas, berkata beliau menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri jika
ditawarkan.  

Dr Mah, satu-satunya Adun BN daripada MCA di Perak, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai dan diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa parti itu sebelum ini.
  
"Sebagai orang parti (party man), saya menghormati dan menurut keputusan yang dibuat oleh parti... saya tidak akan terima (sebarang jawatan).
  
"Agenda diri tidak penting, yang penting agenda untuk seluruh masyarakat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Dr Mah yang sebelum ini ialah Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata beliau akan menumpukan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasannya. - Bernama

Suara Pakatan Rakyat dijangka lebih kuat di Parlimen

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) membuka laluan besar kepada Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen, sekali gus tidak akan membolehkan Barisan Nasional (BN) yang kekal menerajui kerajaan pusat 'senyum lebar' dengan kejayaan itu.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PR telah terus berjaya memecahkan 'keselesaan' BN dan bakal memeriahkan Dewan Rakyat.

"Politik akan menjadi lebih meriah. Walaupun kali ini BN menang namun telah kurang lagi banyak kerusi berbanding 2008 menjadikan BN sekarang ini lagi lemah di mana suara PR lebih kuat di Parlimen.

"PR telah menang bergaya di Selangor dan Pulau Pinang dengan dua per tiga majoriti, ini menunjukkan PR semakin kuat," katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, kejayaan yang ditunjukkan calon PR dalam merampas kuasa di kawasan-kawasan bandar khususnya menunjukkan kepercayaan rakyat kepada parti perikatan tersebut.

Beliau berkata, walaupun  keputusan pilihan raya menunjukkan prestasi Pas dan PKR sedikit susut berbanding DAP,  namun strategi meletakkan calon kedua-dua parti tersebut sedikit sebanyak berjaya menggugat kedudukan undi kaum Melayu serta India daripada BN.

Keputusan rasmi PRU13 menyaksikan BN berjaya membentuk semula kerajaan baru dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding sebanyak 140 kerusi lima tahun lalu. PR berjaya menambah sehingga 89 kerusi Parlimen berbanding 80 kerusi pada 2008.

Jumlah peningkatan yang ditunjukkan PR telah disumbangkan oleh DAP meningkat sebanyak 10 kerusi Parlimen menjadikan 38 kerusi berbanding lima tahun lalu yang mencatat 28 kerusi. SINAR

Tuesday, 7 May 2013

Selamat Pengantin Baru Buat Jehan Miskin

SERBA moden dan ringkas tetapi masih diselitkan sedikit adat perkahwinan Melayu. Itu antara inti pati perkahwinan pelakon Jehan Miskin bersama wanita warga Korea, Julie Camelia Rhee yang berlangsung di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu lalu.

Majlis akad nikah dan seterusnya merenjis diadakan dalam bilik Ledang.
Sebaik sah bergelar suami kepada Julie dengan dua kali lafaz, pasangan pengantin itu cuma beralih pada pelamin ringkas di dalam bilik tersebut untuk majlis merenjis pula.

Sememangnya itulah yang menjadi kemahuan pelakon drama bersiri Awan Dania itu untuk mengadakan majlis perkahwinannya yang serba ringkas.

Disebabkan sikap Jehan yang ringkas itu, dia juga telah memilih wanita yang ringkas dari segi penampilan dan juga sikap sebagai isterinya.

Menurut Jehan, Julie adalah seorang yang penyabar.
“Sebelum ini saya pernah berkata pada ibu yang saya tidak akan berkahwin selagi tidak jumpa wanita yang sesuai. Alhamdulillah akhirnya saya temui dengan wanita pilihan hati, seorang yang penyabar.

“Malah, saya juga dapat jadi diri sendiri ketika bersamanya. Kami juga saling memahami antara satu sama lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Julie, tutur Jehan, isterinya yang merupakan pengurus majlis itu juga seorang yang ringkas dan mudah menerima budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semua perkara rumit akan menjadi mudah bila bersamanya,” ungkap Jehan mengenai isterinya yang menyukai laksa, nasi lemak dan kuey tiau itu.

Sebelum ini Kosmo! telah mengesahkan pertemuan mereka pertama kali adalah di sebuah gimnasium, dan kini Jehan ditebak pula persoalan di manakah lokasi dia melamar Julie.
Tanpa berselindung, luah Jehan, dia melamar Julie di Seoul, Korea pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun lalu ketika bercuti di sana.

Sementara itu, menurut Julie pula mengenai Jehan, dia menyifatkan pelakon yang sering membawa watak romeo itu baik hati.

“Jehan sangat mesra dengan kanak-kanak dan dia juga seorang yang berhati mulia,” ungkap Julie.

Disoal mengenai cahaya mata, pasangan itu tidak merancang dan menyerahkannya kepada Allah.
Jehan dan Julie juga masih belum memilih lokasi bulan madu tetapi mereka tetapi berharap dapat melaksanakannya penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, percubaan untuk menemu bual ibu Julie untuk bertanya mengenai perasaannya menemui kegagalan. Ini kerana ibu mertua Jehan itu tidak pandai berbahasa Inggeris.
Sementara itu menurut ibu Jehan, Mariam Abdullah, dia gembira akhirnya anaknya itu mendirikan rumah tangga.

Mengulas mengenai menantunya itu, kata Mariam, Jehan dan Julie sudah mengenali antara satu sama lain selama lima tahun dan mereka matang dalam membuat keputusan.
Mariam juga memuji kejelitaan menantunya dan berharap pasangan itu hidup bahagia.
Kosmo

Wanita Berbikini 2013

GUANGZHOU – Sekumpulan wanita yang hanya memakai bikini di China berkumpul di Taman Tema Air Chimelong di sini untuk membentuk formasi angka 2013 kelmarin, lapor media tempatan.
Formasi angka tahun 2013 itu juga dilakukan seperti bentuk ular yang melingkar.

Lapor media tempatan, kumpulan wanita itu melakukan formasi tersebut untuk sesi fotografi sempena satu acara promosi di taman tema air tersebut.

Beribu-ribu wanita mengambil bahagian dalam acara tahunan tersebut yang diadakan kelmarin.
Ia diadakan sempena musim panas tahun ular menurut kalendar masyarakat Cina.
Kumpulan wanita muda itu turut mengambil kesempatan berekreasi dan mandi di kolam air taman tema air tersebut. – Agensi

Monday, 6 May 2013

Keputusan PRU ke 13

Negeri Selangor

P.092 - SABAK BERNAM
MOHD FASIAH BIN MOHD FAKEH - BN

P.095 - TANJONG KARANG 
NOH BIN OMAR - BN 

P.098 - GOMBAK
MOHAMED AZMIN BIN ALI - PKR




Kuala Lumpur

  P.114 - KEPONG 
TAN SENG GIAW @ TAN CHUN TIN - DAP

P.117 - SEGAMBUT
LIM LIP ENG - DAP

P.120 - BUKIT BINTANG  
FONG KUI LUN - DAP

P.123 - CHERAS 
TAN KOK WAI - DAP

P.115 - BATU
CHUA TIAN CHANG - PKR

P.118 - SETIAWANGSA
AHMAD FAUZI BIN ZAHARI - BN

P.121 - LEMBAH PANTAI
NURUL IZZAH BINTI ANWAR - PKR

P.124 - BANDAR TUN RAZAK
ABD KHALID BIN IBRAHIM - PKR

P.116 - WANGSA MAJU
TAN KEE KWONG - PKR

P.119 - TITIWANGSA
JOHARI BIN ABDUL GHANI - BN                

P.122 - SEPUTEH
TERESA KOK SUH SIM - DAP 

Total
Barisan Nasional 2
Pakatan Rakyat 9   


BN bentuk kerajaan pusat


SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) telah berjaya membentuk kerajaan pusat dengan memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen setakat jam 3.20 pagi ini, 6 Mei ini.
Dalam pada itu, Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan Pas, pula mengumpulkan 87 kerusi Parlimen.

Daripada 87 kerusi itu, Pas memperoleh 21 kerusi, PKR (26) manakala DAP (37).
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Pada jam 12.50 pagi tadi, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan BN memperoleh 112 kerusi iaitu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters