Jom Buat Duit

Friday 3 August 2012

Karier makin mencabar

PETANG Sabtu hujung minggu lalu terisi dengan deraian gelak tawa kira-kira seratus peminat serta sahabat dan saudara-mara terdekat pelakon Fizz Fairuz. Lokasinya ialah di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang, Shah Alam, Selangor.

Mereka umpama masih meraikan kejayaan Fizz, 33, memenangi Anugerah Pelakon Televisyen Lelaki Popular yang diraihnya awal tahun ini.
Nyata, masih panas suhu kemenangannya itu, sama panas dengan kontroversi kisah cintanya bersama pelakon Almy Nadia yang enggan diulas lanjut Fizz.

Kian berselirat dan mungkin terus menimbulkan tandatanya tentang hubungan mereka berdua, penghujung cerita cinta Fizz dan Almy sudah pasti bergantung kepada keputusan hati dan perasaan masing-masing.

Turut hadir dalam kalangan hadirin yang hadir itu termasuklah rakan-rakan artis Fizz, antaranya Diana Rafar, Fazli Zainal dan suami Datin Paduka Umie Aida iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.

Namun saat majlis itu tamat, kelibat Almy tidak juga kelihatan.
Dalam telahan rakan-rakan media, Fizz mahu membuat kejutan, namun 'gimik' itu mungkin disimpan aktor ini buat sementara waktu dan menunggu sehingga keadaan benar-benar sudah stabil.
Fizz juga menolak dengan baik ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Almy dalam majlis anjurannya itu. Sebaliknya, pemilik nama sebenar Fairuz Zainal Abidin hanya bercerita perihal majlis tersebut, karier dan persiapan dirinya menjelang Syawal.

"Selepas kemenangan pada awal tahun ini, saya masih belum sempat meraikannya bersama peminat yang sentiasa menyokong dan mengundi saya. Maka, sekarang waktu yang sesuai untuk meraikan di samping menghargai sokongan mereka," ujarnya.

Ramadan dan raya
Bercerita tentang rutin sehariannya dalam bulan Ramadan pada kali ini, bagi Fizz ia merupakan tempoh yang paling sesuai untuk mengurangkan aktiviti seninya.
Lebih tepat lagi Fizz memilih untuk tidak mengambil sebarang tawaran lakonan sepanjang bulan mulia ini sebagai syarat untuk dirinya beribadat dan berehat.

"Tahun ini adalah tahun pertama saya tidak bekerja pada bulan Ramadan sepanjang bergelar anak seni. Ada juga tawaran yang datang cuma saya terpaksa tolak terlebih dahulu.
"Sebelum ini, pada setiap tahun saya sibuk dengan penggambaran walaupun ketika bulan Ramadan.
FIZZ akan memulakan kembali aktiviti seninya selepas bercuti sempena sambutan Aidilfitri.
 
"Saya sudah berniat dari awal lagi untuk berehat sebulan pada Ramadan tahun ini dan rasanya tidak elok kalau saya terima juga tawaran, tapi melakukan tugas dengan hati tidak ikhlas," tegasnya.
Dalam pada itu Fizz memberitahu, dia lebih selesa membeli juadah berbuka di bazar Ramadan berdekatan kediamannya, khususnya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur berbanding memasak sendiri.
Beralih topik tentang Aidilfitri tahun ini, tutur Fizz, suasananya masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya memandangkan rutin yang serupa akan dilakukannya tahun ini.

"Saya akan pulang ke kampung di Raub, Pahang empat hari lebih awal untuk membuat persiapan raya. Biasanya, kalau hari raya pertama yang ada cuma saya dan dua adik saya di rumah kerana adik-beradik lain akan pulang ke rumah mertua masing-masing sebelum balik beraya di Raub pada hari raya kedua atau ketiga.

"Mungkin tahun ini saya akan membuat rumah terbuka pada hari raya kedua di kampung, tak lebih tak kurang seperti tahun-tahun sudah," ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Mat Tudung.

Senior
Belajar dari senior! Itu prinsip kerjaya Fizz sejak mula berkecimpung dalam bidang seni. Hal yang sama masih diterapkan untuk memacu kariernya hingga hari ini sementelah kemenangannya awal tahun ini.

"Saya akui selepas kemenangan tersebut, saya diberikan watak yang lebih mencabar berbanding sebelum ini. Saya banyak digandingkan dengan pelakon-pelakon senior yang pernah saya idamkan untuk berganding bersama.

"Mereka tidak lokek dalam memberi kita ilmu. Sikap mereka yang amat saya kagumi adalah sentiasa memberi dan menghidupkan watak walau mereka membelakangi kamera," katanya yang teruja berlakon bersama Eman Manan, Nasir Bilal Khan dan Ellie Suriatie.
FIZZ meraikan lebih seratus peminat, sahabat dan keluarganya dalam majlis berbuka puasa yang dianjurkan olehnya baru-baru ini.
 
Begitu pun, Fizz masih menanam impian untuk berlakon di bawah arahan beberapa pengarah tersohor seperti Mamat Khalid, Bade, Aziz M. Osman, Yusri dan Edry KRU.
Sementara itu, kemunculan Fizz baru-baru ini dalam telefilem Perempuan Neraka menerusi slot Cerekarama TV3 memberi impak luar biasa apabila mendapat respons yang baik dalam kalangan penonton dan peminatnya.

Selain menjadi bualan hangat di laman sosial Twitter sepanjang durasi siaran, telefilem itu turut melonjakkan nama Fizz serta beberapa pelakon lain seperti Sherie Merlis, Aeril Zafrel dan Ika Nabila sehingga dirasakan layak dipertandingkan dalam Anugerah Skrin akan datang.
"Terkejut sebenarnya dengan respons yang diterima hasil daripada telefilem Perempuan Neraka.
"Itu hasil kerjasama luar biasa saya dan pengarah Khairul Amri Khalid atau Keoi yang memilih elemen sesuai dan tidak sesuai (untuk ditampilkan dalam drama itu), tapi perlu memberikan banyak pengajaran kepada penonton," tuturnya berhubung rahsia kejayaan telefilem yang ditonton oleh 2.6 juta penonton itu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters