Jom Buat Duit

Thursday, 9 August 2012

Tentera Mesir bunuh 20 militan


BEBERAPA anggota pasukan keselamatan Mesir meniarap di sebuah kawasan gurun dalam operasi membunuh militan Islam di Semenanjung Sinai semalam.


KAHERAH – Tentera Mesir membunuh 20 militan dalam satu serangan peluru berpandu dengan menggunakan beberapa buah helikopter tempur di Semenanjung Sinai semalam, kata seorang pegawai tentera.

Operasi tersebut dilancarkan sehari selepas 16 anggota tentera di sempadan Mesir terbunuh dalam serangan yang dipercayai dilakukan kumpulan pelampau Islam.

Ia merupakan serangan pertama yang dilancarkan tentera Mesir di Sinai sejak beberapa dekad lalu.
Serangan tersebut dilancarkan ke atas perkampungan Tumah selepas pasukan keselamatan berkumpul dekat Rafah di sempadan Gaza dalam operasi yang disifatkan sebagai konfrontasi muktamad terhadap kumpulan militan.

Seorang pegawai kanan tentera di Sinai berkata, 20 pengganas dibunuh apabila askar-askar Divisyen Infantri Ke-2 menyerbu Tumah dengan dibantu helikopter tempur Apache.
“Operasi ini masih berterusan,” katanya.

Beberapa pegawai keselamatan lain di utara Mesir melaporkan beberapa serangan udara turut dilancarkan berhampiran bandar Sheikh Zuwayid, dekat kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Abdel Rahman Abol Malkhous berkata, dia melihat beberapa buah helikopter melepaskan peluru berpandu kira-kira 30 kilometer ke timur El-Arish di kawasan yang dikenali sebagai Sheikh Zuwayed berhampiran sempadan Rafah.

Serangan tersebut dilancarkan sehari selepas pihak tentera mengebumikan 16 askar yang terbunuh dalam serangan militan pada Ahad lalu.

Tentera Mesir sebelum ini berjanji akan membalas dendam terhadap serangan tersebut.
Semua askar berkenaan maut apabila sepasukan militan Islam menyerbu sebuah pos kawalan sempadan sebelum melarikan beberapa kenderaan tentera ke wilayah Israel.

Pergerakan mereka kemudian dihalang menerusi serangan tentera udara rejim Zionis.
Enam daripada militan tersebut mati akibat kereta berperisai yang dinaiki mereka terbakar kerana dibedil tentera Israel.

Israel menyerahkan mayat enam militan tersebut yang rentung kepada Mesir.
Selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir pada Februari tahun lalu, kumpulan militan di Sinai semakin berkembang pesat.
Menurut beberapa penduduk, kumpulan militan itu mempunyai kelengkapan senjata yang lebih baik daripada tentera darat Mesir.
– Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)