Jom Buat Duit

Wednesday, 4 July 2012

Menangis kerana sebuah lagu

USIANYA baru sahaja mencecah 21 tahun, namun tidak dinafikan Afiq Akim Ahmad merupakan antara penyanyi muda yang sangat berbakat besar dan mampu pergi lebih jauh dalam dunia nyanyian.
Menariknya, kebolehan yang dimiliki penyanyi muda berasal dari Johor Bahru, Johor itu bukan sekadar menyanyi.
Malah Akim juga sememangnya memiliki bakat tersendiri dalam bidang penciptaan lagu, penulisan lirik dan penghibur.
Kini, setelah tiga tahun berkecimpung dalam dunia seni serta melahirkan beberapa buah single, akhirnya penyanyi berkenaan muncul dengan album sulung yang diberi judul Akim Ahmad.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran album tersebut di No Black Tie, Kuala Lumpur baru-baru ini, Akim bersyukur dengan kemunculan album tersebut dan menganggap ia merupakan hadiah paling bermakna buat peminatnya.
"Tiga tahun pastinya satu tempoh yang cukup lama untuk lahir dengan sebuah album sulung. Namun, saya berbuat demikian supaya dapat mengukuhkan lagi nama saya dalam industri ini terlebih dahulu.
"Untuk tempoh dua tahun yang pertama saya lebih banyak menghasilkan single serta berkecimpung dalam bidang lakonan. Setelah merasakan nama saya semakin dikenali ramai, jadi sudah tiba masanya saya menghasilkan album," ujarnya.
Terdapat 10 buah lagu dalam albumnya itu termasuk tujuh buah lagu baharu, manakala tiga buah lagu popularnya iaitu Inilah Cinta, Bengang dan Janji dihasilkan dalam bentuk akustik.
Antara lagu baharu dalam album tersebut ialah Daya Cinta, Menunggu, Tentang Dia, Yang Nyata, Dunia & Syurga, Mesti Ada Cinta dan Kembali.
Selain menghasilkan sendiri beberapa buah lagu dalam albumnya itu, Akim menjelaskan dia turut bekerjasama dengan beberapa komposer terkenal tanah air seperti Audi Mok, Kunci Demak dan Omar K.
"Bagi saya, album ini cukup unik dan istimewa kerana mendapat sentuhan komposer yang sudah terkenal, manakala lagu-lagu yang saya hasilkan pula lebih banyak berkisarkan kepada pengalaman sendiri.
"Saya membuat keputusan untuk meletakkan nama Akim Ahmad kerana mahu mereka yang membeli dan mendengar lagu-lagu dalam album ini akan berasa begitu dekat dengan diri saya," ujarnya yang turut mengundang beberapa orang ahli Gerakan Penyokong Akim Ahmad (GAFIM) semasa majlis pelancaran tersebut.
Ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang menghasilkan album sulungnya itu, Akim memberitahu lagu berjudul Daya Cinta merupakan lagu yang paling sukar untuk dihasilkan.
BINTANG kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada tahun 2009 ini teruja apabila akhirnya berjaya muncul dengan album sulungnya pada tahun ini.
 
Jelasnya lagi, lagu hasil ciptaan komposer Kunci Demak itu dirasakan sangat sukar dan dia perlu bermain dengan emosi yang cukup mendalam agar mendapat penghayatan sewaktu menyanyikannya.
"Boleh dikatakan lagu tersebut memang paling mencabar buat diri saya berbanding lagu-lagu lain. Untuk mendapatkan penghayatan serta hasil yang terbaik saya terpaksa menangis semasa merakamkannya," ujarnya ketika menceritakan pengalaman sewaktu proses penghasilan album tersebut.
Sementara itu, penyanyi berkenaan juga meluahkan rasa terkejutnya dengan kehadiran beberapa wakil syarikat rakaman Sony Music Indonesia semasa majlis pelancaran albumnya itu.
"Sejujurnya saya akui langsung tidak mengetahui mengenai kehadiran mereka pada majlis ini. Mungkin ini merupakan peluang saya untuk melebarkan sayap di Indonesia, namun ia bergantung kepada rezeki dan saya selesa untuk menumpukan karier seni di negara kelahiran sendiri," ujarnya.
Paling rapat
Selain bekerjasama dengan beberapa orang komposer terkenal, Akim turut mengundang dua orang penyanyi iaitu Fiq dan Stacy untuk berduet bersama-sama menerusi lagu Mesti Ada Cinta (Fiq) dan Kembali (Stacy).
Ditanya mengenai pemilihan Fiq dan Stacy sebagai rakan duetnya untuk lagu-lagu tersebut, Akim menjelaskan kedua-dua penyanyi pilihannya itu memiliki kekuatan tersendiri.
"Saya memilih Stacy untuk berduet menerusi lagu Kembali kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu Jahatnya Cinta. Lagipun saya sangat senang dengan kerjasama ini dan sangat sesuai menyanyikan lagu ini.
"Pemilihan Fiq pula dibuat kerana saya begitu mengagumi suara yang dimiliki oleh Fiq ketika dia menyanyikan lagu berjudul Manifestasi Cinta. Bagi saya dia memiliki suara yang dashyat dan gembira kerana akhirnya kami dapat berduet bersama," jelasnya.
Pada masa yang, Akim menegaskan dia tidak mahu segelintir peminat menganggap dia memilih Stacy kerana kisah percintaan mereka berdua yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.
Tegasnya, dia kini masih belum memiliki kekasih dan menyatakan hubungannya dengan Stacy tidak sekadar sahabat. Bagaimanapun, dia mengakui bahawa Stacy merupakan rakan wanitanya yang paling rapat.
"Lagipun usia saya masih lagi muda untuk memiliki seorang kekasih dan fokus saya sekarang ini cuma kerjaya seni sahaja. Bukan tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga, namun sasaran saya untuk berkahwin pada usia 25 tahun," jelasnya.
Tidak kecewa
Selepas dikenali sebagai penyanyi yang semakin meniti puncak populariti, Akim juga turut melebarkan sayapnya dalam bidang seni apabila turut bergelar seorang pelakon.
TIDAK lagi dikenali dengan nama Akim AF7, figura tinggi lampai ini kini ingin dikenali dengan nama Akim Ahmad.


Pernah tampil dalam drama bersiri Kau Dan Aku selama dua musim serta Saham Neraka, baru-baru ini penyanyi berkenaan tampil pula di layar perak menerusi filem berjudul Hoore! Hoore! yang telah ditayangkan pada Mei lalu.
Biarpun filem tersebut mendapat maklum balas yang agak positif daripada pengkritik, namun sambutan yang diterima agak kurang memberangsangkan apabila sekadar mencatat kutipan sebanyak RM350,000 sepanjang 21 hari tempoh tayangannya.
Diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Akim menjelaskan langsung tiada sekelumit kekecewaan yang timbul, malah berasa bangga kerana kebanyakan yang menonton filem tersebut memuji lakonannya.
"Tidak dinafikan terdapat beberapa kelemahan yang berlaku semasa memegang watak sebagai Johari dalam filem Hoore! Hoore!. Namun, saya telah membuat yang terbaik dan berpuas hati dengan penampilan sulung saya di layar perak.
"Selepas ini kalau ada lagi tawaran berlakon yang diterima, mungkin saya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Sebenarnya saya sangat berkeinginan membawakan watak antagonis," ujarnya yang masih menaruh minat untuk terus berlakon.
Bagaimanapun, Akim menjelaskan dia masih lagi memberi keutamaan kepada bidang nyanyian dan dia memilih untuk berlakon semata-mata mahu mencari pengalaman yang lebih luas dalam dunia seni.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters